SEEKOR haiwan mati.

Sama ada ia seekor ikan, burung, mamalia atau reptilia, keadaannya sentiasa sama. Apabila autopsi dilakukan, pastinya bergelung-gelung plastik ditemui dalam perutnya.

Apabila saya bangun setiap pagi, saya melangkah masuk ke bilik mandi saya dan meninjau di rak. Terdapat barisan bekas plastik beraneka warna: ubat gigi, perapi rambut, sabun tangan, krim dan losyen mata. Oleh kerana saya sering mengembara, saya juga mempunyai susunan paket kecil syampu murah sekali guna.

Sekarang ini (dan kerana bilangan plastik yang saya gunakan kelihatannya tidak berkesudahan), saya rasa seolah-olah saya adalah seorang pelaku, yang telah membunuh haiwan-haiwan itu.

Mudah sahaja untuk pasrah dan berputus asa dengan semua ini: pergunungan sampah yang tidak boleh dimusnahkan. Tetapi cuba kita berhenti sejenak dan berfikir sebentar.

Koleksi barangan plastik dari kamar mandi penulis. Kebanyakan produk ini termasuk di bawah kategori PET dan boleh dikitar semula di Malaysia. Foto Ceritalah


Plastik - secara ringkasnya - adalah polimer organik sintetik dan separa sintetik yang biasanya dihasilkan dari petrokimia. Dan ia lebih daripada sekadar plastik sekali guna.

Menurut Persatuan Industri Plastik, majoriti plastik yang dikeluarkan dan dibuang boleh diringkaskan kepada enam kategori.

Pertama: Botol plastik (paling jahat). Ia selalunya diperbuat daripada Polietilena Tereftalat) (PET), suatu bahan yang keras dan fleksibel. Poliester - fabrik yang boleh dipakai - adalah sejenis PET.

Kedua: Polietilena Berdensiti Tinggi (HPDE) digunakan untuk membuat objek lebih keras yang memerlukan satu struktur tetap, sebagai contoh, bahagian kereta, palet, perabut, pembungkus detergen, peluntur dan susu.

Pembedahan ke atas burung ini menunjukkan jumlah sampah plastik yang dicerna haiwan tersebut. Pencemaran plastik mengakibatkan kematian jutaan spesies burung laut setiap tahun. Foto Smithsonian


Ketiga: Polivinil Klorida (PVC). Ia lebih mulur dan tahan. Ketahanan PVC terhadap api dan keupayaannya menghadapi tekanan menjadikannya bahan pembinaan ideal dalam pemasangan paip, lantai dan kabel.

Keempat: Polietilena Berdensiti Rendah (LDPE) secara umumnya adalah bahan plastik yang tipis dan fleksibel, digunakan untuk membuat beg plastik dan kebanyakan bungkusan.

Kelima: Polipropilena (PP) adalah sejenis plastik yang amat fleksibel dan seperti getah, digunakan dalam tiub dan bekalan perubatan. Ia lebih baik dari segi ketahanan haba, fleksibel dan transparen.

Keenam: Polistiren (PS) adalah sejenis termoplastik, yang boleh dicairkan dan ditukar bentuk tanpa melalui perubahan kimia yang kekal. Ia paling selalu digunakan dalam pembuatan styrofoam.



Tentunya kita boleh mengitar semula atau menyingkirkan saja semua kategori plastik ini, bukan?

Tidak semestinya; dan di sinilah ia menjadi rumit.

Sebagai contoh, daripada enam kategori itu, hanya tiga boleh dikitar semula di Malaysia: PET, HPDE dan PP. Di Indonesia, hanya PET, HPDE dan LDPE (pada peringkat yang sangat kecil) dikitar semula.

Bagaimanapun, saya - dan kebanyakan orang Asia Tenggara - mempunyai kesemua enam kategori itu di rumah.

Malah, menjadi satu tanda tanya besar adakah kita boleh atau tidak, untuk tidak menggunakan plastik sama sekali.

Sisa-sisa beg plastik ditemui di celah semak di Pontian, Johor. Foto Ceritalah

Industri plastik (produk utama petrokimia) adalah amat besar. Jumlah keseluruhan hasil daripada 50 syarikat petrokimia utama pada 2018 adalah sebanyak ASD926.8 bilion (RM3.855 trilion), jauh melebihi hasil industri penapisan yang berjumlah ASD400 bilion (RM1.633 trilion).

Tambahan pula, industri petrokimia dijangka tumbuh 10 hingga 15 peratus setiap tahun.

Di Asia Timur, terdapat syarikat gergasi seperti LG, Toray Formosa Plastics, Sinopec, Mitsubishi, PetroChina dan Lotte. Asia Tenggara menyumbangkan satu pertiga daripada hasil 50 syarikat tersebut, menunjukkan pertumbuhan yang kukuh di rantau ini.

Dan semua plastik ini pasti menimbun!

Lebih 7,000 orang bergantung pada tapak pelupusan sampah Bantar Gebang untuk menyara kehidupan mereka. Foto Ceritalah

Bantar Gebang ialah tapak pembuangan terbesar di Indonesia dan Asia Tenggara. Setiap hari, sekitar 6,500 - 7,000 tan sampah dari wilayah metropolitan Jakarta masuk ke kawasan itu. Plastik merupakan bahagian terbesar daripada sampah itu.

Tetapi hakikat yang menyakitkan ialah, kita tidak mampu untuk berhenti mengeluarkan plastik begitu saja. Juga, tanpa plastik, tidak ada alternatif lain yang boleh membantu menyenangkan kita dalam kehidupan seharian.

Pada fikiran saya, bukan plastik yang menjadi isunya. Cabaran sebenar adalah, mencari jalan dan meneruskan satu sistem pengurusan sampah yang berkesan dan kos efektif.

Walaupun ia sebenarnya ialah sebuah kampung di kota Bekasi, Indonesia, namun Bantar Gebang selalunya merujuk kepada tempat pembuangan sampah terbesar di kawasan tersebut. Setiap hari, jumlah sampah yang memasuki Bantar Gebang ialah sekitar 6,500 - 7,000 ton, dari Provinsi DKI Jakarta. Foto Ceritalah

Sebagai contoh: Indonesia - yang membuang kira-kira 1.2 juta tan plastik ke dalam laut setiap tahun - menanggung masalah infrastruktur tidak mencukupi dan komitmen rasmi yang terhad.

Tapak pembuangan terbuka bukanlah satu penyelesaian jangka panjang memandangkan sifat plastik yang sangat tahan lama.

Kesannya, tapak seperti Bantar Gebang sudah pun tutup kerana penuh.

Autopsi yang dijalankan terhadap seekor ikan paus yang mati terdampar di perairan Filipina menemui 40kg sampah plastik di dalam perutnya. Foto AFP/Ceritalah

Situasi di Singapura, Korea Selatan dan Jepun boleh dicontohi: sampah mereka sama ada dihantar ke insinerator atau dikitar semula.

Negara-negara ini juga berkongsi tiga faktor yang sama.

Pertama, mereka menjadikannya sebagai tanggungjawab pengeluar untuk menghasilkan pembungkusan yang mudah dikitar semula.

Kedua, mereka mempunyai budaya kitar semula yang kuat yang menggalakkan ia dijalankan di peringkat individu secara berdisiplin dan bertanggungjawab.

Akhirnya, semua tiga negara itu mempunyai keupayaan industri untuk memproses sampah dan bahan kitar semula.

Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp), pada 2018, rakyat Malaysia menghasilkan purata 1.17kg sampah seorang. Foto Ceritalah

Tetapi, ini tidak bermakna kita patut hanya bergantung kepada pengurusan sampah. Di mana boleh, kita patut kurangkan, kurangkan, kurangkan.

Negara-negara boleh mencuba kurangkan penggunaan plastik sekali guna melalui langkah-langkah seperti pengharaman dan tarif. Bali, hab pelancongan utama Indonesia, sebagai contoh, telah melarang penggunaan plastik sejak 23 Jun lalu.

Perniagaan runcit seperti pasar raya dan restoran boleh memilih untuk menggunakan pembungkusan tradisi seperti daun pisang.

Tetapi akhirnya, kita, sebagai rakyat sesebuah negara, perlu menuntut perubahan di samping mengubah perlakuan kita.

Rakyat membentuk kerajaan dan memaklumkan kepada kerajaan, membentuk pasaran dan juga memberi kesan kepada permintaan.

Anda dan saya tidak terkecuali.

Sama ada begitu, atau kita pikul tanggungjawab terhadap kematian ribuan, jika tidak pun jutaan, haiwan.

Walaupun tragis, reaksi mendalam yang dicetuskan oleh gambar-gambar "kematian akibat plastik" seharusnya memberi kita dorongan kuat untuk bertindak.

Suka atau tidak, plastik akan tetap digunakan.

Tetapi, tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh bersungguh dalam memastikan ia dibuang melalui sistem pengurusan sampah yang berkesan.


* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.