KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Rabu, naik 0.24 peratus kepada 4.4330/4400 daripada 4.4450/4490 pada Isnin lepas berikutan sentimen berhati-hati menjelang keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen pasaran kekal berhati-hati menjelang perbincangan FOMC AS malam ini.

"Walaupun Kadar Dana Fed (FFR) dijangka dikekalkan, panduan daripada Rizab Persekutuan (Fed) AS adalah amat penting dalam menetapkan hala tuju pasaran mata wang," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata unjuran oleh Fed AS mengenai kadar faedah akan dipantau, dengan jangkaan pasaran dua hingga tiga penurunan kadar faedah pada tahun ini.

"Setakat ini, sentimen pasaran dalam kalangan perniagaan dan pengguna adalah lemah," katanya.

Secara keseluruhannya, pasaran berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan ketidaktentuan dalam landskap ekonomi dan geopolitik yang terus meningkat.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.8324/8400 daripada 4.8455/8499 pada Isnin lepas, naik berbanding pound kepada 5.7496/7587 daripada 5.7576/7628 dan tinggi berbanding yen Jepun kepada 2.9595/9643 daripada 2.9896/9925 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut mengukuh berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3251/3306 daripada 3.3351/3383 pada Isnin lepas dan naik berbanding baht Thailand kepada 13.1778/2056 daripada 13.2213/2391.

Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 268.1/268.7 daripada 270.9/271.2 sebelum ini dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 7.74/7.75 daripada 7.76/7.77 pada Isnin lepas.

-- BERNAMA