SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun bersedia mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti itu yang dijadualkan berlangsung pada Mei ini.

Beliau berkata saingan pada pemilihan kali ini lebih sengit kerana PKR merupakan komponen parti menerajui Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan dan menjangkakan ramai pemimpin berpotensi besar untuk merebut jawatan berkenaan.

" ... hendak kata ada peluang (menang) agak sukar kerana kita sedia maklum, apabila menjadi sebuah kerajaan, pastinya ramai pimpinan akan menawarkan diri untuk bertanding peringkat naib presiden.

"Namun, parti ini mengamalkan demokrasi yang harus diraikan, kalah atau menang adat pertarungan dalam keluarga besar," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di kediaman rasminya di sini semalam.

Dalam pada itu, Aminuddin turut mengesahkan telah menghantar pencalonan secara dalam talian semalam bagi mempertahankan jawatan Ketua Cabang Port Dickson bagi penggal kedua kali ini.

Mengulas desas-desus mengenai bekas Ketua Cabang berkenaan Datuk M. Ravi turut menghantar pencalonan bagi jawatan itu, Aminuddin berkata tiada halangan untuk mana-mana individu yang mahu bertanding kerana parti mengamalkan demokrasi dan menyerahkan kepada pengundi untuk membuat pilihan.

Aminuddin yang sebelum ini merupakan Ketua Cabang PKR Tampin sejak 2018 telah mengesahkan berpindah keahliannya dalam parti ke Cabang Port Dickson sejak akhir Januari 2022.

-- BERNAMA