Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut mendoakan agar roh Seniman Negara itu ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh.
"Baginda berdua juga mendoakan agar segala urusan keluarga Allahyarham dipermudah serta tabah atas kehilangan insan yang tersayang," menurut catatan di Facebook Kesultanan Pahang.
Ahmad Nawab, 92, atau nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira 3.15 petang semalam dan jenazah Allahyarham dikebumikan pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak, Kuala Lumpur.
Sepanjang kariernya, komposer terkenal tanah air itu telah dianugerahkan gelaran Seniman Negara ke-7 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006 dan telah mencipta legasi dalam industri rakaman negara dengan lebih 2,000 lagu yang digubah sejak memulakan karier pada usia 16 tahun.
Selain itu, anak kelahiran Pulau Pinang ini juga telah dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah pada 5 Jun 2023.
Pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun dan memenangi pelbagai anugerah, seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya Bintang Malam pada 1980, Allahyarham tidak hanya menghasilkan lagu buat artis tempatan, tetapi juga bintang Indonesia, seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.
Beberapa nama besar dalam dunia seni suara juga telah dilahirkan menerusi sentuhan luar biasa ciptaannya, seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah, Uji Rashid dan Ramlah Ram.
Malah, sumbangan tokoh legenda industri muzik pada persada muzik Malaysia turut diakui Universiti Putra Malaysia yang telah menganugerahkan Doktor Kehormat Dalam Persuratan pada 2000 kepada Allahyarham.
Beliau juga merupakan indidivu yang bertanggungjawab menggubah lagu Malaysia Truly Asia nyanyian Khadijah, yang dianggap dendangan ikon kepada lagu bertemakan pelancongan bagi mempromosikan Malaysia di persada antarabangsa.
-- BERNAMA