KUALA LUMPUR: Komitmen terhadap pengukuhan sektor air negara semakin baik, dengan kerajaan mengakui kepentingan nilai kelestarian dalam memastikan perkhidmatan air bertaraf dunia di Malaysia.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ini membolehkan agenda nasional seperti Pelan Hala Tuju Transformasi Air (AIR 2040) dilaksanakan dengan lebih mudah dan bersepadu.

“Apabila berbicara soal kelestarian, sudah pasti beban pada kerajaan, dan sekiranya kita melaksanakan projek pembangunan, kepentingan itu perlu diambil kira.

“Contohnya pembaharuan dari segi teknologi, dahulunya kita sebut untuk bina takungan air, tetapi cabaran yang kita ada ketika ini ialah takungan air itu sepatutnya berfungsi untuk mengawal banjir, maksudnya jika berlaku lebihan air.

“Untuk memperlihatkan lagi bagaimana integrasi kerajaan dalam soal kemampanan, kita sedang mengorak langkah seperti perancangan Perdana Menteri untuk melancarkan projek solar di Empangan Kenyir,” katanya ketika muncul dalam program Agenda AWANI semalam.

Jelas Akmal Nasrullah, kemunculan pelan itu juga memudahkan integrasi dalam proses transformasi sektor air bagi memacu Malaysia sebagai hab utama pelbagai sektor dalam kalangan negara serantau.

Tambahnya lagi, pelan itu juga akan membantu pengurusan air secara bersepadu, terutama membabitkan isu kebocoran air tidak berhasil (NRW) di peringkat negeri.

“Kalau kita tidak uruskannya dengan secara bersepadu, masalah yang kita hadapi berkaitan paip, asbestos, simen, dan sebagainya, akan berterusan, banyak yang perlu diselenggara.

"Kerajaan tahun ini telah pun luluskan sejumlah dana yang kita akan agihkan kepada semua negeri untuk baik pulih paip-paip yang kritikal.

"Sebab, sasarannya ialah, daripada 33.4 peratus ketika ini, menjelang 2030 kita harap boleh rendah sampai hingga 28.8 peratus,” katanya lagi.

Pelan Hala Tuju Transformasi Air yang dilancarkan November lalu bertujuan mentransformasi sektor air negara dan memajukan bidang sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE).

AIR 2040 yang dilaksanakan dalam tempoh 20 tahun menerusi empat fasa di bawah Rancangan Malaysia bakal memacu keterjaminan dalam aspek kesejahteraan rakyat.

Agenda AWANI: Pelan hala tuju transformasi AIR 2040