Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata serbuan pertama dilakukan pada pukul 8 malam di sebuah gerai di lokasi berkenaan, menyaksikan enam lelaki berusia 20 hingga 33 tahun yang bekerja sebagai peniaga dan pembantu ditahan.
"Hasil pemeriksaan, polis menemui lima peket plastik berisi ketamin seberat 2.85 gram serta dua batang rokok yang dicampur bahan sama. Susulan itu, kami menyerbu sebuah lagi gerai dan menahan seorang lelaki berusia 30 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya pemeriksaan ke atas suspek menemukan satu bungkusan foil merah dan perak yang mengandungi dua biji pil dipercayai Erimin 5 seberat 0.60 gram.
"Kesemua dadah yang dirampas daripada tujuh lelaki tempatan itu dianggarkan bernilai RM610," katanya.
Beliau berkata hasil ujian saringan awal mendapati semua suspek positif dadah dan enam daripada mereka mempunyai satu hingga enam rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.
Kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan lain, Sazalee berkata polis menahan seorang wanita yang bekerja sebagai operator kilang bagi membantu siasatan kes kecurian emas jenis gold scrap di sebuah kilang elektronik di Bayan Lepas.
Menurutnya dalam serbuan pada pukul 1.27 pagi Sabtu lalu, polis menahan wanita tempatan berusia 47 tahun itu di Kampung Matahari Jatuh, Telok Kumbar, kerana dipercayai mencuri emas dari bahagian produksi kilang tempatnya bekerja sebelum menjualnya kepada seorang peniaga emas tanpa sebarang rekod transaksi.
"Susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah kedai emas di Bayan Lepas pada pukul 2.18 petang semalam dan menahan pemilik kedai berusia 66 tahun yang dipercayai membeli emas yang dicuri," katanya.
Hasil pemeriksaan lanjut, polis merampas 4.42 gram gold scrap daripada lelaki berkenaan. Siasatan mendapati wanita itu mengaku mencuri emas sebelum menjualnya kepada peniaga emas terbabit dengan harga RM1,700.
"Lelaki itu pula mengakui membeli emas tersebut tanpa sebarang dokumentasi atau resit yang sah," katanya.
Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
