KUALA LUMPUR: Ramai yang masih tertanya-tanya, bila agaknya Malaysia akan berjaya keluar daripada kemelut pandemik COVID-19.

Apa yang jelas adalah kita masih belum menang. Bagi banyak pihak, cahaya yang pada awalnya kelihatan kini semakin malap apabila bilangan kes harian tiada tanda akan surut dengan ketara.

Dalam kegelisahan menghadapi segala prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu, segelintir rakyat Malaysia terpaksa hidup dalam serba sederhana malah ada juga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Bagaimanapun bak kata pepatah Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing apabila terdapat banyak pihak dan individu yang sering menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan ini.

Menurut pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cheka Movement, Syafiq Mobin, susulan lanjutan PKP 3.0 pertengahan bulan ini, beliau dan rakan-rakan tidak teragak-agak mengambil keputusan membantu golongan memerlukan.

“Bagi yang tidak terkesan seperti saya dan beberapa rakan lain, kami terfikir kenapa tidak kami terus memberi bantuan untuk mereka yang memerlukan.

“Jika PKP tahun lepas, kami memberi bantuan secara rawak di seluruh negara namun untuk kali ini kami cuba memberi bantuan dengan kaedah bersasar mengikut kawasan kami masing-masing,” katanya kepada Astro AWANI.

BACA: Dari perbualan kecil, bantuan warga Malaysia ketika PKP dapat perhatian Setiausaha Negara AS

Jelasnya, kebanyakan yang memohon bantuan terdiri daripada golongan M40 yang kini telah bertukar status kepada B40.

“Dalam misi kali ini, kami sedar orang yang minta bantuan kebanyakannya daripada golongan M40, yang sebelum ini selesa dengan hidup dan suami isteri pun bekerja.

“Tapi sejak Mac tahun lalu sampai sekarang pandemik COVID-19, ramai sangat yang kehilangan pekerjaan dan masih belum bangkit sebab memang tak boleh nak cari kerja.

“Lebih menyedihkan, simpanan sudah guna hingga tiada langsung, wang KWSP telah dikeluarkan malah sumbangan Bantuan Prihatin Rakyat pun sudah habis. Jadi rata-rata mengakui memang terdesak untuk mohon bantuan daripada NGO seperti kami,” tambah Syafiq.

Antara keluarga dan individu yang dibantu oleh Syafiq Mobin



.




Banyak golongan M40 terkesan kerana pandemik COVID-19

Pada masa sama, beliau memberitahu, sepanjang PKP dilaksanakan Cheka Movement sudah membantu kira-kira 700 keluarga.

Syafiq juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada individu yang menyumbangkan tenaga dan wang ringgit mereka untuk membantu insan yang memerlukan.

Sementara itu, ada juga pengguna media sosialseperti Azie Zam yang berkongsi dengan Astro AWANI usaha mereka menggunakan keuntungan perniagaan untuk membantu golongan yang di dalam kesusahan.

.

Pada masa sama, di media sosial ada juga yang menyatakan keadaan yang tidak menentu sekarang menyebabkan mereka hanya mampu menjaga diri sendiri bagi meneruskan kehidupan.



.