KUALA LUMPUR: Hasil bagi sektor perkhidmatan melonjak kepada 6.8 peratus tahun ke tahun, dengan mencatatkan RM607.1 bilion bagi suku kedua 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan itu didorong oleh prestasi memberangsangkan dalam segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, yang mencatatkan pertumbuhan pendapatan 6.4 peratus tahun ke tahun berbanding 5.9 peratus pada suku kedua 2023.

Mohd Uzir berkata segmen profesional, hartanah, serta perkhidmatan pentadbiran dan sokongan juga menunjukkan pertumbuhan hasil yang kukuh sebanyak 10.2 peratus kepada RM39.5 bilion.

Segmen kesihatan swasta, pendidikan swasta, kesenian, hiburan dan rekreasi, serta perkhidmatanpersendirian dan aktiviti lain menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 12.4 peratus.

Sementara itu, pendapatan e-dagang bagi suku kedua 2024 tumbuh 7.8 peratus kepada RM302.4 bilion.

Mohd Uzir berkata jumlah pekerja dalam sektor ini adalah seramai 4.5 juta orang, meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun.

Kenaikan ini dipacu oleh subsektor perdagangan borong dan runcit dengan peningkatan sebanyak 2.3 peratus, diikuti subsektor pengangkutan dan penyimpanan pada 3.6 peratus.

Sementara itu, jumlah gaji dan upah meningkat 3.5 peratus tahun ke tahun untuk merekodkan nilai sebanyak RM32.6 bilion, disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit dan pengangkutan dan penyimpanan, katanya.

-- BERNAMA