Kejayaan terbitan Sukuk Malaysia bernilai US$1.5 bilion selepas empat tahun yang menarik sambutan positif pelabur antarabangsa, merupakan pengesahan mengenai keyakinan mereka terhadap asas ekonomi jangka panjang negara, kata penganalisis.

Sambil mengetepikan kritikan negatif bahawa Malaysia sudah hilang tarikan pelabur, penganalisis bersetuju bahawa realitinya minat pihak asing ke atas instrumen kewangan Malaysia, termasuk bon Islam, terus kukuh.

Sukuk Malaysia bernilai US$1.5 bilion (RM5.4 bilion) terlebih langganan, menarik kepentingan agregat lebih US$9 bilion (RM32.8 bilion) daripada gabungan asas pelabur yang melebihi 450 akaun.

Terbitan ini terdiri daripada Sijil Amanah (Sukuk) US$1 bilion (RM3.65 bilion) bertempoh 10-tahun dan sukuk bernilai US$500 juta (RM1.8 bilion) bertempoh 30 tahun.

Sukuk bertempoh matang 30 tahun itu yang terlebih langgan kira-kira enam kali, dengan mengambil kira instrumen jangka panjang, membuktikan pelabur antarabangsa yakin terhadap prospek ekonomi jangka panjang Malaysia," kata Ketua Penyelidik Inter-Pacific Research Sdn Bhd Pong Teng Siew.

Terbitan bertempoh 10 tahun terlebih langgan kira-kira tujuh kali.

Beliau berkata kedudukan terlebih langgan sukuk Malaysia menunjukkan minat pihak asing ke atas bon Malaysia terus kukuh.

"Kejayaan Malaysia menerbitkan dan menetapkan harga Sukuk Global menunjukkan petanda jelas antara pelabur yang yakin ke atas asas jangka panjang ekonomi dan mereka yang memilih instrumen jangka pendek," kata Ketua Penyelidik MIDF Amanah Investment Bank Bhd Zulkifli Hamzah.

Pelanggan Sukuk Malaysian jelas selesa dengan daya pulih ekonomi Malaysia dan inisiatif pembaharuan fiskal yang dilaksanakan oleh Kerajaan, katanya.

Tindakan Fitch Ratings untuk menurunkan penarafan ke atas Malaysia tidak memberi kesan ke atas terbitan ini terutama membabitkan harga.

"Skeptis tidak nampak peluang untuk terlibat sama dalam kemajuan negara, serta penjalannya untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi," katanya.

Pong juga berkata minat ke atas bon Malaysia muncul hasil daripada unjuran positif ringgit apabila kitaran lemah mata wang itu sudah berakhir.

Ringgit dibuka tinggi pada 3.6305/6335 kepada dolar US berbanding 3.6520/6550 pada penutupan semalam.

Punca utama yang mengheret turut ringgit disebabkan dolar US yang kukuh susulan laporan yang mengatakan Rizab persekutuan akan menaikkan kadar faedah tidak lama lagi.

"Bagaimanapun kami tidak menjangkakan kadar faedah di US akan dinaikkan berikutan ekonomi negara itu yang lemah," katanya.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata kerajaan bangga atas kejayaan transaksi ini serta keyakinan pelabur dunia terhadap kedudukan kredit Malaysia.

Transaksi dalam denominasi dolar US itu adalah terbitan sukuk global keempat Malaysia selepas kejayaan penerbitan Sukuk global pada 2002, 2010 dan 2011.

Sukuk bahagian 10 tahun diperuntukkan kepada pelabur di Timur Tengah (24 peratus), Asia (50 peratus), Eropah (16 peratus) dan Amerika Syarikat (10 peratus), manakala bahagian 30 tahun diperuntukkan kepada pelabur di Timur Tengah (2 peratus), Asia (50 peratus), Eropah (19 peratus) dan Amerika Syarikat (29 peratus).

Sukuk ini dijangka diberikan penarafan kredit A- oleh Standard and Poors Ratings Services dan A3 oleh Moodys Investors Services Limited.