PASIR GUDANG: Seorang warga emas maut dalam kebakaran membabitkan tiga rumah teres di Jalan Permas 2/4, Taman Permas Jaya pada awal pagi ini.

Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Md Aris Samar, 84, ditemukan rentung di tingkat atas salah sebuah rumah terbabit.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Permas Jaya, Pegawai Bomba Kanan II, Saifulbahri Mahpop berkata, panggilan kecemasan diterima pada pada jam 12.13 tengah malam.

Menurut beliau, seramai 33 anggota BBP Johor Jaya, Pasir Gudang dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Mount Austin dengan kekuatan lima jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya pasukan bomba pada jam 12.19 pagi, didapati kebakaran melibatkan tiga rumah teres kekal berkeluasan 20x15 kaki setiap satu.

"Mangsa ditemui rentung 70 peratus di tingkat atas rumah. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi.

"Sementara anaknya, Hamizah, 57, dan tiga cucunya, Ezzatty Haida Affendy, 21, Ezzatty Hazrina Affendi, 18, dan Ezzatty Hadirah Affenddy, 16, terselamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kebakaran dapat dikawal pada jam 2 pagi dan operasi berakhir pada jam 3.09 pagi.

"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak forensik bomba," katanya. - Sinar Harian