Acara terakhir selama tiga hari ini bakal berlangsung pada Jumaat, Sabtu dan Ahad bertempat di The Curve, Mutiara Damansara.
‘Jelajah Jiwa SME’ sebelum ini menghimpunkan para usahawan tempatan yang terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan tujuan memperkasa dan memberi ilmu pendigitalan telah menjelajah ke negeri-negeri seperti Sabah, Johor, Kelantan dan Pulau Pinang.
‘Jelajah Jiwa SME’ terakhir ini masih mengekalkan konsep dan objektif yang sama seperti penganjuran-penganjuran sebelumnya.
Antara tarikan buat pengunjung untuk ‘Jelajah Jiwa SME’ terakhir ini adalah sesi perkongsian dan bengkel yang bakal diselang-selikan dengan nyanyian oleh penyanyi-penyanyi tempatan seperti Najwa Latif, Ronnie Hussein, Reedzwann dan Den Manjo bersama Fendi Kenali.
Turut dijadual menghiburkan pengunjung ialah penyanyi yang popular dengan lagu "Kuca Kuca", Lia Aziz.
Lebih menarik, untuk acara terakhir ini bakal diadakan sesi ‘Meet & Greet’ bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Sesi ini bakal berlangsung pada Jumaat, jam 12 tengah hari.
Pengunjung berpeluang beramah mesra dengan Siti Nurhaliza dengan setiap pembelian bernilai RM60 dari produk SimplySiti.
SimplySiti turut membuka reruai di ‘Jelajah Jiwa SME’ terakhir ini sepanjang tiga hari penganjuran.
Selain itu, pengisian seperti perkongsian ilmu dan bengkel bakal turut disajikan dan ia terdiri daripada TikTok Shop Malaysia, Bank Rakyat, INSKEN dan Unifi Business.
Pengunjung juga boleh menimba ilmu tentang pembuatan jam tempatan setaraf ‘Swiss’ dari Fateh Watches.
Terdapat juga perkongsian ilmu dari tokoh-tokoh usahawan tempatan yang lain seperti dari jenama Kapten Batik, Restoran LC (Line Clear), Bizmilla Catering dan banyak lagi.
‘Jelajah Jiwa SME’ terakhir ini turut melakar sejarah apabila menerima penyertaan terbanyak dalam segmen "Saya Jual" iaitu seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada para usahawan tempatan.
Ia merupakan penyertaan paling ramai jika dibandingkan dengan siri jelajah sebelum ini.
"Saya Jual" bakal menobatkan seorang pemenang bagi kategori Penyertaan Terbaik dan tiga orang pemenang bagi kategori Penyertaan Berpotensi.
Peserta akan diberikan masa 5 minit untuk membentangkan kertas kerja dan menerangkan tentang produk mereka.
Mereka bakal diadili tiga juri terdiri daripada wakil Bank Rakyat, Unifi Business, dan Astro AWANI.
Pemenang bakal ditemu ramah dan produk mereka akan diketengahkan di saluran berita Astro AWANI.
"Saya Jual' merupakan segmen tajaan oleh Bank Rakyat.
Selain pengisian yang disajikan, reruai-reruai dari para PMKS tempatan turut tersedia. Terdapat lebih daripada 70 buah reruai bagi ‘Jelajah Jiwa SME’ terakhir ini.
Turut tersedia di The Curve, Mutiara Damansara ialah ‘food truck’ oleh Sembang.
Pengunjung berpeluang membeli produk-produk keluaran tempatan di samping mendapat akses terus mengenai informasi berkenaan keusahawanan.
Untuk info, siri 'Jelajah Jiwa SME' oleh Astro AWANI ini telah berjaya menarik lebih daripada 28,000 pengunjung dan menerima penyertaan lebih daripada 2000 PMKS tempatan dalam siri jelajahnya yang bermula dari Julai hingga November 2023.
Siri ‘Jelajah Jiwa SME’ ini mendapat kerjasama dari Unifi Business selaku penaja utama, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi selaku rakan strategik dan Astro Radio sebagai rakan penyiar.
Bagi siri 'Jelajah Jiwa SME' terakhir ini, The Curve, Mutiara Damansara merupakan penaja lokasi.
Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Jelajah Jiwa SME’ oleh Astro AWANI, sila layari www.jiwasme.com.my.