KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia terus meningkat untuk ditutup tinggi pada Jumaat, sejajar dengan prestasi serantau yang positif selain didorong oleh sentimen pasaran yang lebih baik setelah mengambil petunjuk daripada pencapaian Wall Street dalam tempoh semalaman, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 4.80 mata untuk berakhir pada 1,500.29 daripada 1,495.49 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.89 mata lebih kukuh kepada 1,496.38 sebelum bergerak di antara 1,495.68 mata dengan 1,507.49 mata sepanjang dagangan hari ini.

Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 499 berbanding 376, manakala 415 kaunter tidak berubah, 1,069 kaunter tidak diniagakan dan 35 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 2.40 bilion unit bernilai RM1.86 bilion daripada 2.64 bilion unit bernilai RM2.10 bilion semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI menokok 0.32 peratus atau 4.8 mata untuk berakhir pada 1,500.29 seiring dengan pasaran serantau utama yang kebanyakannya juga lebih tinggi susulan prestasi positif yang direkodkan Wall Street dalam tempoh semalaman.

"Kami menjangkakan momentum belian ke atas FBM KLCI berterusan memandangkan dana asing terus mengalir masuk ke rantau ini manakala penilaian terhadap pasaran tempatan kekal menarik berbanding bursa serantau," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Nikkei 225 Jepun meningkat 0.57 peratus kepada 28,641.38; Kospi Korea Selatan menambah 0.15 peratus kepada 2,481.03; Hang Seng Hong Kong melonjak 1.01 peratus kepada 20,170.04 namun Indeks SSE Komposit China susut 0.31 peratus kepada 3,236.22.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menokok tujuh sen pada RM8.91, Public Bank naik dua sen kepada RM4.63, Petronas Chemicals meningkat empat sen pada RM8.69 dan CIMB Group menambah enam sen pada RM5.46.

Antara saham paling aktif, Metronic Global menokok setengah sen kepada tujuh sen, Agmo Holdings naik 6.5 sen kepada 89.5 sen, MYEG turun 1.5 sen kepada 75.5 sen manakala MQ Technology, Dagang Nexchange dan Green Packet masing-masing kurang setengah sen kepada 3.5 sen, 87.5 sen dan lima sen.

Di papan indeks, Indeks FBM ACE turun 34.50 mata kepada 4,956.37; Indeks FBMT 100 menambah 27.35 mata kepada 10,393.36; Indeks FBM Emas Shariah naik 3.13 mata kepada 10,759.97; FBM 70 menokok 9.93 mata kepada 12,746.15 manakala Indeks FBM Emas meningkat 23.01 mata kepada 10,648.84.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 75.06 mata kepada 16,723.69;Indeks Perladangan melonjak 100.71 mata kepada 7,054.34 namun Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 0.87 mata kepada 182.18 dan Indeks Tenaga kurang 5.41 mata kepada 727.44.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.47 bilion saham bernilai RM1.48 bilion daripada 1.71 bilion saham bernilai RM1.75 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran susut kepada 343.35 juta unit bernilai RM56.16 juta daripada 453.52 juta unit bernilai RM66.12 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 580.52 juta saham bernilai RM326.75 juta berbanding 475.13 juta saham bernilai RM291.75 juta sebelumnya.

Kaunter barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 196.75 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (398.61 juta), pembinaan (79.83 juta), teknologi (196.69 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (49.55 juta), hartanah (102.67 juta), perladangan (31.22 juta), REIT (5.25 juta), dana tertutup (23,000), tenaga (200.80 juta), penjagaan kesihatan (84.14 juta), telekomunikasi dan media (78.22 juta), pengangkutan dan logistik (28.18 juta) serta utiliti (22.62 juta).
- BERNAMA