KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Jumaat susulan nasihat yang lebih lemah daripada pasaran niaga hadapan getah serantau dan penurunan penanda aras harga minyak mentah apabila ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran juga terjejas susulan kebimbangan mengenai peningkatan konflik di Timur Tengah.

"Namun, penurunan selanjutnya terhad kerana sentimen disokong oleh keyakinan terhadap rangsangan selanjutnya dari China dan data ekonomi global yang semakin baik," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata harga minyak merosot pada Jumaat selepas kenaikan pada hari sebelumnya, tetapi harga tetap berada pada landasan untuk kenaikan mingguan kedua berturut-turut kerana pelabur mempertimbangkan kesan kerosakan akibat taufan terhadap permintaan AS berbanding sebarang gangguan bekalan secara meluas jika Israel menyerang tapak minyak Iran.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Mutu Malaysia (GMM 20) susut sebanyak 13 sen kepada 851 sen sekilogram manakala lateks pukal kekal tidak berubah pada 748.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, GMM 20 berada pada 853.5 sen sekilogram manakala lateks pukal berada pada 749 sen sekilogram.

-- BERNAMA