KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mendakwa dua menteri dalam Kerajaan Perpaduan ‘menyembunyikan’ kebenaran di sebalik Titah Adendum, sedang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan perkara itu menerusi satu kenyataan ringkas pada Isnin.

"Kes berkenaan akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai perkembangan isu berkenaan.

Tindakan Khairy yang mengeluarkan dakwaan itu telah menyebabkan dua laporan polis dibuat terhadap bekas Ahli Parlimen Rembau itu atas kenyataannya berhubung isu dokumen mengenai satu perintah yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Laporan itu dibuat oleh Datuk Suraya Yaacob, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Nor Azrina Surip, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Laporan dibuat secara berasingan masing-masing di Putrajaya dan Sentul.

Laporan itu dibuat kerana ia dilihat berniat jahat, menghina nama baik, mengelirukan rakyat dan menimbulkan perasaan tidak senang serta menimbulkan suasana panik dalam kalangan masyarakat sehingga boleh menggugat keamanan negara.

Bukan itu sahaja, kenyataan Khairy dalam program audio siar ‘Keluar Sekejap’ turut menggunakan perkataan ‘komplot’ yang mana ia disifatkan keterlaluan kerana membawa maksud terlibat atau dikaitkan dengan perbuatan menyalahi undang-undang atau tidak beretika.