Penganalisis Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya (UM) Collins Chong Yew Keat berkata langkah Trump itu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk membuka jalan kepada rundingan damai sambil menyusun semula penglibatan AS dalam konflik global.
"Penangguhan bantuan ini adalah langkah strategik Trump untuk mendorong Kiev ke meja rundingan," katanya dalam kenyataan bertulis kepada Bernama.
Menurut Chong, Trump juga mungkin mahu menghantar mesej yang kuat kepada Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dan Presiden Rusia Vladimir Putin bahawa beliau memiliki kelebihan dalam menentukan hala tuju konflik itu.
Keputusan itu dibuat susulan perbincangan di Rumah Putih yang melibatkan Trump, Naib Presiden AS JD Vance dan Zelensky yang kemudiannya bertukar tegang. Trump dilaporkan menggesa perjanjian damai segera, namun pemimpin Ukraine itu tetap bertegas mahukan sokongan berterusan dari AS.
Penganalisis yang dipetik media antarabangsa berpendapat ketiadaan sokongan ketenteraan dan risikan AS boleh menjejaskan keupayaan operasi Ukraine.
"Bagi Zelensky, penangguhan bantuan itu akan memberi kesan besar terhadap keupayaan tempur Ukraine," kata Collins.
Pendekatan Trump menandakan perubahan daripada pentadbiran sebelumnya, dengan beliau menyatakan bahawa tanggungjawab kewangan bagi bantuan ketenteraan perlu dikaji semula.
Penangguhan bantuan itu mendapat reaksi daripada pemimpin Eropah, dengan Perdana Menteri Britain Keir Starmer mengadakan sidang kemuncak tergempar di London bagi membincangkan bagaimana Eropah boleh menampung jurang yang ditinggalkan oleh Washington.
Kesatuan Eropah (EU) telah mengumumkan rancangan untuk menggerakkan perbelanjaan pertahanan sebanyak US$840 bilion, namun masih timbul persoalan mengenai keupayaan Eropah untuk mengekalkan usaha pertahanan Ukraine tanpa sokongan langsung AS.
Sementara itu, penglibatan diplomatik Trump dengan Rusia telah mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan perubahan dalam dasar luar AS. Putin dilaporkan menawarkan bantuan kepada Trump untuk merundingkan perjanjian nuklear dengan Iran.
"Trump sedang "menghapuskan" norma selama beberapa dekad dan halangan yang telah mengehadkan pilihan Washington sebelum ini, dan beliau memberi tumpuan untuk membetulkan apa yang dianggapnya sebagai kesilapan keputusan terdahulu," kata Collins.
-- BERNAMA
