Beliau beberapa kali diminta untuk memberi pandangan mengenai hubungannya dengan Zelenskyy, terutamanya selepas siri serangan kenyataannya yang melabel Zelenskyy sebagai “diktator.”
“Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Presiden Putin,” kata Trump mengenai Presiden Rusia itu.
“Saya rasa saya juga mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Presiden Zelenskyy, dan sekarang kami sedang merundingkan perjanjian itu.”
Trump menambah, sebaik sahaja perjanjian yang membenarkan AS mengakses mineral nadir bumi Ukraine ditandatangani, beliau akan menghantar pekerja ke negara itu dengan segera.
“Kita akan berada di sana. Kita akan benar-benar berada di sana menggali, menggali dengan penuh semangat.”
Presiden AS itu turut menyuarakan keyakinan bahawa Putin tidak akan mengingkari sebarang perjanjian damai yang dicapai untuk menamatkan perang di Ukraine.
“Saya yakin bahawa jika kami mencapai perjanjian, ia akan kekal,” katanya.
Namun, Trump berlagak selamba apabila wartawan menyoalnya tentang hubungannya yang tegang dengan Zelenskyy dan sama ada beliau akan kekal dengan kenyataan “diktator” tersebut.
“Adakah saya kata begitu? Saya tak percaya saya kata begitu. Soalan seterusnya,” balas Trump.
Minggu lalu, Trump mengecam Zelenskyy sebagai "seorang diktator tanpa pilihan raya" dan menegaskan, Presiden Ukraine itu perlu bertindak segera untuk mendapatkan perdamaian atau bakal kehilangan negaranya. - Agensi
