KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Isnin, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang lemah berikutan data inflasi kekal tinggi dan sentimen terjejas oleh ketidaktentuan politik susulan debat presiden Amerika Syarikat (AS).

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.50 mata kepada 1,588.59 daripada 1,590.09 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.17 mata kepada 1,590.26.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 253 berbanding 192, dengan 335 kaunter tidak berubah, 1,594 tidak diniagakan dan lima digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 371.69 juta unit bernilai RM160.19 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, Wall Street ditutup rendah walaupun laporan menunjukkan perbelanjaan pengguna meningkat dengan sederhana pada Mei.

"Walaupun terdapat tekanan jualan di Wall Street, kami percaya sokongan belian akan berterusan di peringkat tempatan. Kami melihat peluang dalam sektor teknologi, apabila pelaburan dan permintaan meningkat untuk pusat data, kecerdasan buatan dan perkhidmatan teknologi awan akan menyokong aktiviti dagangan buat masa ini," katanya dalam nota penyelidikan.

Katanya peniaga akan memantau beberapa data ekonomi penting yang akan dikeluarkan termasuk Indeks Pengurus Pembelian (PMI) AS dan data pekerjaan seperti pekerjaan bukan ladang dan kadar pengangguran.

Saham wajaran tinggi Tenaga Nasional merosot dua sen kepada RM13.76 dan IHH Healthcare susut satu sen kepada RM6.29 manakala Maybank naik satu sen kepada RM9.97.

Sementara itu, Public Bank dan CIMB, masing-masing tidak berubah pada RM4.02 dan RM6.80.

Bagi kaunter paling aktif, SNS Network dan Nova, masing-masing merosot setengah sen kepada 75 sen dan 21 sen manakala Velesto tidak berubah pada 26.5 sen.

Ingenieur Gudang naik satu sen kepada enam sen dan Hiap Teck menambah 1.5 sen kepada 44 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 12.53 mata kepada 12,203.87, Indeks FBMT 100 merosot 12.47 mata kepada 11,785.58, Indeks FBM Emas Shariah susut 19.97 mata kepada 12,532.73, Indeks FBM 70 turun 23.82 mata kepada 17,818.07.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE naik 4.02 mata kepada 5,777.30.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 3.25 mata kepada 17,451.48 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.50 mata kepada 195.80. Indeks Tenaga naik 3.50 mata kepada 958.92 dan Indeks Perladangan meningkat 2.04 mata kepada 6,984.76.

-- BERNAMA