INDRA Square Mall. Pratunam. Bangkok.

Hujan lebat sedang mencurah turun. Tiga sahabat milenial India -- Rupesh, Ashish dan Sourabh -- sedang berdiri di pintu masuk dan merancang langkah selanjutnya. Dua daripadanya adalah jurutera perisian, seorang usahawan. Dua tinggal di Mumbai dan seorang lagi di Hyderabad.

Setelah terbang ke ibu kota Thai itu dengan menaiki pesawat tambang murah AirAsia, mereka melakukan lawatan lapan hari di negara itu. Mereka pengembara yang suka mencari pengalaman baharu dan bijak teknologi -- menggunakan bas tempatan, BTS dan teksi, serta menempah hotel menggunakan aplikasi Klook.

Bagaimanapun, ia sesuatu pengalaman yang tidak menyenangkan apabila mencari makanan vegetarian. Mereka dapati harga di restoran dan gerai tempatan adalah lebih mahal dari tempat asal mereka. Apapun mereka lebih suka menghabiskan wang membeli-belah.

Sourabhn (yang paling rendah di antara ketiganya) menerangkan kepada Pasukan Ceritalah: "Ini perjalanan pertama kami ke luar India. Tiket penerbangan ketika itu sangat dalam kemampuan kami. Kami berjalan ke Pattaya, Pulau Phi Phi, Phuket dan Bangkok. Tetapi, jujurnya, Bangkok adalah yang paling kami tidak minat. Kami sangkakan ia lebih menarik. Pattaya menyeronokkan kerana kehidupan malamnya. Di Phuket, kami menghabiskan masa dengan bersnorkel, berenang dan relaks di pantai."

Tiga milennial dari India - Rupesh, Ashish dan Sourabh - ditemui ketika melancong buat pertama kali keluar dari India. Pasukan Ceritalah

Tiga lelaki muda itu juga adalah sebahagian daripada gelombang yang menjanjikan akan mengubah pelancongan Asia Tenggara seperti mana kebanjiran pelancong dari China menggegarkan industri hospitaliti sedekad lalu.

Pendek kata, warga India ramai yang suka melancong sekarang.

Sementara angkanya tidak sebesar warga China buat masa ini, kadar pertumbuhan adalah padu dan potensi jangka panjangnya adalah besar.

Pada 2018, kira-kira 1.6 juta orang India melawat Thailand, berbanding 10.5 juta dari China. Sementara India hanya pasaran kemasukan keenam terbesar (di belakang China, Malaysia, Korea, Laos dan Jepun), 1.8 juta daripadanya adalah pelancong yang dijangka berkunjung pada 2019, membuatkan India sebagai sumber pelawat ketiga paling utama Thailand. Menjelang 2030, angka ini dijangka meningkat ke 10 juta.

Apa yang menggerakkan trend ini? Sebahagiannya adalah kerana pertumbuhan ekonomi India: pendapatan purata telah hampir mengganda dari INR63,642 setahun pada 2011--2012 ke INR125,000 pada 2018--2019.

Walaupun pelancong India sukar diuruskan, mereka lebih banyak berbelanja di pasaran tempatan berbanding pelancong dari China. Shutterstock

Pada waktu ini, lebih 25 juta pelancong India keluar negara setiap tahun, dan angka ini dijangka akan meningkat 15-18 peratus setahun, menurut Pertubuhan Pelancongan Dunia PBB (UNWTO).

Angka ini tidak boleh dipandang ringan apabila mengambil kira bahawa perang dagang AS-China mungkin berpotensi mengurangkan bilangan pelancong China.

Tambahan pula, pelancong India sering melihat keseluruhan rantau ini sebagai satu destinasi, melompat antara kota dan tempat peranginan. Asia Tenggara dianggap mampu lawat, mengalu-alukan kedatangan, selamat dan kaya dengan pelbagai budaya.

Santosh, seorang bapa muda yang ditemui Pasukan Ceritalah di Suria KLCC Malaysia berkata: "Kuala Lumpur adalah hentian pertama dalam perjalanan saya. Saya akan berada di sini untuk seminggu. Kemudian, saya akan pergi ke Singapura dan Bali, sebelum kembali ke India."

Kemudahan hubungan dan penerbangan tanpa henti adalah kritikal. Ledakan Thailand telah dipacu oleh sebilangan laluan baharu yang menghubungkan Bangkok dengan kota kedua dan ketiga seperti Jaipur, Kochi dan Varanasi.

Pasar Chatuchak, salah satu destinasi pelancongan di Bangkok, juga merupakan tempat beli-belah popular di kalangan pelancong India. Pasukan Ceritalah

Pesawat harga murah India, IndiGo berkembang ke rantau ini, menghubungkan Kolkata dengan Hanoi dan Ho Chi Minh mulai Oktober ini. Ini menjadikan Vietnam sebagai destinasi serantau kelima selepas Thailand, Singapura, Malaysia dan Myanmar.

Bagaimanapun, sejak pembatalan penerbangan Garuda Indonesia bagi laluan Denpasar-Mumbai, tidak ada penerbangan tanpa henti antara India dan Indonesia. Keadaan ini menghalang akses pelancong India ke Bali, satu destinasi yang sangat popular dalam kalangan pengantin baharu dari seluruh benua kecil itu.

Ketika mana para pelancong India didakwa tidak mudah untuk diurus, mereka berbelanja lebih banyak di pasaran tempatan, berbanding pelancong China.

Kebanyakan pelawat China memilih "pelancongan serba lengkap." Akibatnya, kebanyakan perbelanjaan tertumpu kepada perniagaan yang dikawal oleh syarikat perjalanan yang dimiliki oleh Tanah Besar -- yang sebenarnya memudahkan "pelancongan dolar sifar" yang langsung tidak memberikan pendapatan kepada negara tuan rumah.

Sebaliknya -- seperti mana dipamerkan tiga milenial itu di Bangkok -- pelancong India cenderung untuk bergerak bebas, menempah perjalanan mereka sendiri dengan menggunakan aplikasi seperti TripAdvisor dan Agoda.

Menurut Pak Ardi, kesukaran terbesar apabila berurusan dengan pelancong India adalah dalam isu makanan dan tabiat tawar-menawar. Bagaimanapun, katanya, perkara berkaitan budaya ini boleh diatasi. Pasukan Ceritalah

Mereka juga kelihatan lebih sedia untuk tidak terikat dengan lawatan yang berpandu dan berurusan sendiri dengan peniaga tempatan. Tiga pemuda itu mengatakan mereka membelanjakan kira-kira THB1,000 setiap hari ke atas makanan dan minuman di Thailand - bil bar adakalanya meningkat sehingga THB800 sekepala.

Pastinya, kemasukan pelancong India sering ada cabarannya tersendiri.

Pada Julai lalu, satu video kontroversi jadi tular di media sosial -- menunjukkan satu keluarga India yang dipaksa membuka beg mereka oleh pengurusan hotel di Bali di mana mereka tinggal.

Keadaan itu berlaku kerana mereka telah mencuri hiasan dan barang-barang perabut di hotel itu, tetapi dengan angkuhnya menawarkan untuk membayar kesemuanya apabila ia dipersoalkan.

Santosh, pelancong solo dari Mumbai, melawat Malaysia buat kali pertama. Pasukan Ceritalah

Menurut Ardi, pengurus operasi di sebuah hotel tempatan di Bali, kesukaran terbesarnya apabila berurusan dengan pelancong India adalah isu makanan dan tabiat tawar-menawar.

"Ramai yang menjangkakan makanan akan dihidangkan mengikut citarasa selera mereka. Mereka juga sentiasa meminta diskaun, termasuk untuk makanan, sukan air dan perkhidmatan urut -- walaupun ia tidak disediakan."

Bagaimanapun, Ardi berkata, isu-isu budaya ini akan dapat diatasi.

Turut membantu -- selain meningkatkan bilangan penerbangan terus antara bandar raya di India dan pusat pelancongan di Asia Tenggara -- ialah lebih banyak akses bebas visa.

Pelancong India menganggap Asia Tenggara sebagai destinasi yang mampu dilawat, mengalu-alukan kedatangan, selamat dan kaya dengan pelbagai budaya. Foto Agoda

Indonesia telah melaksanakan perkara ini sementara Thailand membatalkan bayaran bagi visa yang dikeluarkan ketika sampai di lapangan terbang.

Tentunya negara-negara lain juga boleh mengikuti langkah ini atau melakukan perkara yang lebih baik.

Sementara ekonomi India mungkin menghadapi kemerosotannya sendiri, pelancong-pelancong dari gergasi Asia Selatan itu akan menjadi kuasa yang semakin perlu diiktiraf di rantau kita.

Warga India semakin ramai datang berkunjung -- lebih baik Asia Tenggara bersedia.


* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.