Angka 2024 diumumkan dalam laporan Loud And Clear Spotify 2025, selepas pada 2023, penyedia perkhidmatan penstriman itu membayar lebih daripada US$9 bilion kepada industri muzik.
Laporan tersebut mendedahkan bahawa jumlah keseluruhan pembayaran sepanjang hayat kepada pemegang hak untuk karya artis dan penulis lagu hampir mencecah US$60 bilion.
Seorang jurucakap Spotify berkata: "Peminat muzik yang menstrim artis kegemaran mereka secara langsung menyokong kejayaan mereka dan mereka sedang mengubah landskap industri."
"Terima kasih kepada penstriman, lebih ramai artis berbanding sebelumnya menjana royalti di setiap peringkat kerjaya mereka, lebih banyak daripada mana-mana masa dalam sejarah muzik."
Laporan itu juga mendedahkan lebih ramai artis menjana pendapatan lebih tinggi di platform tersebut berbanding sebelumnya, dengan angka menunjukkan bahawa artis yang menjana royalti antara US$1,000 hingga lebih daripada US$10 juta setahun telah meningkat tiga kali ganda sejak 2017.
Ini berikutan selepas bintang pop Taylor Swift dinobatkan sebagai artis nombor satu global Spotify 2024 dengan lebih daripada 26.6 bilion strim di seluruh dunia serta menduduki tempat pertama di platform dengan albumnya "The Tortured Poets Department: The Anthology."
Ini selepas lawatan dunia penyanyi tersebut, Eras, yang memecahkan rekod hasil jelajah dengan lebih daripada US$2 bilion dalam jualan tiket.
Penstriman muzik telah dikritik oleh artis dan pemuzik di seluruh dunia, termasuk Swift, yang mendakwa mereka menerima pendapatan yang rendah daripadanya.
Bintang pop Amerika itu memboikot Spotify dan platform penstriman muzik lain pada 2014, menarik balik katalog muziknya selama tiga tahun sebelum kembali pada 2017 selepas menjual 10 juta salinan album "1989" di seluruh dunia.
Thom Yorke dari Radiohead juga menarik muziknya pada 2013, mendakwa amalan pembayaran yang tidak adil, tetapi telah kembali semula sejak itu.
Penyedia perkhidmatan penstriman muzik itu berkata bahawa mereka tidak mempunyai "pandangan" tentang ke mana wang itu pergi, dengan mendakwa mereka membayar label rekod atau penerbit, yang kemudian membayar artis dan kumpulan berdasarkan kontrak individu mereka.
Seorang jurucakap Spotify berkata: "Spotify tidak membayar artis atau penulis lagu secara langsung. Kami membayar pemegang hak; ini biasanya adalah label rekod, penerbit muzik, atau persatuan kutipan."
"Pemegang hak ini kemudian membayar artis dan penulis lagu berdasarkan perjanjian individu mereka."
"Sama seperti setiap perkhidmatan penstriman lain, kira-kira dua pertiga daripada semua pendapatan muzik kami disalurkan terus kepada pemegang hak rakaman dan penerbit; dan sama seperti setiap perkhidmatan penstriman lain, Spotify tidak membayar berdasarkan setiap strim."
"Sebaliknya, jika anda mempunyai, katakan, 1 peratus daripada semua strim, pemegang hak anda akan menerima 1 peratus daripada semua wang yang kami bayar. Dari situ, pemegang hak membahagikan wang tersebut berdasarkan kontrak individu mereka dengan artis dan penulis lagu yang mereka wakili."
"Setelah wang itu dibayar oleh Spotify, kami tidak mempunyai maklumat arah aliran wang itu."
-- BERNAMA
