Exco Kerajaan Tempatan,Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, jumlah itu dikesan ketika Operasi Pemutihan yang dijalankan di lokasi pada Isnin bermula jam 8 malam hingga 10 malam membabitkan 238 kediaman yang diperiksa.
Menurutnya, daripada jumlah yang diperiksa itu, 48 kediaman masih dihuni oleh penyewa asal, 55 kediaman diduduki keluarga atau saudara-mara penyewa asal, 26 lagi disewakan, satu kediaman kosong dan lain-lain 108.
"Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan mempunyai beberapa skim penyewaan Rumah-Rumah Pangsa Kerajaan seperti Rumah Pangsa Templer Jalan Tun Dr Ismail Seremban, Rumah Pangsa Sentosa Kuala Pilah, PPR Bersepadu Taman Jasmin dan Rumah Pangsa Senawang.
"Sewaan bulanan yang dikenakan adalah sangat rendah, iaitu ada yang RM25, RM40 dan RM50 sebulan.
"Tujuan penyediaan rumah sewaan oleh kerajaan negeri adalah untuk menyewakan kepada keluarga yang berpendapatan rendah atau miskin, keluarga yang tidak memiliki rumah, sudah berkahwin dan pasangan suami isteri mesti warganegara Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ujarnya, operasi berkenaan bertujuan menyemak balik status terkini keluarga yang menyewa rumah itu dari segi pendapatan, status perkahwinan dan pemilikan rumah sendiri.
Arul Kumar (kanan) ketika menjalankan pemeriksaan di kediaman terlibat.
"Jika mereka tidak mematuhi syarat atau dalam tempoh penyewaan keluarga tersebut telah berubah kedudukan pendapatan dan telah memiliki rumah sendiri, maka mereka tidak layak untuk menyewa rumah tersebut daripada kerajaan. Maka kerajaan negeri akan menarik balik unit tersebut.
"Tambahan pula Unit Perumahan juga telah menerima aduan bahawa ada rumah rumah di skim sewaan tersebut disewakan kepada pihak ketiga, ada yang dijadikan sebagai tempat singgahan, ada yang dijadikan stor dan ada juga yang tidak diduduki.
"Maka dalam operasi ini kita akan kenal pasti dan jika berlaku mana mana keadaan yang tidak dibenarkan maka Unit Perumahan akan memberikan notis dan akan tarik balik," katanya.
Arul Kumar berkata, tindakan sama akan dilakukan segera jika kediaman berkenaan disewakan kepada warga asing untuk diduduki di kawasan tersebut.
"Setakat ini, berdasarkan siasatan kesemua unit yang nyatakan diatas mereka bayar sewa dengan teratur dan tidak ada tunggakan.
"Walaupun mereka bayar sewaan dengan teratur dan tidak ada tunggakan sekiranya tidak menepati syarat maka tindakan diambil juga.
"Bagi rumah-rumah yang tidak dibayar sewa notis akan dihantar terus dan proses rampasan akan dilaksanakan.
"Saya juga telah meminta kepada Unit Perumahan SUK Negeri Sembilan untuk melaksankan operasi pemutihan di semua skim secara berkala untuk memastikan tidak ada pihak yang menyalahkan kemudahan tersebut," katanya. -Sinar Harian