Namun, ramai mungkin terlepas pandang bahawa sumbangan beliau di peringkat ASEAN dan antarabangsa juga amat besar, bukan sekadar keselamatan dan kesejahteraan serantau, malah dalam budaya dan sukan.
Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Dato' Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata, Tunku Abdul Rahman memainkan peranan yang cukup besar dalam pembentukan Asean pada 1967 dan memastikan Malaysia antara yang terawal dalam pertubuhan itu.
“Dan di peringkat antarabangsa, Tunku Abdul Rahman antara yang mengesyorkan tentang pertubuhan negara-negara asean, dan pernah menjadi setiausaha tetap Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang pertama.
“Lihat pada konsep lain, sukan mungkin jadi salah satu pendekatan kepada Tunku Abdul Rahman untuk membawa perpaduan. Jadi kalau masa Merdeka kita diperkenalkan dengan Pesta Bola Merdeka, di peringkat Asia, terlibat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Maka, kita lihat Tunku ini orang yang pelbagai, bervisi. Ini satu sumbangan kalau kita lihat, di peringkat ASEAN sangat besar. Di peringkat antarabangsa, Tunku Abdul Rahman mempertahankan Palestin, dan sehingga sekarang agenda itu masih berterusan,” katanya lagi.
Selain itu Dato' Jaafar Sidek berkata, selain Palestin, Tunku Abdul Rahman antara pemimpin yang sangat lantang mempertahankan nasib bangsa Afrika, sewaktu mereka ditindas oleh orang barat susulan Dasar Apartheid.
Beliau berkata demikian sewaktu bersiaran bersama editor kanan Astro AWANI dalam wawancara khas sempena Program Mengenang Negarawan Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj “Negarawan Sejuta Jasa” pada Isnin.
Dalam pada itu, Dato' Jaafar Sidek berkata, Tunku Abdul Rahman juga amat berjasa besar dalam penyebaran syiar Islam, apatah lagi Almarhum merupakan yang pertama meluahkan idea penubuhan Majlis Tilawah Al-Quran pada tahun 1961, dan seterusnya ia menjadi acara peringkat antarabangsa yang menonjolkan nama Malaysia di persada dunia.
Beliau berkata, kesemua ini menunjukkan perwatakan dan keperibadian Tunku, yang bukan sahaja komited dalam memastikan penubuhan negara Malaysia yang stabil dan maju, tetapi juga membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Sempena bulan kebangsaan, Dato' Jaafar Sidek berkata, Arkib Negara Malaysia di bawah Kementerian Perpaduan Negara telah menganjurkan Program Mengenang Negarawan YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bertemakan “Negarawan Sejuta Jasa” akan berlangsung di Piazza, Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Manakala Program Mengenang Negarawan Tun Datuk Patinggi Temenggung Jugah Anak Barieng akan diadakan pada 9 September 2024 di Dayak Cultural Foundation, Kuching, Sarawak.
Kesemua program berkaitan negarawan yang diadakan, jelas beliau lagi, adalah program yang mendukung flagship ‘Ini Warisan Kita’ di bawah Kementerian Perpaduan Negara.
Ia turut disenaraikan di bawah Teras Meningkatkan Jati Diri dan Semangat Cintakan Negara bagi meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum tentang khazanah warisan negara.