Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata buat masa ini terdapat 8,529 KRT di seluruh negara, di mana 91 daripadanya ditubuhkan pada tahun lepas.
"Walaupun setiap tahun kita menambah dan menubuhkan KRT baharu, kini terdapat lebih kurang 442 KRT, iaitu 5.2%, yang tidak aktif di seluruh negara.
"Oleh sebab itu, saya menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahun 2025 dengan meminta semua Pengarah Perpaduan Negeri mengambil tindakan proaktif serta bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk melaksanakan kempen dan inisiatif bagi mengaktifkan semula KRT yang tidak aktif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran kawasan KRT baharu di Sri Aman bagi tahun ini, di sini semalam.
Aaron berkata pada tahun lalu, sebanyak 152 KRT telah diperkasakan sebagai KRT Progresif yang berupaya membangun komuniti mampan dan progresif.
"Pada tahun ini, sekurang-kurangnya 300 KRT lagi disasarkan untuk diperkasakan sebagai KRT Progresif dengan penilaian terperinci merangkumi penyediaan profil, pemetaan sosial, permohonan projek ekonomi dan pembangunan kebun komuniti yang mampu memberi manfaat kepada komuniti setempat," katanya.
Beliau berkata sebanyak RM20 juta telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan untuk inisiatif KRT Progresif pada tahun ini.
-- BERNAMA
