PUTRAJAYA: Insiden seorang lelaki menampar lelaki Cina berkali-kali kerana makan di bulan Ramadan di Johor merupakan provokasi yang tidak mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian negara.


Ringkasan AI
  • Insiden seorang lelaki menampar lelaki Cina kerana makan di bulan Ramadan di Johor mencetuskan provokasi dan tidak mencerminkan semangat perpaduan negara.
  • Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, mengutuk keras tindakan tersebut dan menegaskan bahawa isu perpaduan tidak boleh dipandang remeh.
  • Mangsa, Elijah, telah membuat laporan polis dan pihak PDRM akan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.


Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan tindakan sedemikian harus dihentikan serta-merta dan tidak dibenarkan berkembang di negara yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara.

"Saya juga mengutuk keras sebarang bentuk keganasan, diskriminasi dan sikap prejudis yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum," katanya dalam hantaran di laman X pada Isnin.


Jelas beliau, isu yang menyentuh soal perpaduan tidak boleh dipandang remeh dan dibiarkan sehingga boleh meruntuhkan keharmonian rakyat.

"Negara ini hanya akan maju jika kita bersatu, saling menghormati dan hidup dalam keadaan aman tanpa sebarang bentuk ketegangan kaum atau agama," ujar Aaron.

Menurutnya, mangsa bernama Elijah telah membuat laporan di Balai Polis Tampoi berhubung insiden itu.

"Saya dimaklumkan bahawa pihak PDRM akan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Saya berharap agar semua pihak memberi kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan siasatan," katanya lagi.

Terdahulu, mangsa menerusi aplikasi X mendakwa warga emas itu bertanyakan kepadanya adakah dia seorang Islam atau sebaliknya sebelum meminta untuk melihat kad pengenalan.

Mangsa memaklumkan dia ke kedai berkenaan di sebuah pusat beli-belah di Johor Bharu, untuk menikmati makanan seperti kebiasaannya.

"Selepas tanya kalau saya Islam atau bukan Islam dan marah kenapa makan pada masa puasa ni, walaupun saya bukan Islam dan tidak mengganggunya.

"Dia tampar saya beberapa kali pula," katanya.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana anak kepada lelaki itu segera menenangkan situasi sebelum memohon maaf terhadap tindakan bapanya.

"Pak cik itu tidak menghormati dan tampar saya di tempat awam.

"Saya boleh terima permohonan maaf itu tapi saya tak boleh lepaskan perkara ini," jelasnya.

Menerusi hantaran sama, mangsa turut memuat naik rakaman video insiden berkenaan. -Sinar Harian