Beliau berkata PGOK merupakan penjenamaan semula Pusat Pengurusan Operasi (PGO) yang bertindak sebagai nadi komunikasi dan pengoperasian JBPM dengan menyalurkan maklumat secara masa nyata mengenai pergerakan pasukan bomba yang terlibat dalam operasi bagi sebarang insiden.
"Ini merupakan salah satu daripada aspek permodenan kita ke arah era digitalisasi. Kita jangka projek ini siap pada 2027. Ini merupakan projek dengan kerjasama TM (Telekom Malaysia Bhd)," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perbarisan JBPM 2025 di sini semalam.
Nor Hisham berkata projek rintis PGOK itu menggunakan enam modul utama antaranya memberi fokus kepada pergerakan dan pemantauan secara berterusan kepada anggota serta aset JBPM di lokasi kejadian.
"Sebelum ini, notifikasi insiden dan pergerakan anggota bersama jentera hanya diperoleh satu balai bomba sahaja, tetapi dengan PGOK, notifikasi akan disalurkan secara serentak kepada tiga balai bomba berdekatan kawasan kejadian," katanya.
Memperincikan mengenai PGOK, beliau berkata ketika ini pihaknya bekerjasama dengan Perbadanan Putrajaya bagi mendapatkan kebenaran untuk akses kamera litar tertutup (CCTV) utama di pusat pentadbiran kerajaan.
"Kita juga akan berbincang dengan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain (untuk akses CCTV)," katanya sambil menambah perbincangan akan disusuli dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Kementerian Kerja Raya untuk tujuan sama.
Terdahulu, dalam amanat pada majlis berkenaan, Nor Hisham berkata JBPM pada tahun ini telah menggariskan enam fokus utama antaranya mengimplementasikan sistem tugasan balai, mengukuhkan perjawatan dan penstrukturan semula serta mendapatkan kelulusan Akta Perkhidmatan Bomba 1998 (Akta 341).
"Saya yakin dengan kesepaduan kerjasama dan tekad cekal untuk sama-sama berbakti, maka komitmen semua pihak akan menaikkan tanda aras kecemerlangan kita," katanya.
Beliau turut mengajak semua anggota bomba untuk terus membulatkan tekad melakukan perubahan ke arah kecemerlangan pasukan wira merah itu dengan berlandaskan kepada semua strategi yang telah disusun rapi bagi mencapai sasaran dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.
"Marilah kita rangkul kembali makna sebenar prinsip 'berfikiran besar, mulakan secara kecil'. Dengan cara ini, kita dapat cari peluang untuk membuat perubahan yang signifikan terhadap diri serta jabatan," katanya.
-- BERNAMA