KUALA LUMPUR: Permainan video Honor of Kings menjadi permainan video arena pertarungan atas talian multipemain (MOBA) mobil pertama yang menampilkan ciri-ciri Melayu.

Ia memperkenalkan pek bahasa Melayu, tidak hanya pada suara latar dan teks-dalam-permainan, malah dalam dialek negeri-negeri di Malaysia, serta skin baharu yang membawakan unsur silat.

Dibangunkan oleh TiMi Studio Group, Honor of Kings merupakan MOBA paling popular di dunia dengan lebih 200 juta pengguna berdaftar dan lebih daripada 100 juta pemain setiap hari.

Kini, ia lebih dekat dengan pemain tempatan apabila ia tidak hanya dalam bahasa Melayu, malah lebih unik, wira-wira bertutur dalam dialek negeri seperti Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah, Pulau Pinang, Pahang, dan Sarawak.

Bersama itu, diperkenalkan juga skin silat “Lam Ascension: Pendekar,” dengan jalan cerita menarik yang mengangkat martabat seni bela diri tradisional itu ke platform yang dipenuhi anak muda generasi masa kini.

Untuk membawakan ciri ini, Honor of Kings bekerjasama dengan juara dunia empat kali dan pemenang pingat emas Sukan SEA lima kali, Al-Jufferi Jamari, yang berkongsi ilmu dan pengalamannya sepanjang lebih 15 tahun dalam seni silat.

“Saya suka skin ini kerana ini menggabungkan fabrik batik tradisional kita, tambahan pula dengan elemen harimau kayu, serta pergerakan-pergerakan pencak silat.”

Di samping itu, Honor of Kings turut bekerjasama dengan pemuzik tempatan Belle Sisoski, yang terkenal dengan karyanya yang menggabungkan unsur moden dengan tradisional, untuk membawakan muzik latar yang sesuai.

“Saya harap remiks ini dapat memperkenalkan instrumen etnik Asia Tenggara kepada audiens, mereka akan rasa diberdaya daripada representasi budaya daripada semua instrumen ini.”

Honor of Kings merupakan permainan video mobil yang percuma untuk dimainkan, yang menuntut kemahiran dan taktik pemain untuk mencapai kejayaan.

Honor of Kings juga menjadi medan perkembangan ekosistem e-sukan yang progresif, menyokong permainan kompetitif dari akar umbi hingga profesional elit.