KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Isnin seiring dengan penurunan pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

Beliau berkata rangsangan China yang kurang memberangsangkan menyeret turun sentimen pasaran.

"Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh gangguan bekalan disebabkan cuaca buruk di Thailand serta peningkatan dalam sektor automobil," katanya kepada Bernama.

Niaga hadapan getah Jepun turun pada Isnin berikutan pakej rangsangan Beijing terbaharu menyebabkan pelabur kecewa, meskipun jualan automobil oleh pengguna utama China yang kukuh mengehadkan penurunan.

Dilaporkan Kongres Rakyat Kebangsaan China meluluskan langkah hutang baharu kira-kira 10 trilion yuan (RM1=1.64 yuan) bagi membantu kerajaan tempatan, namun langkah itu mengecewakan pelabur yang mengharapkan rangsangan fiskal yang lebih bersasar.

Menurut China Passenger Car Association (CPCA), jualan kenderaan penumpang China melonjak 11.2 peratus pada Oktober tahun ke tahun, kenaikan dua bulan berturut-turut dan pertumbuhan terpantas sejak Januari.

"Sebanyak 2.28 juta kenderaan terjual di pasaran auto terbesar dunia itu bulan lepas, dan naik tiga peratus kepada 17.99 juta bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini," kata peniaga itu.

Sementara itu, memetik laporan Jabatan Metereologi Thailand, peniaga itu berkata hujan lebat dan banjir kilat serta limpahan air dijangka berlaku di Selatan Thailand.

"Enam wilayah paling selatan di Thailand diletakkan dalam amaran 'Merah'," katanya.

Menurut Lembaga Getah Malaysia, harga Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) susut 8.5 sen kepada 877.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun 2.0 sen kepada 658.00 sekilogram.

Pada 5 petang, SMR 20 berada pada 874.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 661.00 sen sekilogram.

-- BERNAMA