Pada Sidang Kemuncak Aset Digital, yang pertama seumpamanya, Trump menyatakan sokongan padunya terhadap undang-undang yang mesra industri dan peraturan fleksibel.
Beliau mengkritik dasar peraturan yang dilaksanakan semasa pentadbiran sebelumnya dan menekankan usaha berterusan untuk "mengakhiri perang birokrasi persekutuan terhadap kripto."
Pertemuan itu diadakan sehari selepas Trump menandatangani perintah eksekutif untuk membina Rizab Strategik Bitcoin dan Simpanan Aset Digital AS.
Kerajaan Persekutuan AS memegang sehingga 200,000 bitcoin, kata Trump dalam pertemuan itu.
Jabatan Perbendaharaan dan Perdagangan juga akan "meneroka laluan baharu untuk mengumpul pegangan bitcoin tambahan untuk rizab itu, dengan syarat ia dilakukan tanpa kos kepada pembayar cukai", tambahnya.
Trump berjanji untuk menjadikan Amerika sebagai "kuasa besar bitcoin dunia" semasa kempen pilihan rayanya.
Langkahnya untuk menyokong industri kripto telah mencetuskan kebimbangan tentang konflik kepentingan memandangkan presiden sendiri memiliki kepentingan dalam platform kripto. - BERNAMA
