Tanah runtuh di Kampung Raja, Cameron Highlands, laluan terhalang
Polis mengesahkan tiada kehilangan nyawa atau harta benda dalam kejadian yang dilaporkan pada pukul 2 pagi itu.
Bernama
Mon Jan 06 2025
Keadaan susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Besar Kampung Raja dekat simpang tiga Blue Valley di Cameron Highlands awal pagi ini. - Foto APM/Sinar Harian
KUANTAN: Satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Jalan Besar Kampung Raja, Cameron Highlands hari ini, menyebabkan laluan terhalang.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Azri Ramli berkata tiada kehilangan nyawa atau harta benda dalam kejadian yang dilaporkan pada pukul 2 pagi itu.
"Kejadian itu mengakibatkan laluan di kedua-dua arah terhalang, namun kerja-kerja pembersihan giat dijalankan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Cameron Highlands memaklumkan bahawa Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah berada di lokasi kejadian bagi memantau dan menghantar bantuan anggota.
Menurut sekretariat itu, laluan alternatif adalah melalui Jalan Sungai Koyan, Lipis dan Jalan Tapah untuk ke Cameron Highlands.
Susulan kejadian tanah runtuh itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Cameron Highlands Leftenan (PA) Md Hazli Hanifah Mohd Hanafi berkata pihaknya telah membantu membawa 11 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Sekolah Menengah Kampung Raja.
Beliau berkata kesemua calon SPM itu dibawa menggunakan kenderaan pacuan empat roda ke sekolah berkenaan pada 7.30 pagi tadi.