MELAKA: Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dilantik sebagai Pengerusi DAP Melaka bagi penggal 2024-2027.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang Allex Seah Shoo Chin yang dilantik sebagai Setiausaha DAP negeri bagi penggal sama berkata ia selepas 15 ahli jawatankuasa peringkat negeri yang menang tanpa bertanding bermesyuarat petang ini bagi memutuskan jawatan yang bakal disandang masing-masing.

Sementara itu, beliau berkata bekas ADUN Gadek G. Saminathan kekal sebagai Timbalan Pengerusi DAP negeri.

"Manakala ADUN Banda Hilir Leng Chau Yen dan S. Chandru pula masing-masing memegang jawatan Naib Pengerusi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sebelum ini dilapor berkata DAP Melaka mengekalkan pelaksanaan pemilihan pucuk pimpinan parti itu tanpa pertandingan buat kali kedua berturut-turut sejak 2021.

Beliau dilapor berkata ia hasil konsensus ahli parti itu yang bersetuju mencalonkan 15 nama bagi menganggotai senarai ahli jawatankuasa peringkat negeri itu tanpa sebarang pertandingan.

-- BERNAMA