KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berharap semakan kadar yuran perundingan pegawai perubatan am (GP) swasta yang dijangka diumumkan sebelum 1 Mei ini, adalah berpatutan dan adil.

Presiden MMA Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira berkata persatuan itu percaya kenaikan yuran perundingan kepada sekurang-kurangnya RM60 adalah wajar dan adil manakala had maksimum perlu berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

"Langkah ini kami rasakan sesuai dengan mengambil kira kadar yuran sebanyak RM10 hingga RM35 yang tidak berubah lebih 33 tahun, peningkatan kos sepanjang tempoh itu dan kadar inflasi.

"Selama bertahun-tahun, ramai GP bergelut dengan kos operasi yang merangkumi sewa, gaji petugas, ubat-ubatan, peralatan perubatan dan kos pematuhan terhadap peraturan itu yang meningkat dengan ketara dalam tempoh berkenaan," katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, beliau berkata banyak klinik ditutup akibat cabaran dalam mengekalkan operasi mereka, justeru MMA berharap kerajaan akan mengumumkan yuran perundingan yang adil dengan mengambil kira faktor seperti kos sara hidup, pandangan masyarakat dan kesukaran yang dihadapi pengamal perubatan swasta.

Dr Kalwinder turut menekankan kepentingan melaksanakan pelarasan berkala tetap sebanyak 10 peratus setiap tiga tahun untuk memastikan yuran perundingan selari dengan kadar inflasi.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kadar yuran perundingan bagi pengamal perubatan swasta yang disemak semula akan diumumkan sebelum 1 Mei.

Dzulkefly berkata kelulusan sudah diperoleh untuk membuat kajian semula dengan segera yuran berkenaan yang disenaraikan di bawah Jadual 7 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Dr Kalwinder berkata MMA bersyukur kerana NACCOL dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan semakan itu yang merupakan kejayaan terhadap usaha berterusan MMA selama beberapa bulan untuk berunding dengan Menteri Kesihatan dan pegawai kementerian berhubung isu ini.

Mengenai paparan harga ubat yang akan dikuatkuasakan pada 1 Mei ini, MMA mengulangi pendirian bahawa pengawalseliaan amalan perubatan tidak seharusnya tertakluk di bawah dua akta berasingan dan menggesa agar kesahihan penggunaan Akta 723 (Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011) untuk GP dikaji dengan lebih mendalam.

"MMA dan GP juga berpandangan bahawa sebarang bentuk penguatkuasaan sepatutnya berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan dan bukan di bawah agensi atau kementerian lain.

"Klinik menyediakan perkhidmatan profesional dan sudah tertakluk di bawah Akta 586. Mereka tidak seharusnya dianggap sama seperti premis runcit dalam proses penguatkuasaan ini," katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata pemaparan harga ubat yang dikuatkuasakan melalui Perintah yang dikeluarkan di bawah Akta 723 bukan bertujuan mengawal harga ubat di pasaran, sebaliknya bagi membolehkan orang ramai membandingkan harga dan merancang perbelanjaan.

-- BERNAMA