Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata pihaknya menerima aduan berkaitan kehadiran mamalia itu dua hari lepas, susulan itu Perhilitan Jeli dan Unit Tangkapan Gajah Kelantan menjalankan pemantauan dan berjaya menangkap tiga gajah terbabit.
"Tangkapan itu sedikit sebanyak melegakan penduduk dan mengelak kerugian dialami mereka akibat kemusnahan tanaman dan harta benda.
"Operasi pemindahan dan pelepasan gajah liar ke habitat lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat dengan bantuan petugas Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bagi mengurangkan konflik antara manusia dan gajah, pihaknya memberi nasihat kepada penduduk khususnya pekebun agar mengambil langkah mitigasi antaranya memasang lampu peranti pemancar cahaya biru pada laluan dikenal pasti laluan masuk gajah ke kebun, sentiasa membersihkan kebun dan membina sistem pagar elektrik gajah.
"Tangkapan dan pemindahan gajah liar ini bukan penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan kebun itu berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal Stong Utara," katanya.
-- BERNAMA