KOTA BHARU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor gajah jantan di Kampung Bukit Tok Ali, Kuala Balah, Jeli Ahad lepas.

Pengarah Perhilitan negeri Mohamad Hafid Rohani berkata tangkapan itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada penduduk kampung.

"Sebanyak enam anggota Pejabat Perhilitan Daerah Jeli dan Unit Tangkapan Gajah Kelantan telah menjalankan pemantauan sebelum berjaya menangkap gajah liar jantan di kampung berkenaan.

"Kejayaan operasi ini diharap mengurangkan kebimbangan serta meminimumkan kerugian penduduk akibat kemusnahan tanaman dan kerosakan harta benda yang berpunca daripada konflik gajah (dan manusia)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi pemindahan dan pelepasan semula gajah liar ke habitat yang lebih sesuai akan dilakukan dalam masa terdekat yang akan dikendalikan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang dengan kerjasama Perhilitan Kelantan.

Mohamad Hafid berkata bagaimanapun menangkap dan memindahkan gajah liar bukanlah penyelesaian jangka panjang, memandangkan kawasan berkenaan berhampiran Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor.

"Anggaran populasi gajah liar di HSK ini melebihi 50 ekor. Oleh itu, penduduk dinasihatkan mengambil langkah mitigasi seperti memasang lampu diod pemancar cahaya (LED) biru di laluan yang dikenal pasti sebagai laluan masuk gajah liar ke kawasan kebun," katanya.

-- BERNAMA