BEIJING: Kerajaan China pada Jumaat menegaskan komitmennya untuk mencapai penyatuan semula nasional sepenuhnya, dengan menekankan bahawa Taiwan dan tanah besar China sentiasa menjadi sebahagian daripada China yang satu dan fakta ini tidak akan berubah, lapor koresponden Sputnik/RIA Novosti.

"Mencapai penyatuan semula nasional sepenuhnya adalah misi sejarah yang tidak berubah bagi Parti Komunis China dan aspirasi bersama semua anak bangsa China," kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan, Zhao Leji, pada satu simposium di Beijing sempena ulang tahun ke-20 pelaksanaan Undang-Undang Anti-Pemisahan.

Zhao berkata dasar China terhadap Taiwan adalah penting dalam mengekang pemisahan, menangani campur tangan luar, mempertahankan kedaulatan serta integriti wilayah negara, selain mengekalkan keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan.

Dalam sesi itu, Ketua Pejabat Hal Ehwal Taiwan di Majlis Negara, Song Tao, turut menegaskan kepentingan undang-undang berkenaan dalam mencegah pemisahan dan menggalakkan penyatuan nasional.

"Walaupun kedua-dua belah Selat Taiwan masih belum bersatu sepenuhnya, kedaulatan dan wilayah China tidak pernah berpecah serta tidak akan berpecah. Hakikat bahawa tanah besar China dan Taiwan adalah sebahagian daripada China yang satu tidak pernah berubah dan tidak akan berubah," kata Song.

Sementara itu, Presiden Taiwan Lai Ching-te mengadakan mesyuarat keselamatan negara pada Khamis dan kemudiannya menyatakan dalam sidang media bahawa Taiwan dan China tidak berada di bawah bidang kuasa antara satu sama lain. Beliau turut menegaskan bahawa sudah tiba masanya Taiwan memperkukuh daya tahan demokrasinya dan keselamatan negara.

Pada 14 Mac 2005, China menggubal Undang-Undang Anti-Pemisahan Negara, yang tidak menolak kemungkinan penggunaan kekuatan ketenteraan terhadap Taiwan sekiranya semua usaha penyatuan secara aman telah gagal.

Hubungan rasmi antara Beijing dan wilayah yang dianggapnya sebagai sebahagian daripada China itu terputus pada 1949 selepas pasukan Kuomintang tewas dalam perang saudara dengan Parti Komunis dan melarikan diri ke Taiwan. Hubungan perniagaan serta hubungan tidak rasmi antara pulau itu dan tanah besar China disambung semula pada akhir 1980-an.

Sejak awal 1990-an, kedua-duanya berhubung menerusi pertubuhan bukan kerajaan - Persatuan Hubungan Merentasi Selat Taiwan yang berpangkalan di Beijing dan Yayasan Pertukaran Selat yang berpangkalan di Taipei.

--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI