KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit hari ini apabila kenaikan di kaunter syarikat gergasi utiliti dihadkan oleh aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi telekomunikasi berkaitan indeks terpilih, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.43 mata kepada 1,616.75 daripada paras penutup 1,615.32 pada Rabu.

Indeks penunjuk pasaran yang dibuka tinggi naik 0.64 mata kepada 1,615.96, bergerak antara paras 1,614.71 dan 1,619.75 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 586 berbanding 558, dengan 495 kaunter tidak berubah, 764 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 4.93 bilion unit bernilai RM3.79 bilion daripada 5.47 bilion unit bernilai RM4.0 bilion pada Rabu.

Ketua penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong menjangka indeks utama stabil di atas paras 1,600, disokong oleh sentimen dagangan yang bertambah baik selain dana asing yang kembali semula ke dalam pasaran.

Beliau berkata kemeruapan mungkin berkurangan memandangkan pasaran Amerika Syarikat (AS) ditutup sempena cuti umum sambutan Hari Kemerdekaan, hari ini.

"Aktiviti belian secara bergilir-gilir saham berharga rendah juga dilihat dalam sektor terpilih. Esok (Jumaat), para pelabur akan memantau jualan runcit Zon Euro serta data kadar pengangguran AS untuk menilai kekuatan ekonomi negara-negara tersebut," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat lapan sen kepada RM10.10, Tenaga Nasional naik enam sen kepada RM14.20 dan CIMB menokok empat sen kepada RM7.0. Kedua-dua Public Bank dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM4.05 dan RM6.33.

Dalam kalangan kaunter paling cergas, Ocean Fresh meningkat 49 sen kepada 77 sen, Malayan United naik 1.5 sen kepada 9.0 sen dan Dataprep menokok 2.5 sen kepada 19.5 sen. Widad jatuh setengah sen kepada 6.0 sen manakala Appasia tidak berubah pada16 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat sebanyak 15.94 mata kepada 12,476.68, Indeks FBMT 100 naik 16.05 mata kepada 12,044.63, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 2.22 mata kepada 12,828.84, Indeks FBM 70 menambah 44.27 mata kepada 18,393.92, manakala Indeks FBM ACE susut 14.53 mata kepada 5,959.83.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 47.73 mata kepada 17,660.63, Indeks Tenaga naik sebanyak 1.48 mata kepada 989.56, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.08 mata kepada 199.19.

Bagaimanapun, Indeks Perladangan susut sebanyak 12.12 mata kepada 7,013.91.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 2.82 bilion unit bernilai RM3.16 bilion daripada 2.97 bilion unit bernilai RM3.28 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran susut kepada 864.53 juta unit bernilai RM131.23 juta berbanding 1.10 bilion unit bernilai RM156.70 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE jatuh kepada 1.25 bilion saham bernilai RM493.72 juta daripada 1.39 bilion saham bernilai RM554.84 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 497.03 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (528.67 juta); pembinaan (369.14 juta); teknologi (401.70 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (77.23 juta); hartanah (322.59 juta); perladangan (25.70 juta); REITs (18.49 juta); dana tertutup (29,100); tenaga (169.12 juta); penjagaan kesihatan (159.91 juta); telekomunikasi dan media (50.28 juta); pengangkutan dan logistik (90.03 juta); utiliti (105.73 juta); dan amanah perniagaan (5.57 juta).

-- BERNAMA