Ringkasan AI
- Peranan Pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang menjadi orang tengah dalam menyelesaikan isu kontroversi berhubung papan tanda berunsur perkauman yang diletakkan seorang penjual jagung, mendapat pujian Menteri Perpaduan Negara, pada Isnin. Datuk Aaron Ago Dagang berkata, peranan KRT dalam menyelesaikan polemik itu turut memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap peranan KRT sebagai agen perpaduan dan penyelesaian masalah.
Datuk Aaron Ago Dagang berkata, peranan KRT dalam menyelesaikan polemik itu turut memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap badan itu sebagai agen perpaduan dan penyelesaian masalah.
"Susulan insiden seorang penjual jagung meletakkan papan tanda berunsur perkauman yang telah mencetuskan kontroversi dan kemarahan dalam kalangan masyarakat.
"Pemimpin KRT iaitu Roseman dan Syawal telah menjadi orang tengah dalam menyelesaikan polemik ini.
"Ini juga menekankan pentingnya kerjasama antara pemimpin komuniti dan pihak berkuasa untuk memastikan suasana yang harmoni dan aman terpelihara," katanya dalam muat naik di X, pada Isnin.
Pada Ahad, penjual jagung yang meletakkan papan tanda berunsur perkauman terhadap kaum India tampil memohon maaf atas kesilapannya itu.
Dia yang dikenali sebagai Abdul Aziz Musa berkata, perbuatan itu sama sekali tidak berniat untuk menghina kaum India.
Sebelum permohonan maaf itu, difahamkan satu perjumpaan diadakan di sebuah restoran di Persiaran Warisan Sepang membabitkan wakil penduduk Taman Cempaka, anggota polis, Pejabat Perpaduan Daerah Sepang, pemimpin KRT, wakil masyarakat India dan seorang pempengaruh, pada 7 malam, Ahad.
Mengulas lanjut, Aaron menegaskan, semua pihak harus sentiasa berusaha memastikan setiap perkataan dan tindakan tidak menimbulkan perasaan tidak selesa, ketegangan atau salah faham dalam kalangan penganut agama, budaya dan kaum yang berbeza.
"Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan agama dan adalah tanggungjawab kita bersama untuk menjaga keharmonian ini.
"Perpaduan negara hanya dapat dicapai jika setiap individu mengamalkan nilai saling memahami, menghormati dan menerima perbezaan," katanya.
