DIALEK merupakan satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial yang berbeza daripada bahasa standard, loghat dan pelat daerah. Penggunaannya lebih santai dan tidak rasmi. Dari sudut linguistik pula dialek merupakan variasi bahasa yang dituturkan oleh sesuatu kumpulan sosial atau lapisan masyarakat bahasa.

Bahasa ialah wadah utama dalam kegiatan manusia yang menjadi jati diri sesuatu bangsa dan cerminan budaya masyarakat atau sesuatu komuniti. Bahasa dibahagikan kepada dua aliran, iaitu bahasa standard atau baku dan bahasa kolokial atau percakapan atau basahan.

Bahasa basahan bersifat bahasa percakapan atau pertuturan harian yang digunakan dalam konteks tidak rasmi dan dituturkan dengan orang atau kelompok masyarakat dan lingkungan sosial yang sama.

Penggunaannya tidak mementingkan tatabahasa tetapi cukup sekadar dengan kefahaman antara penuturnya. Bahasa basahan juga cenderung berbeza mengikut dialek dan budaya setempat, menjadikannya lebih fleksibel dan spontan. Ia sesuai digunakan dalam suasana kasual seperti perbualan antara rakan, keluarga atau dalam komunikasi tidak rasmi.

Bahasa basahan mempunyai beberapa kepentingan dalam kehidupan seharian dan komunikasi sosial antaranya untuk memudahkan komunikasi. Bahasa basahan lebih ringkas dan tidak formal menjadikannya mudah difahami dan digunakan dalam perbualan harian. Ia membantu memendekkan masa untuk menyampaikan maklumat tanpa perlu mengikut struktur tatabahasa yang rigid.

Selain itu bahasa basahan dapat mewujudkan suasana yang santai apabila penggunaannya membantu mencipta suasana yang lebih mesra dalam perbualan. Hal ini menjadikan interaksi lebih selesa terutamanya antara rakan atau kelompok yang sama atau dalam perbualan tidak formal.

Penggunaan bahasa basahan juga mencerminkan identiti dan budaya. Ia mencerminkan dialek, slanga dan gaya bahasa yang unik kepada sesuatu kumpulan sosial atau kawasan yang membantu dalam memperkukuh identiti budaya dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Berinteraksi dalam bahasa basahan juga dapat meningkatkan keakraban sosial. Ia membina hubungan yang lebih akrab kerana penggunaan bahasa basahan menunjukkan kedekatan atau kesamaan status antara individu. Ini memudahkan komunikasi dan menghilangkan rasa kekok dalam perbualan.

Di samping itu juga ia dapat menyampaikan emosi dan ekspresi. Bahasa basahan sering digunakan untuk mengekspresikan perasaan atau emosi secara spontan. Dengan kata-kata dan ungkapan yang lebih ekspresif, ia memudahkan seseorang untuk menyampaikan perasaan mereka dengan lebih jelas.

Sesetengah pendapat mengatakan penggunaan bahasa basahan mampu menggalakkan kreativiti bahasa. Bahasa basahan memberi ruang kepada kreativiti dalam penggunaan bahasa, termasuk mencipta slanga atau ungkapan baharu melalui cara yang lebih fleksibel dan dinamik untuk berkomunikasi dalam masyarakat.

Ciri-ciri bahasa basahan termasuklah memendekkan kata dan menggugurkan bahagian tertentu dalam ayat. Imbuhan kata pula ditinggalkan dan digantikan dengan unsur isyarat dan gerak-geri untuk difahami oleh penutur dan pendengarnya.

Menurut Za’ba bahasa kolokial merupakan “bahasa cakap mulut”. Terdapat tiga perbezaan antara bahasa baku dengan bahasa basahan. Yang pertama ialah perkataan yang berbeza untuk makna yang serupa. Contohnya “Dia sedang melakukannya” (baku) – “Dia tengah buat” (basahan). Yang kedua membentuk kependekan. Contohnya “Saya sudah membacanya” (baku) – “Saya dah baca” (basahan). Manakala yang ketiga ialah perubahan bunyi. Contohnya “Ambil tuala ini” (baku) – “Ambik tuala ini” – (basahan).

Dialek Johor mempunyai ragam yang berbeza dengan dialek negeri lain. Bagi penduduk yang tinggal di kawasan persisir pantai barat, mereka menuturkan dialek ala Muar. Dialek Muar menukar sebutan “ar” kepada “o” di belakang perkataan seperti “besar” – “beso”, “Muar” – “Muo”, “lapar” – “lapo”.

Bagi daerah lain di Johor, dialek asal Johor yang sama dituturkan oleh penduduk di Kepulauan Riau. Hal ini disebabkan oleh faktor geografi yang membentuk kepulauan Johor-Riau pada suatu ketika dahulu yang menjadikan pertuturan dialek Johor dan Riau tiada perbezaan meskipun Johor dan Riau telah terpisah dan membentuk citra bangsanya yang tersendiri dan berasingan.

Penggunaan dialek Johor dikatakan tidak banyak perbezaan dengan bahasa Melayu baku yang diguna pakai oleh masyarakat pada hari ini disebabkan asal-usulnya daripada bahasa rumpun Nusantara – Johor-Riau.

Tahap kepelbagaian dialek Johor dikatakan paling kurang dan sebutan yang terdapat dalam dialek Johor tidak begitu ketara perbezaanya berbanding bahasa Melayu standard kerana bahasa Melayu standard bertunjangkan dialek Johor.

Walau bagaimanapun terdapat sedikit kelainan di kawasan sempadan Johor seperti kawasan utara, iaitu dari pantai barat sehingga ke pantai timur Johor apabila terdapat percampuran penutur dialek dari negeri Melaka dan Pahang. Tiada perbezaan yang ketara dari segi sistem bunyi yang dituturkan.

Melalui perbezaan kecil ini dialek Johor dibahagikan kepada tiga subkawasan, iaitu Johor, Muar dan Mersing.  Sejarah penghijrahan masyarakat luar dan pedagang yang memasuki perairan negeri Johor sekitar abad ke-18 menjadi faktor utama berlakunya pembentukan kata dan ayat bahasa kolokial terutamanya percampuran dan penghijrahan masyarakat Jawa, Banjar, Bugis dan Minang.

Penulisan ini memberi tumpuan terhadap penggunaan kata “tapi” yang sering digunakan oleh penutur jati negeri Johor yang tidak mengikut struktur tatabahasa yang betul. Huraian dalam penulisan ini diharap dapat difahami oleh penutur negeri lain yang melihatnya sebagai sesuatu yang pelik. 

Tatabahasa Dewan menerangkan bahawa kata “tetapi” atau “tapi” tergolong dalam kata hubung gabungan. Kata hubung gabungan berfungsi menyambung dua ayat yang sama penting kedudukannya dan jenis kata yang menghubungkan dua klausa atau lebih yang sama taraf sifatnya. Contoh ayatnya – Rumah itu sangat luas tapi dapurnya sempit.

Seperti negeri lain di Malaysia, negeri Johor juga mempunyai dialek dan bahasa kolokial yang unik dan tersendiri. Satu daripadanya ialah pertuturan dan penggunaan perkataan “tapi” yang digunakan bukan sebagai kata hubung. Penggunaannya bergantung pada sesuatu keadaan dan digunakan di akhir ayat.

Terdapat beberapa fungsi kata “tapi” yang digunakan di akhir ayat, iaitu untuk menunjukkan sokongan terhadap kenyataan sebelumnya. Contoh ayat, “Aku suka nasi beriani ayam ni, beriani gamlah tapi.” Ayat pertama – suka nasi beriani ayam – disokong dengan – beriani gam (nasi beriani yang sama).

Selain itu kata “tapi” juga digunakan bagi menunjukkan perbandingan. Contoh ayatnya “Kasut kau nampak mahal, kasut aku lagi mahallah tapi.” Ayat ini membandingkan dua kasut yang berbeza. Penggunaan kata “tapi” juga digunakan untuk menguatkan kenyataan yang tidak boleh dibangkang atau kenyataan yang sememangnya benar.

Contoh ayat, “Jersi baru JDT memang cantik. Mahallah tapi.” Jersi baharu yang cantik – merupakan fakta yang tepat dan diperkuat dengan ayat penyambung – mahal pula harganya, iaitu kenyataan yang betul dan bukan bersifat penafian.

Ada masanya penggunaan kata “tapi” digunakan sebagai kata penegas. Dalam bahasa Melayu standard kata penegas ialah -lah, -kah, -tah, pun, juga, cuma, hanya, lagi dan memang. Dalam dialek Johor, kata “tapi” menjadi kata penegas dengan fungsi yang sama dengan kata penegas bahasa standard. Jika ayat dalam bahasa standard “Apalah dayaku hendak membantumu?” Dalam bahasa basahan dialek Johor akan menjadi “Tak dapatlah nak tolong tapi.

Begitulah indahnya bahasa. Pertuturan dialek negeri meskipun membezakan citra rumpun sesuatu etnik ia menjadi lebih mesra dan akrab. Bahasa basahan memainkan peranan penting dalam memperkasakan komunikasi harian yang lebih mudah, dekat dan bermakna, sesuai dengan situasi sosial yang lebih santai. Penggunaannya juga boleh menjadi “jenama” terhadap penutur jati Johor itu sendiri.



* Azura Halid merupakan pejuang Bahasa Melayu yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang yang dijalaninya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.