Anwar berkata negara kehilangan seorang tokoh dan permata seni yang begitu besar jasanya dalam memperkaya landskap muzik tanah air.
Beliau berkata jasa dan karya Allahyarham bukan sahaja menjadi warisan seni tetapi juga pengikat perpaduan dalam masyarakat.
"Tan Sri Ahmad Nawab bukan sekadar komposer dan pemuzik unggul, tetapi beliau adalah jiwa seni Malaysia yang telah menyentuh hati jutaan rakyat melalui karya-karya puitis yang penuh keindahan dan makna. Jasa Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai legenda yang tiada galang gantinya.
"Takziah saya utuskan kepada keluarga Allahyarham. Mendoakan roh Allahyarham diampunkan segala dosanya dan diberi tempat istimewa di sisiNya, Insya-Allah. Al-Fatihah," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Ahmad Nawab meninggal dunia pada usia 92 tahun akibat sakit tua di kediamannya di Taman Melewar, Gombak, kira-kira 3.15 petang tadi.
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan pada 10 pagi esok di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak di sini.
Beliau telah menghasilkan lebih 200 album artis tempatan dan Indonesia antaranya Uji Rashid, Broery Marantika, Hetty Koes Endang, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Sudirman Haji Arshad dan Ramlah Ram.
Ahmad Nawab dianugerahkan pengiktirafan sebagai Seniman Negara pada 2006 atas jasa dan sumbangannya dalam industri muzik.
-- BERNAMA