SABAK BERNAM: Misi Jelajah Peduli Ummah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berjaya menyantuni hampir 40,000 individu di Semenanjung Malaysia setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata ia sekali gus menjadikan program yang akan berakhir Februari tahun hadapan itu berada pada tahap yang baik dalam mencapai sasaran untuk menyantuni 100,000 individu.

"Sebelum tamatnya 2024 ini kita harap dapat selesaikan sekitar dalam 60,000 dan bakinya kita akan teruskan hingga Februari kerana kita nampak ada 'pattern' berlakunya bencana di kawasan bukan hotspot.

"Jadi dengan adanya sokongan dan program seperti ini semua jadi cakna, bangkit untuk membantu satu sama lain dan kita bergerak atas dasar kasih sayang, ihsan tanpa mengira ideologi kita turun untuk membantu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Program Satu Pemimpin Satu Kampung-Santuni Madani dan Jelajah Peduli Ummah MAPIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini semalam.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata seramai 3,000 sukarelawan dan 20 aset digerakkan menerusi Jelajah Peduli Ummah ke seluruh Semenanjung Malaysia bagi menyantuni masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, khususnya yang ditimpa musibah.

Turut hadir pada program semalam, Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor Datuk Rizam Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Mohd Ajib Ismail.

Sementara itu, Mohd Ajib berkata program selama tiga hari bermula Jumaat lepas itu antara lain melibatkan kursus penyembelihan, rewang perdana, penyampaian bantuan persekolahan, sumbangan masjid, surau dan sekolah serta pelbagai aktiviti lain dengan pendekatan Dakwah Bil Hal selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Program yang diadakan di kawasan Sungai Besar itu disertai hampir 700 peserta dari Kampung Parit 5 dan Parit 6, dan penduduk sekitar dengan fokus kepada menjalin silaturahim antara masyarakat dan penduduk di negeri Selangor bersama kepimpinan agensi di peringkat Persekutuan.

-- BERNAMA