KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Khamis, apabila sentimen pasaran didorong oleh aliran menaik pasaran niaga hadapan getah serantau dan kebimbangan terhadap bekalan getah asli global yang terjejas akibat cuaca buruk, kata peniaga.

Menurutnya peniaga turut memberikan reaksi terhadap data ekonomi yang optimis daripada Amerika Syarikat (AS).

"Bagaimanapun, peningkatan selanjutnya dikekang oleh penurunan harga minyak mentah dan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun meningkat pada Khamis berikutan kebimbangan mengenai bekalan di Thailand selaku pengeluar utama, meskipun peningkatan itu dikekang oleh pengukuhan yen.

Ekonomi AS turut berkembang kukuh pada 2.8 peratus pada suku ketiga, dipacu oleh peningkatan 3.5 peratus dalam perbelanjaan pengguna, iaitu tertinggi tahun ini, yang memperlihatkan daya tahannya, katanya.

Mengikut Lembaga Getah Malaysia (LGM), harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) naik1.5 sen kepada 870 sen sekilogram manakala susu getah pukal susut 1.5 sen kepada 679.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, SMR 20 berada pada 869.5 sen sekilogram dan susu getah pukal pada 677 sen sekilogram.

-- BERNAMA