Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pihaknya sebelum ini hanya dimaklumkan tentang kerja-kerja membaiki hakisan tanah pasir di kawasan itu dan tiada kaitan dengan melombong emas.
"Saya telah mengarahkan JMG menyiasat kawasan itu betul ke ada emas, jika ada (emas) kita akan melombong kawasan terbabit sebagai potensi pendapatan negeri yang baharu... saya ucap terima kasihlah kepada pemberi maklumat itu.
"Setahu saya ada kerja dijalankan syarikat yang mempunyai tanah di situ, iaitu tanahnya terhakis, jadi pemilik dan pemaju itu sendiri pengusaha pasir tanah milik dia, tiada kaitan dengan aktiviti melombong emas," katanya dalam sidang media di Wisma Negeri di sini hari ini.
Aminuddin berkata pada tahun lepas terdapat satu permohonan lesen melombong emas di Gemas, namun kerja melombong di situ belum dilaksanakan.
"Mereka sebelum ini ada buat penjelajahan dan kemudian memaklumkan kawasan itu ada emas, mereka mohon lesen melombong dan kita (kerajaan negeri) bagilah," katanya yang turut menafikan dakwaan kononnya beliau bersama wakil rakyat kawasan memiliki syer dalam aktiviti melombong emas di negeri ini.
Terdahulu, tular menerusi TikTok berkaitan dakwaan kononnya berlaku aktiviti melombong emas di Lenggeng membabitkan Menteri Besar dan wakil rakyat.
-- BERNAMA