Serangan itu berlaku sekitar jam 1.30 petang waktu tempatan ketika mereka sedang mendirikan khemah bagi menempatkan keluarga pelarian yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik berterusan di wilayah tersebut.
Ketua Aktivis MAPIM, Datuk Sani Araby, menerusi satu kenyataan mengutuk serangan itu sebagai satu jenayah perang yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.
“Tindakan menyerang petugas kemanusiaan adalah satu perbuatan terkutuk dan jenayah perang paling keji.
“Serangan ini bukan sahaja mengorbankan nyawa yang tidak berdosa tetapi turut menjejaskan misi kemanusiaan di Gaza,” katanya.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa rakyat Malaysia untuk mengadakan doa Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan saudara-saudara di Gaza.
Menurut Sani, MAPIM dan rakan strategiknya, Al-Khair Foundation, amat terkejut serta berduka cita dengan kehilangan anggota misi lapangan, termasuk tiga petugas media yang bertanggungjawab dalam dokumentasi operasi bantuan kemanusiaan di Gaza.
“Serangan ini bukan sahaja mengorbankan nyawa yang tidak berdosa, tetapi turut menjejaskan operasi kemanusiaan penting di Gaza.
MAPIM kehilangan beberapa petugas yang sangat komited dan ikhlas berkhidmat, termasuk seorang rakan media yang sangat rapat dengan saya,” tambah Sani dengan nada penuh emosi.
Lapan petugas kemanusiaan yang terkorban telah dikenalpasti sebagai; Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad.
MAPIM turut menegaskan bahawa serangan terhadap petugas kemanusiaan ini adalah satu pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva yang melindungi penduduk awam di zon konflik.
Sani juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk segera bertindak menghentikan keganasan ini dan memastikan keadilan ditegakkan untuk mangsa serta keluarga mereka.
Beliau turut menggesa pemimpin dunia, badan kemanusiaan, dan masyarakat antarabangsa untuk mengecam tindakan tersebut serta menuntut pertanggungjawaban daripada pihak yang bertanggungjawab.
“Ini bukan sekadar serangan ke atas Gaza, tetapi satu serangan terhadap nilai kemanusiaan sejagat.
“Masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri ketika nyawa yang tidak berdosa terus menjadi korban,” ujarnya.
MAPIM menegaskan bahawa pihaknya akan terus komited dalam usaha memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin walaupun berdepan dengan pelbagai risiko dan cabaran.
Untuk rekod, sehingga kini, MAPIM telah berjaya mendirikan 1,000 khemah bagi menempatkan pelarian yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan udara berterusan di Gaza.
