TAWAU: Tertuduh kedua dalam kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, atau Ijat, hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia menampar muka, memukul bahu, menendang dan memijak pinggang mangsa di bilik asrama 5 Belian.

Saksi pembelaan ketujuh itu berkata tindakannya adalah bagi mendapatkan jawapan daripada mangsa berhubung kes kecurian yang dilaporkan oleh dua pelajar iaitu tertuduh pertama dan seorang pelajar yang tidak dikenali.

"Sewaktu saya masuk ke bilik 5 Belian, saya nampak mangsa di tengah bilik duduk di lantai... ramai yang mengerumuni mangsa, saya kemudian menyuruh mereka keluar dari bilik untuk bersendirian dengan mangsa, selepas semua keluar saya kemudian bertanya sama ada perkara itu benar atau tidak.

"Saya suruh dia berdiri dan menjawab pertanyaan saya, waktu itu dia tidak mengaku dan saya berasa marah dengan jawapannya lalu saya menampar muka (mangsa) sehingga dia terjatuh di tepi loker, kemudian saya angkat dia dan menanyakan soalan sama namun dia masih tidak mengaku," katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Pada 28 Feb lepas, Duncan memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun untuk membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lepas.

Remaja itu berkata dia turut memukul bahu serta menendang pinggang Mohamad Nazmie Aizzat sehingga terjatuh dan kemudian memijak pinggang mangsa supaya tidak bangun dan kemudian pintu bilik asrama 5 Belian dibuka oleh seorang pelajar sebelum mangsa dibawa ke tandas untuk membersihkan diri.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif, tertuduh kedua bersetuju bahawa mangsa tidak melawan ketika dipukul dan hanya melindungi diri.

Nur Nisla: Saya katakan kepada kamu bahawa Ijat ada merayu kepada kamu supaya kamu berhenti memukul dan dia sudah tidak tahan.

Tertuduh kedua: Ya, selepas pintu dibuka.

Nur Nisla: Setuju atau tidak pada masa itu, Ijat masih tidak mahu mengaku dia mencuri.

Tertuduh kedua: Terakhir dia mengaku.

Ketika pemeriksaan semula oleh peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, saksi itu memaklumkan pada awalnya, dia hanya ingin menyiasat tentang kejadian mencuri itu tetapi ketika mangsa tidak mengaku, dia terbawa dengan emosi dan berasa marah.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla, Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye manakala lima lagi oleh peguam Mohamed Zairi, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang serta Kusni Ambotuwo.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA