SUBANG JAYA: Taylor’s University terus mencatatkan kecemerlangan apabila melonjak lima anak tangga untuk menduduki tempat ke-36 dalam QS Asia University Rankings 2025.

Profesor Chong Pei Pei, yang mengetuai Impact Lab untuk Kesihatan Digital dan Kemajuan Perubatan di Taylors University, mencapai satu pencapaian penting dalam usaha memerangi kanser serviks dengan pengenalan PapLite Pro', inovasi yang mengubah cara saringan kanser serviks dilakukan.

Menurut Naib Canselor dan Presiden Taylor’s University, Profesor Barry Winn, pengiktirafan ini bukan sahaja mengangkat universiti tersebut, tetapi juga mengukuhkan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa bertaraf dunia.

“Kementerian Pendidikan Tinggi berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan universiti antarabangsa, dan di Taylor’s, hampir 50 peratus pelajar kami kini terdiri daripada pelajar antarabangsa,” jelasnya.

Profesor Winn menambah, pengiktirafan ini memberikan keyakinan kepada ibu bapa, majikan, dan pelajar bahawa di Taylor’s, mereka akan menerima pendidikan dan ijazah bertaraf dunia.

“Ia sangat penting bagi Malaysia untuk mempunyai universiti-universiti yang tersenarai dalam kedudukan tinggi, dan tahun ini, ia telah menjadi kenyataan,” tambahnya.

Graduan Culinology Taylors, Eleonora Rumuat (kanan), meneroka bidang baharu dalam protein lestari dengan BugKwa, snek daripada larva lalat tentera hitam.

Beliau juga percaya bahawa pencapaian tersebut akan memberikan dorongan kepada Taylor’s University untuk terus mempertingkatkan kualiti pendidikan ke tahap terbaik untuk pelajar-pelajarnya.

“Pencapaian ini menunjukkan bahawa kami berada pada kedudukan yang sangat baik dalam ukuran kecemerlangan, dan ia mengukuhkan apa yang kami lakukan serta memberi keyakinan bahawa pendekatan kami terhadap pendidikan tinggi dihargai dan dinilai dengan baik,” ujarnya.

Taylors University melonjak lima anak tangga untuk menduduki tempat ke-36 dalam QS Asia University Rankings 2025, satu bukti komitmen terhadap kecemerlangan akademik dan inovasi.

Menurut Profesor Winn lagi, pengiktirafan ini mencerminkan tanggungjawab dan komitmen kakitangan yang berdedikasi dalam memberikan pengalaman terbaik kepada pelajar.

Penarafan QS Asia University Rankings 2025 menilai prestasi universiti-universiti di seluruh Asia, termasuk China, Jepun, Korea Selatan, dan Singapura.

Penilaian ini berdasarkan beberapa indikator utama, seperti reputasi akademik, nisbah pensyarah-pelajar, dan sitasi per kertas.