Pun begitu, bahasa Jawa bukannya bahasa kebangsaan republik itu. Ia adalah Bahasa Indonesia, satu variasi bahasa Melayu. Kedua-duanya amat berbeza dan seharusnya jangan sekali-kali keliru terhadap keduanya.
Lagipun, bahasa Jawa terus hidup - dari segi kedua-dua budaya popular dan politik. Sebagai contoh, salah satu lagu bintang popular terkenal republik itu, Via Vallen, bertajuk 'Sayang' telah melepasi lebih 186 juta tontonan di YouTube. Beliau juga dipilih untuk menyanyi lagu tema 'Meraih Bintang' pada Sukan Asia 2018 di Jakarta.
Malah, Didi Kempot (digelar 'Godfather of Broken Hearts'), yang berusia 52 tahun dan merupakan seorang penghibur Jawa gaya lama dengan kelas tersendiri, baru-baru ini telah membina satu pangkalan peminat milenial yang besar.
Kesemua tujuh presiden Indonesia mempunyai darah Jawa - termasuk BJ Habibie kelahiran Sulawesi yang baru meninggal. BJ Habibie adalah separuh Jawa.
Tetapi bagaimana perkara ini berlaku? Bagaimana bahasa Jawa, bahasa kumpulan etnik terbesar Indonesia gagal untuk menjadi bahasa kebangsaan?
Kita perlu melihat sejarah untuk mengetahui mengapa?
Kesedaran kebangsaan Indonesia (dan begitu juga perjuangan kemerdekaan) benar-benar tumbuh melalui Kongres Pemuda pada Oktober 1928 bila pemimpin-pemimpin pemuda nasionalis dari seluruh Hindia Timur Belanda bertumpu di Jakarta.
Hasil utama perjumpaan itu adalah apa yang dipanggil sebagai "Sumpah Pemuda" . Asasnya nasionalis Indonesia komited berjuang untuk satu tanah air dan satu bangsa (iaitu Indonesia) serta juga mengiktiraf satu bahasa kebangsaan; Bahasa Indonesia.
Hadirin Kongres 1928 itu datang dari pelbagai ragam etnik: Jawa, Minang, Batak dan juga Banjar, Bugis, Ambon, Bali dan Minahasa.
Terdapat dua sebab utama di sebalik pemilihan Bahasa Indonesia.
Yang pertama ialah bahawa ketika mana orang Jawa merupakan etnik terbesar (47 peratus menurut bancian penduduk tahun 1930), mereka bukanlah majoriti besar. Maka, jika ia dipilih, ia tidak akan menjadi kuasa penyatu bagi gerakan nasional yang baru terbentuk. Jika tidak pun, ia akan melahirkan rasa tidak senang hati yang akan dirasakan oleh banyak orang bukan Jawa mengenai kuasa-kuasa pemusatan pentadbiran Belanda di Jakarta.
Sebab kedua ialah perasaan bahawa bahasa itu terlalu kompleks dan feudal bagi sebuah negara moden.
Pandangan ini dikongsikan oleh banyak pemikir dan pemimpin Jawa terkenal. Malah bapa pengasas Indonesia, Sukarno (yang dibesarkan di Blitar, Jawa Timur tetapi tidak hadir di Kongres itu) menulis kemudiannya: "Variasi bahasa Jawa yang pelbagai akan menyukarkan bagi rakyat untuk berinteraksi secara bebas. Ia adalah terutamanya sukar bagi mereka yang tidak berasal dari Jawa Tengah dan Timur. Adakah kita patut guna ngako, krama atau krama inggil untuk semua orang bercakap tanpa mengira status mereka?"
Pendek kata, terdapat tiga "tahap" bahasa Jawa menurut formalitinya; ngako adalah tahap paling rendah dan bentuk paling meluas, madya atau krama madya yang merupakan tahap pertengahan, dan tahap paling tinggi, dirujuk sebagai krama.
Menambah lagi kekeliruan ialah, di setiap tahap, mereka mempunyai kategori tersendiri berdasarkan kepada status seseorang yang diajukan.
Krama sendiri dibahagikan pada dua bentuk yang mana krama inggil (krama tinggi) dan krama andhap (krama rendah). krama inggil digunakan pada acara-acara formal atau oleh orang berstatus tinggi.
Sementara krama andhap (krama rendah) digunakan untuk menunjukkan hormat kepada orang lain di status lebih tinggi tanpa merendahkan diri sendiri.
Sebagai contoh, perkataan "kamu" dalam ngako adalah "kowe" tetapi dalam krama madya ia menjadi "sampeyan", sementara dalam krama inggil, seseorang akan kata "panjenengan."
Ini bermakna berkomunikasi dalam bahasa Jawa memerlukan seseorang penutur sentiasa sedar terhadap statusnya dan juga orang yang ditujunya.
Cara mudah bagi orang asing, mereka akan menggunakan krama, tetapi bagi penutur asli pun, mereka mendapati penggunaan krama adalah suatu yang mencabar.
Memandangkan kekompleksitian itu, nasionalis Indonesia dengan komitmen mereka pada persamaan mengambil berat terhadap feudalisme yang intrinsik dalam bahasa Jawa.
Sebagai perbandingan, Bahasa Indonesia atau Melayu yang merupakan bahasa komuniti Melayu Sumatra yang dari segi bilangan adalah kecil adalah lingua franca bagi keseluruhan kepulauan. Jadi, pada intinya ia adalah milik semua orang Indonesia. Lagipun, adalah secara relatifnya mudah untuk belajar dan menggunakannya.
Malah, Bapa Pendidikan republik itu -- aktivis Ki Hadjar Dewantara (yang kemudian menjadi Menteri Pendidikan pertama) -- telah seawal 1916 mengajukan supaya bahasa Melayu diajar kepada kanak-kanak dan bukannya Bahasa Jawa.
Adalah suatu yang bermakna bahawa Hadjar, yang lahir sebagai orang bangsawan priyai dengan nama "Raden Mas Soewardi Soerjaningrat" yang kemudian menggugurkan gelarannya sebagai penolakan terhadap feudalisme.
Bahasa Indonesia, dalam banyak hal telah mencapai kejayaan yang hebat.
Pada tahun 2010, sekitar 92 peratus daripada penduduk mengakui fasih dalam Bahasa Indonesia, berbanding 40 peratus dalam tahun 1970.
Bagaimanapun, memandangkan bahawa orang Jawa adalah dominan dalam politik dan kehidupan awam, penguasaan bahasa dan nuansa budayanya adalah kritikal bagi sesiapa yang berharap untuk memahami republik itu.
Tentunya bagi banyak orang, bahasa Jawa dilihat memiliki tradisi kesusasteraan kaya yang tiada bandingan sejak berabad-abad lamanya berasaskan pada tulisan Mpu Prapanca, Mpu Tantular dan juga Ronggowarsito, penyair diraja dan karya yang lebih mengghairahkan, Serat Centhini.
Maka ketika Bahasa Indonesia kelihatan dominan, bahasa Jawa kekal merupakan arus bawah yang kuat dan berpengaruh, mematerikan wacana awam dan budaya popular dengan kehadiran yang kaya dan kompleks, satu bayangan yang seringkali menghasilkan lebih banyak makna daripada yang dijangka seseorang.
Maka seseorang adalah dinasihatkan supaya mengingati peribahasa Jawa: "Ojo kagetan, ojo dumeh" atau "Jangan terlalu mudah terkejut dan jangan sombong."
* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.