Satu pengiktirafan buat Astro Awani.

Demikian kata-kata editor pengurusan Awani Suhaimi Sulaiman sebaik sahaja menerima Anugerah Khas Media TV, Anugerah Green Tech Malaysia 2012 di KL semalam.

"Anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada kami untuk laporan-laporan kami yang mempertengahkan isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar dan teknologi hijau," kata Suhaimi.

Majlis tersebut, yang dianjurkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam ucapannya malam tadi, Muhyiddin berkata kerajaan serius dalam membangunkan sektor ekonomi hijau.

Menurut beliau, wujud keperluan untuk membangunkan modal insan terlatih dan berkepakaran bagi memuhi permintaan dari industri dan perniagaan hijau.

Kata Muhyiddin, ini kerana aktiviti hijau di negara ini akan terus berkembang serta ditunjangi oleh dasar-dasar berkaitan teknologi hijau yang sedang dan akan diperkenalkan oleh kerajaan yang mana antaranya dasar tenaga boleh diperbaharu, mekanisme ‘fit in tariff’, perlanjutan skim pembiayaan teknologi hijau dan kerangka perbandaran rendah karbon.

“Dalam perkara ini saya ingin menyeru kepada institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta agar dapat menawarkan lebih banyak lagi kursus-kursus yang berkaitan dan relevan dengan pembangunan ekonomi hijau dan industri teknologi hijau khususnya bagi memenuhi permintaan pasaran di Malaysia,” kata Muhyiddin yang juga merupakan Menteri Pelajaran.

Beliau juga menggesa sekolah-sekolah supaya memperkenal dan melaksanakan projek-projek hijau serta amalan kitar semula di sekolah masing-masing.

“Sudah pasti inisiatif seperti ini akan dapat memupuk kesedaran mengenai sistem dan nilai-nilai hidup hijau di kalangan pelajar-pelajar,” jelas Muhyiddin lagi.

Anugerah Green Tech Malaysia 2012 merupakan pengiktirafan usaha dan inisiatif para individu, syarikat dan organisasi dalam perubahan baik terhadap alam sekitar.

Antara pemenang yang lain termasuk The New Straits Times Press dan Utusan Melayu Berhad bagi Anugerah Khas Media Cetak, Muhammad Afiq Hanif dari Harian Metro untuk Anugerah Teknologi Hijau Kewartawanan (Akhbar Bahasa Melayu), Meng Yew Choong dari The Star untuk Anugerah Teknologi Hijau Kewartawanan (Akhbar Bahasa Inggeris) dan Rohani Hamdan dari RTM untuk Anugerah Teknologi Hijau Kewartawanan (Televisyen).

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Tenaga Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, Timbalan Menteri Tenaga Hijau dan Air Datuk Noriah Kasnon dan juga Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga Hijau dan Air Datuk Loo Took Gee.