Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal dalam kenyataannya berkata, kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, sekitar jam 9.35 malam tadi, Bilik Gerakan Daerah Hilir Perak telah terima panggilan mengenai satu kejadian kemalangan maut langgar lari melibatkan seorang pejalan kaki warganegara Nepal di Batu 8 Jalan Changkat Jong, Teluk Intan.
Ekoran kejadian itu, kira-kira 1,000 pekerja sebuah kilang turun ke tempat kejadian dan berkumpul di jalan raya sehingga menghalang lalu lintas.
Mengulas lanjut, Bakri berkata, pihak polis telah digerakkan bagi menenangkan dan mengawal situasi.
Keadaan berjaya dipulihkan sepenuhnya pada jam 2 pagi Sabtu selepas semua pekerja berkenaan kembali ke asrama masing-masing.
Katanya, kes kemalangan lari disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu agar berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohammad Syamil di talian 011-10065817.
Terdahulu tular di media sosial sekumpulan pekerja warga asing berkumpul di jalan raya sehingga menghalang lalu lintas.
