Menyifatkan kenyataan Trump itu sebagai biadap, Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia merupakan serangan langsung terhadap kedaulatan Palestin, undang-undang antarabangsa, serta hak asasi manusia.
"Dunia tidak boleh berdiam diri terhadap cita-cita penjajahan terang-terangan seperti ini yang menyerupai penindasan serta penjajahan yang pernah dialami negara-negara lemah oleh kuasa besar.
"Kenyataan Trump yang tidak bertanggungjawab dan angkuh ini mendedahkan agenda neo-kolonial yang berbahaya, bertujuan merampas hak rakyat Palestin ke atas tanah air mereka.
"Usaha untuk “memiliki” Gaza bukanlah pembangunan semula, tetapi satu bentuk penjajahan moden yang berselindung di sebalik topeng bantuan kemanusiaan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Awal hari ini, Trump berikrar, AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain.
Trump mendedahkan rancangannya yang sungguh mengejutkan itu, tanpa memberikan butiran terperinci, pada satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di White House, Washington.
Pengumuman berkenaan menyusuli satu lagi cadangan 'menggemparkan' daripada Trump sebelum itu iaitu memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza ke negara-negara jiran secara kekal sambil memanggil Gaza sebagai 'tapak perobohan.'
Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, MAPIM dan pertubuhan-pertubuhan Islam lain menolak sekeras-kerasnya rancangan yang haram, tidak bermoral dan bersifat imperialistik itu serta menuntut masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan.
Sehubungan itu, MAPIM, katanya, menuntut masyarakat antarabangsa untuk menolak mutlak terhadap sebarang usaha penguasaan Gaza oleh AS atau mana-mana pihak asing.
Dalam masa sama, beliau menegaskan, hanya rakyat Palestin berhak menentukan masa depan mereka sendiri.
"Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang perlu bertindak segera untuk menghalang sebarang cubaan kuasa asing menguasai tanah Palestin.
"Kerajaan Malaysia juga perlu mengambil pendirian tegas dengan mengetuai usaha diplomatik untuk mengecam serta menggagalkan sebarang rancangan asing yang mencabuli kedaulatan Palestin.
"Tuntutan keadilan bagi jenayah perang Israel, fokus masyarakat antarabangsa pada usaha menamatkan pendudukan Israel harus kekal selain membatalkan sekatan haram dan memastikan keadilan bagi mangsa Palestin," tegas beliau.
Mohd Azmi berkata, kenyataan Trump bukan sekadar kata-kata, tetapi petunjuk berbahaya terhadap cita-cita imperialistik yang mesti dihentikan sebelum menjadi realiti.
Beliau menegaskan, dunia perlu menyampaikan mesej yang jelas bahawa Gaza bukan hadiah untuk direbut atau tanah jajahan yang boleh diperintah oleh kuasa asing.
"Gaza milik Palestin dan Palestin adalah hak rakyatnya," katanya.