"JIKA tidak ada 'perang ke atas dadah', saya akan dapat menyambut Krismas dengan anak lelaki saya."

Suara Normita Lopez yang berusia 56 tahun itu bergetar dengan amarah. Anaknya, Djastin - hanya berusia 23 tahun - telah ditembak mati dua setengah tahun lalu. Dia adalah salah seorang daripada 5,526 mangsa yang direkodkan susulan tindakan keras Presiden Rodrigo Duterte.

Pada hari dia dibunuh, Normita, wanita gempal dengan wajah segar, dapat rasa bahawa sesuatu tidak betul, "mungkin sebab itulah saya menghalangnya daripada pergi."

Pasukan Ceritalah telah menemuinya dua kali sejak enam bulan lalu. Kali pertama ialah di pondok satu bilik di Tondo, Manila di mana dia hidup dengan keluarganya. Bagaimanapun, kerana keengganannya untuk kekal diam dan menerima takdir berdarah anaknya, Normita terpaksa meninggalkan rumahnya dan sekarang tinggal bersama seorang sanak saudaranya di bahagian lain bandar itu.

BACA: Perang banteras dadah Filipina kini sasarkan 'ikan besar'

BACA: Pacquiao percaya hukuman mati paling layak untuk penjenayah dadah

Normita masih boleh ingat kejadian petang itu dengan jelas. Anaknya telah menerima mesej teks dari seorang kawan bertanyakannya dan meminta dia keluar. Menepis kebimbangan ibunya, ia bergegas keluar.

"Semua orang memanggilnya 'Tirik' (merujuk pada pergerakan matanya ketika sawan) kerana dia berpenyakit sawan."

Beberapa jam kemudian, dia menerima berita dari seorang jiran bahawa polis telah melepaskan tembakan di laluan kereta api. Dia dengan terdesak berusaha untuk menghubungi anaknya -- tetapi tidak berjaya. Malam pun tiba.

Pasukan Ceritalah menemu bual Normita Lopez di rumahnya. - Foto Ceritalah

Jiran yang sama datang balik dengan lebih banyak berita. "Tirik sudah mati."

Normita bergegas ke tempat jenayah -- mindanya tertumpu pada warna dan jenama baju anaknya pakai: Nike kuning cerah. Menurut jirannya, mangsa memakai baju biru dan kelabu.

"Saya tidak percayakannya, tetapi saya tetap menangis."

Dia pergi sehingga ke lintasan laluan kereta api itu sebelum dia ditolak ke tepi, hanya dapat melihat sekilas mayat itu, terbaring berdekatan beberapa orang kampung yang ditangkap, dan dikawal oleh beberapa pegawai polis.

Normita Lopez memegang gambar anaknya, Djastin Lopez, di lokasi kejadian di mana dia meninggal dunia. - Foto Ceritalah

Apa yang berlaku kemudiannya adalah kabur ketika mana Normita cuba dengan segala susah payah mendekati jasad itu. Tetapi dia berulangkali dihalang daripada melakukan perkara ini atas alasan bahawa Operatif Jenayah di Tempat Kejadian (SOCO) kekurangan bukti.

"Saya hanya menangis dan menangis."

BACA: Tidak peduli kritikan, Duterte teruskan perang banteras dadah

BACA: 'Tunggu... perang dadah akan kembali' - Ketua Polis Filipina

Pagi itu hanya membawa cahaya segar dan ketentuan yang memilukan. Sekarang Normita dapat melihat jasad itu dan menangis lagi. Tidak ada keraguan lagi; dia telah melihat wajah Djastin. Pun begitu, dia masih tidak benarkan untuk mendapatkannya dan keluarga mereka tidak dibenarkan untuk menuntut jasad itu.

Beberapa hari kemudian, pihak polis menyatakan bahawa Djastin telah terbunuh dalam tembak-menembak itu.

Djastin Lopez yang meninggal pada 18 Mei 2017. - Foto Ceritalah

Bagaimanapun, Normita kemudian mendengar dakwaan bahawa beberapa pegawai yang sampai awal pada tempat kejadian telah mengatur jasad Djastin supaya tidak kelihatan seperti dia mati dengan kedua-dua tangannya diangkat, untuk mengaburi mata bahawa dia sebenarnya telah menyerah diri apabila ditembak mati.

"Mengapakah dia tidak ditahan?" dia bertanya. "Tangannya diangkat."

Marah dengan apa yang dianggapnya sebagai tindakan berselindung, Normita menyuarakan bantahannya hingga memfailkan kes terhadap kerajaan. Dia juga menceritakan pengalamannya dan sekarang merupakan seorang sukarelawan di Rise Up - sebuah NGO tempatan yang menyokong keluarga mangsa-mangsa pembunuhan tanpa perbicaraan.

Normita baru-baru ini pindah ke rumah saudaranya kerana sering menerima ancaman bunuh. - Foto Ceritalah

Pasukan Ceritalah dapat rasa kesungguhannya apabila dia berkata: "Saya hendak menyediakan bantuan dan bersama dengan keluarga-keluarga yang berkongsi pengalaman saya. Kita semua mempunyai orang tercinta yang terbunuh dalam perang dadah Duterte."

Kesedihan ibu itu mendalam dan mengesankan. "Kadangkala... saya fikir dan bayangkan dia tidur di sebelah saya. Di mana saya boleh peluk erat... saya hanya menangis dan menangis. Anak-anak saya (yang lain) akan kata pada saya "Emak berhenti, berhenti menangis." Saya kata: "Saya tidak boleh menerimanya." Tetapi saya cuba menjaga perkara bersama. Mereka melihat saya ketawa, untuk melupakannya. Tetapi saya tidak boleh terima. Saya masih tidak dapat menerimanya."

Sungguhpun begitu, hidup diteruskan. Dia berusaha untuk kekal positif dan dengan datangnya Krismas dia membantu untuk menyediakan bungkusan-bungkusan hadiah untuk sekitar 200 keluarga yang terkesan akibat perang dadah.

Pasukan Ceritalah menyusuri jalan menuju ke rumah Normita. - Foto Ceritalah

Kali ini ialah sambutan Krismas dia yang ketiga tanpa Djastin dan sungguhpun begitu, bagi Normita, "Krismas sentiasa mengenai keluarga."

Keluarganya akan menziarah kubur di mana Djastin dikebumikan. Musim perayaan itu bertambah mengesankan kerana hari jadi Djastin adalah pada 31 Disember.

BACA: ICC buka siasatan awal jenayah 'perang dadah' Duterte

BACA: 'Kamu nak siasat kami? Maaf, jangan cari pasal!" - Duterte

Wajah Normita mula teruja dengan dia menceritakan banyak protes dan program televisyen yang disertainya. Malah, dia telah menulis secebis puisi yang didedikasikan pada mendiang anaknya. Video memaparkan dia membaca puisi juga telah tular.

Pun begitu, Normita tetap tidak berpuas hati. Dia masih bekerja untuk menang kes demi anaknya dan, dari satu segi, untuk semua keluarga yang berkecai akibat pembunuhan itu.

"Polis telah cuba merasuah saya dan suami saya untuk menutup kes itu tetapi saya akan memalukan mereka. Saya akan lawan selagi saya hidup."


* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.