Lockdown #Day42: Perniagaan pasta leleh, takoyaki nadi kekuatan Abang Sein
Sudah 10 hari berlalu, Abang Sein akui jadualnya kini telah berubah.
Kesibukan mengurus stok dan hal ehwal operasi cawangan amat dirasai, jauh berbeza dari sebelum ini.
Jadual operasi kedai Abang Sein kini jadi tidak menentu.
Adakalanya dia sempat beroperasi mengikut jadual dan adakalanya hanya dapat beroperasi bermula jam 3 petang.
Dia turut mengakui, kerancakan sambutan di cawangan Setia Alam dan Seksyen 7 memang di luar jangkaan.
Walaupun perniagaan agak perlahan tetapi Abang Sein menjelaskan, tapak di Seksyen 19 juga tidak kurang hebatnya.
Ia ditambah lagi nilai bintang dan komen yang diperoleh juga amat mengejutkan dan kebanyakan pelanggannya sangat berpuas hati.
Walaupun menghadapi kekangan modal yang terhad, Abang Sein tetap mengusahakan yang terbaik agar semua cawangan dapat beroperasi dengan lancar.
"Tanggungjawab baru yang saya pikul seakan dipermudahkan apabila semua cawangan memberikan kerjasama dan komitmen yang padu sepanjang 10 hari ini.
"Bagaikan seorang abang, saya akan memastikan adik-adik senantiasa bersemangat dan faham dengan tugas yang mereka laksanakan."
"Walaupun cuma beroperasi dari rumah, saya sering menasihati semua cawangan agar menyediakan yang terbaik dan memasak dengan seikhlas hati. Alhamdulillah kebanyakan dari mereka sudah boleh melepasi 10 pesanan sehari. Di Setia Alam contohnya, sudah dua hari melepasi 20 pesanan. Satu pencapaian yang tidak terduga.
"Melihat kepada pencapaian yang positif ini, jauh di sudut hati memang saya ingin menambah lagi cawangan dan membuka peluang untuk orang lain tetapi biarlah masa yang menentukan. Keutamaan saya sekarang adalah untuk memastikan kelancaran, keberkesanan dan hasil yang diperoleh ketiga-tiga cawangan ini dahulu," ujarnya.
Tambah Abang Sein, dia akan memantau sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga ke enam bulan pertama ini.
Jelasnya, dia akan mempertimbangkan keperluan untuk menambah lagi cawangan sekiranya kesemua cawangannya dapat mengekalkan momentum yang baik.
"Tidak dapat digambarkan bagaimana keadaan saya sekarang andai kata tidak bangkit dan hanya melayan perasaan putus asa serta kecewa semasa pelaksanaan PKP1.0 tahun lalu.
"Alhamdulillah ... Allah telah melorongkan satu jalan yang saya sendiri tidak sangka boleh sampai ke tahap ini. Apa yang saya tahu, sepanjang tempoh tersebut saya hanya bersabar, menguatkan semangat, tetap melangkah dan terus berusaha melakukan yang terbaik.
"Walaupun kini masih di awal perjalanan, saya berasa gembira kerana dapat berkongsi peluang yang ada bersama dengan orang lain. Apatah lagi sekarang saya sudah ada misi dan matlamat yang jelas," jelasnya.
Abang Sein juga sering berdoa agar perniagaan dalam taliannya terus berkembang dan dipermudahkan.
Baginya, ia bonus sekiranya Institut Pengajian Tinggi dapat dibuka semula dan acara-acara besar sudah dibenarkan beroperasi pada masa akan datang.
Dia sentiasa berharap Pasta Leleh Abang Sein akan menjadi pilihan utama pelanggan dalam talian, terus maju dan berdoa agar berkemampuan untuk membuka sebuah restoran fizikal jika diizinkan Allah suatu hari nanti.
Insya-Allah ...
-------------------------------------
Ini entri terakhir pengusaha makanan mikro-SME Abang Sein dalam edisi Diari Lockdown. Semoga perniagaan Abang Sein akan terus membangun serta berkembang maju.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day41: Jerih perih bina legasi kecil perniagaan makanan dalam talian
Hari ini, sudah hampir setahun setengah penutupan Institut Pengajian Tinggi (IPT). ekoran itu tiada lagi ekspo yang diadakan.
Walaupun luka telah beransur sembuh tetapi Abang Sein mengakui parutnya masih tetap kelihatan.
Malahan, kes jangkitan COVID-19 juga semakin meningkat seperti tiada tanda-tanda akan pulih seperti sediakala dalam masa terdekat.
Mengenang kembali ketika mula-mula pandemik melanda dan PKP 1.0 dilaksanakan, Abang Sein tiada langsung punca pendapatan.
Perasaan kecewa serta putus asa sentiasa menghantui dirinya.
Dia amat bersyukur dengan apa yang telah diusahakan sekarang.
Walaupun tidak mendapat hasil seperti dahulu, tapi sekurang-kurangnya dapat melegakan kehidupannya untuk menyara kehidupan sekeluarga khasnya puteri syurga kesayangan.
Abang Sein akui, sepanjang setahun lebih berniaga di dalam talian, dia hanya bercuti selama empat hari sahaja.
Terlalu banyak pengalaman dan jerih perih yang dilalui.
Abang Sein masih teringat lagi ada ketika hanya mendapat dua pesanan sahaja sehari pada bulan pertama berniaga tetapi dia terus sabar dan percaya dengan apa yang dilakukan.
"Semakin hari saya menjadi sangat komited dan seronok untuk membuka operasi restoran maya apabila jumlah pesanan semakin bertambah. Kebetulan saya hanya beroperasi dari rumah. Ini menjadi antara faktor utama saya tetap membuka restoran maya walaupun hanya tiga jam.
"Pada waktu sekarang, jika saya membuka kesemua restoran maya di empat platform dari 9 pagi sehingga 10 malam, Insya-Allah, boleh melepasi minimum 30 pesanan, jauh berbeza dengan permulaan dahulu," jelasnya.
Abang Sein sedar, ia satu jumlah yang amat memadai untuknya dan kewujudan Pasta Leleh pada 15 Febuari 2021 merupakan suntikan semangat baru kepadanya.
Dia teringat kenangan paling manis pada 4 Mac lalu di mana Abang Sein mendapat pesanan serentak dari empat platform iatu FoodPanda, GrabFood, Lapar dan BungusIT.
Itu merupakan momen yang takkan dapat dilupakan sampai bila-bila.
"Bukan mudah mencipta pelanggan yang setia. Selain faktor utama seperti kualiti masakan dan pembungkusan, saya amat menitikberatkan jadual operasi dan sentiasa memastikan restoran dibuka mengikut tempoh masa yang tetap setiap hari. Saya juga mempunyai pelanggan yang masih setia sejak dari berniaga ketika e-bazar Ramadan (online) pada 2020 yang lepas sehingga kini.
"Saya amat berterima kasih kepada mereka kerana sokongan mereka, perniagaan ini masih kekal relevan sehingga kini walaupun cuma beroperasi dari rumah," jelasnya.
Sepanjang setahun ini, Abang Sein mengakui melihat banyak restoran dalam talian yang beroperasi dari rumah telah tumbang dan tidak lagi beroperasi dalam aplikasi khasnya FoodPanda.
Idea untuk membuka cawangan katanya timbul selepas Aidilfitri lalu dengan konsep yang sama iaitu beroperasi dari rumah.
"Saya merasakan perlu berkongsi peluang yang ada bersama orang lain. Dalam keadaan pandemik yang semakin menghimpit, pasti ada orang di luar sana yang senasib dengan saya. Sekurang-kurangnya dapat mencari wang tambahan walaupun sedikit.
"Alhamdulillah ... Allah permudahkan. Walaupun tidak yakin, tidak bersedia dan bermacam lagi perasaan, tetapi seperti segalanya dipermudahkan dari pendaftaran sehingga ke proses penerimaan peranti.
Akhirnya pada 30 Jun 2021 yang lepas tiga cawangan Pasta Leleh Abang Sein telah memulakan operasi di dalam talian melalui FoodPanda.
"Dua cawangan tersebut bertempat di Shah Alam iaitu di Seksyen 7 dan Seksyen 19 manakala satu lagi cawangan bertempat di Setia Alam. Apa yang menariknya cawangan di Seksyen 19 dikendalikan oleh pelanggan setia saya sejak e-bazar Ramadan 2020 yang lalu," ujarnya.
-------------------------------
Ini entri terbaharu pengusaha makanan mikro-SME Abang Sein dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day40: Kelahiran pasta leleh: Cetusan idea rakan baik
Adat berniaga pasti akan ada pasang surutnya.
Sepanjang Januari lalu, penurunan jumlah jualan amat ketara.
Jika sebelum ini Abang Sein dapat menerima 30 sehingga 40 pesanan sehari tapi kini hendak mencecah 30 pesanan pun agak sukar.
Dia tidak pasti apa punca penurunan jualan kerana rating restoran mayanya masih agak tinggi dan komen-komen yang diterima daripada pelanggan tidak ada yang mengecewakan.
Apa yang dapat Abang Sein simpulkan sendiri kemungkinan ramai yang hendak berjimat atau sudah kekurangan kuasa beli di kalangan pelanggan.
Situasi itu berlanjutan sehingga dua ke tiga minggu.
"Sebagai peniaga saya tidak boleh duduk diam dan membiarkan situasi ini berterusan. Saya perlu berbuat sesuatu untuk merancakkan semula perniagaan saya.
"Untuk meredakan kerunsingan, saya telah menelefon sahabat baik saya di Cyberjaya dan berkongsi cerita tentang situasi perniagaan sekarang. Dia juga merupakan peniaga dalam talian yang beroperasi dari rumah secara sambilan.
"Dia mencadangkan agar saya menambah produk baharu dalam menu khususnya makanan utama memandangkan sudah beroperasi hampir setahun. Ini kerana hanya makanan ringan yang terdapat dalam pilihan menu saya," katanya.
Sebagai permulaan sahabat Abang Sein mengesyorkannya bermula dengan menu mac and cheese selain sedia untuk memberikan tunjuk ajar.
Dia tanpa berfikir panjang terus bersetuju kerana cara penyediaannya yang ringkas dan cepat serta mudah di samping kos yang efektif.
Abang Sein tahu, selain kualiti makanan yang dihasilkan, strategi dalam perniagaan juga amat penting.
"Saya kemudiannya telah membuat keputusan untuk menambah satu lagi restoran dalam talian di FoodPanda yang dikhususkan untuk menu pasta ini. Saya telah memilih nama "Pasta Leleh Abang Sein" untuk kedai baharu ini.
"Saya berharap dengan penambahan satu lagi restoran maya ini, dapatlah saya meraih pelanggan baru selain pelanggan tetap di restoran maya pertama. Alhamdulillah walaupun ada sedikit masalah, saya telah memulakan perniagaan restoran dalam talian untuk "Pasta Leleh Abang Sein" pada 15 Februari 2021," jelasnya.
Abang Sein mengakui tidak biasa dengan pasta, apatah lagi ia bukan salah satu makanan yang menjadi pilihannya.
Namun syukur, kini telah menjadi salah satu menu jualannya.
"Alhamdulillah saya mendapat tunjuk ajar dari sahabat berkenaan hanya melalui video dan perbualan di WhatsApp kerana larangan merentas daerah sudah pun berkuatkuasa pada waktu itu.
"Namun, penerangan yang ringkas dan jelas itu telah berjaya menghilangkan rasa tidak yakin saya dalam penyediaan pasta.
"Saya juga memuat naik menu mac and cheese ini di semua restoran maya saya di aplikasi GrabFood, Lapar, BungkusIt dan tidak ketinggalan juga di restoran maya Abang Sein Streetfood," ujarnya.
Walaupun agak gugup pada mulanya, Abang Sein bersyukur kerana Pasta Leleh Abang Sein telah menerima 17 pesanan di hari pertama dan juga terdapat pesanan menu baru itu di aplikasi lain.
Ternyata menu itu mendapat sambutan dengan jayanya kerana Abang Sein berhasil menerima 40 pesanan untuk mac and cheese pada hari pertama ia diperkenalkan. Dia gembira kerana ia menyamai pesanan yang diterima pada 2020.
"Pesanan pada minggu kedua terus meningkat dan pada hari penerimaan gaji, jualan boleh mencecah lebih 50 pesanan. Ini ditambah lagi dengan komen pelanggan yang kebanyakannya positif, ia amat menggembirakan saya.
"Saya sangat bersyukur kerana sehingga hari ni walaupun keadaan ekonomi tidak menentu tetapi masih boleh mendapat 30 sehingga 40 pesanan sehari. Selain itu saya juga telah menambah satu lagi menu pasta iaitu crazy creamy fettuccine salted egg.
"Saya amat berterima kasih kepada sahabat berkenaan di atas cetusan idea menjadikan pasta antara pilihan dalam menu restoran dan juga tunjuk ajarnya," katanya.
------------------------------------------
Ini entri terbaharu pengusaha makanan mikro-SME Abang Sein dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day39: i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan galakan pembelian atas talian
Sewaktu pandemik COVID-19 ini, pelbagai isu global timbul seperti pembuangan pekerja, pemotongan gaji dan elaun, penutupan kilang dan perniagaan, penstrukturan semula syarikat serta pelbagai isu lain yang turut terkesan di negara ini.
Keadaan ekonomi yang tenat ini memang amat getir. Terutama untuk golongan B40 dan yang tiada pendapatan tetap.
Kesempitan hidup sebenarnya lebih berkait rapat dengan ketidakcukupan wang untuk mendapatkan keperluan asas harian terutamannya makanan.
Bagaimanapun, keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memang disambut baik oleh kebanyakan masyarat negara ini terutamanya dari golongan B40 dan M40.
Suasana kini diakui mencabar ditambah lagi dengan jumlah pendapatan yang sangat terhad.
Namun, terbukti i-Lestari dan i-Sinar berhasil memberi sedikit kelegaan sekali gus merancakkan sedikit ekonomi setempat dan ini terbukti apabila ada tambahan kuasa membeli yang dapat dilakukan.
Ekonomi dapat digerakkan apabila masyarakat sering berbelanja walaupun pada kadar minimum.
Abang Sein tidak nafikan, faktor wang tambahan yang diperolehi dari i-Lestari dan i-Sinar ini menggalakkan kerancakan pembelian norma baharu secara atas talian antaranya melalui FoodPanda, GrabFood, Shopee dan Lazada.
"Saya sendiri membeli bahan pembungkusan dan barang niaga lain dari beberapa pembekal di platform dalam talian. Boleh dikatakan banyak pembekal utama, kedai serta peruncit malah pasaraya besar pun sudah menyertai platform berkenaan untuk kelangsungan perniagaan mereka.
"Trend norma baharu ini amat unik di mana penyedia perkhidmatan dalam talian seperti memberikan baucar, diskaun, tawaran pulangan wang, penghantaran percuma dan pelbagai lagi untuk menarik minat pembeli.
"Sama juga yang dilakukan oleh pengedia perkhidmatan penghantaran makanan, pelbagai promosi baucar diskaun memang merancakkan pembelian," katanya.
Abang Sein menjelaskan, slogan yang sering dilaungkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti 'kekal di rumah' dan 'keluar jika ada urusan penting sahaja' adalah faktor utama menggalakkan kerancakkan perniagaan atas talian.
Memang tidak hairan katanya jika dia boleh mendapat lebih dari 40 pesanan sehari ketika musim gaji ataupun setelah i-Sinar dimasukkan ke dalam akaun pemohon.
Secara tidak langsung Abang Sein dapat menambahkan bilangan pelanggan tetap yang ada.
"InshaAllah kualiti tetap menjadi keutamaan, saya sering memastikan pelanggan berpuas hati dengan pesanan yang mereka terima. Ini boleh dilihat melalui maklum balas di ruang komen dan nilai bintang untuk semua kedai dalam talian saya agak baik.
"i-Sinar sudah sebulan berlalu, Alhamdulillah melalui inisiatif PEMULIH, pengeluaran terbaru i-Citra sebanyak RM5,000 di mana akan dimasukkan ke akaun pencarum sebanyak RM1,000 setiap bulan bermula Ogos 2021 disambut baik oleh semua golongan terkesan.
"Semoga pengeluaran i-Citra ini turut dapat meringankan beban rakyat yang semakin terhimpit akibat pandemik ini," ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini berkata, pengeluaran i-Citra daripada KWSP akan menggunakan dana simpanan di dalam Akaun 2 terlebih dulu.
Jelasnya, jika dana di dalam Akaun 2 pemohon tidak mencukupi, pihaknya akan membenarkan mereka untuk menggunakan dana di dalam Akaun 1.
--------------------------
Ini entri terbaharu pengusaha makanan mikro-SME Abang Sein dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day38: Susun strategi berniaga di IPT demi anak syurga
Setiap cerita pasti ada permulaannya, pertama kali berniaga di bazar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2016 memang mengimbau kembali kenangan kehidupan kampus Abang Sein pada suatu ketika dahulu.
Ia memang menarik minat Abang Sein, di tambah pula jualan pada ketika itu memang sangat memberangsangkan.
Abang Sein seterusnya mencuba nasib di UPM dan kemudian di UiTM Puncak Alam.
Ternyata sambutan terhadap Takoyaki Abang Sein memang di luar jangkaan.
Akhirnya dia telah menemui kerjaya benar-benar sesuai dengan kriteria diinginkan yang dapat memberi perhatian lebih kepada puteri syurga kesayangan, Damia Sofea.
Sejak dari itu Abang Sein terus berusaha agar mendapat tapak berniaga di bazar atau acara-acara besar di IPT.
"Boleh dikatakan hampir tiga ke empat kali saya akan berniaga di IPT pada setiap bulan. Pelbagai acara atau sambutan yang dijalankan di dalam IPT, sama ada dianjurkan oleh pihak luar, persatuan pelajar atau IPT itu sendiri seperti Majlis Konvokesyen.
"Sepanjang berniaga di IPT, saya sering dibantu oleh pelajar IPT itu sendiri. Dari 2017, saya telah mempunyai organisasi pelajar yang bersedia untuk bekerja sambilan di gerai Takoyaki Abang Sein.
"Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan tersebut. Saya akhirnya dapat mencipta kaedah tersendiri. Penyusunan organisasi yang teratur dan lengkap di UiTM Shah Alam dan UPM amat memudahkan saya.
"Ada ketua, timbalan dan juga AJK. Akhirnya pada penghujung 2017 tugas saya hanya melengkapkan susun atur gerai jualan sebelum bazar bermula dan mengemas kedai pada hari terakhir selain menghantar barang atau stok tembahan jika mereka berjaya mendapat jualan yang banyak," katanya.
Abang Sein turut mengamanahkan ketua yang telah dilantik untuk mengatur gerak operasi gerai, penjadualan dan penggiliran kerja.
Sekitar 2018, dia sudah boleh membuka dua hingga tiga tempat berniaga di bazar IPT yang berbeza dalam satu-satu masa.
Selain UiTM Shah Alam dan UPM, Abang Sein juga kerap menyertai bazar di UiTM Puncak Alam, UKM dan UM.
"Saya bersyukur kerana kaedah dan konsep yang diusahakan ini memberikan hasil yang positif. Selain dapat mencari wang tambahan, pelajar juga didedahkan dengan ilmu baru iaitu kemahiran dan pengalaman mengusahakan perniagaan jalanan yang sukar didapati di mana-mana.
"Proses itu juga terus berulang di setiap semester. Ketua dilantik yang juga merupakan senior akan melatih pelajar junior yang baru. Sehingga kini di UiTM Shah Alam dan UPM sudah pun memasuki generasi ketiga.
"Kebanyakan generasi pertama pada 2017 dan 2018 sudah pun menamatkan pengajian mereka. Ada di antara mereka yang menyambung pelajaran ke peringkat sarjana dan ada yang sudah bekerjaya," ujarnya
Pastinya Abang Sein amat berbangga dengan pencapaian masing-masing apa lagi kebanyakan daripada mereka mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang malah ada juga yang mendapat anugerah dekan.
Kesemua mereka sudah Abang Sein anggap sebagai adik-adik sendiri.
Namun, langit tidak selalunya cerah. Pandemik yang melanda telah memberi kesan yang amat mendalam kepada Abang Sein.
Penutupan IPT dari PKP 1.0 sehingga kini telah menjejaskan punca pendapatan utama Abang Sein. Ia ditambah pula dengan larangan terhadap ekspo dan acara besar.
Berprinsipkan pepatah "berniaga mesti kental", Abang Sein percaya ada hikmah yang tersembunyi di sebalik sesuatu musibah.
"Alhamdulillah Allah lorongkan saya ilham meniaga melalui atas talian. Bagi saya tempoh berehat IPT dan ekspo ini akan digunakan sepenuhnya untuk memperkasa perniagaan atas talian saya. Insha Allah," jelasnya.
--------------------------
Ini entri terbaharu pengusaha makanan mikro-SME Abang Sein dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day37: Dedikasi kerjaya peniaga jalanan untuk tumpu kasih sayang Damia
Tanggal 26 September 2015 adalah detik paling bahagia untuk Abang Sein dan isteri setelah lahirnya puteri yang dinantikan sebagai penyeri dan pelengkap hidup mereka sekeluarga selepas kehadiran dua putera sebelum ini.
Puteri kesayangannya yang diberi nama Damia Sofea serta isteri disahkan sihat dan normal dibenarkan pulang setelah dua hari berada di Pusat Pakar Permata Raofah Ipoh, Perak.
Seperti kanak-kanak yang lain, proses pembesaran dan perkembangan Damia adalah saat yang menggembirakan Abang Sein dan isteri.
Melihat Damia pandai meniarap, berguling, tersenyum dan mengesot adalah detik indah dalam kehidupan.
Namun, keriangan Abang Sein sekeluarga diragut pada tengah malam 29 Februari, 2016.
Masih segar dalam ingatan Abang Sein semasa isterinya tersedar dari tidur apabila merasakan Damia seakan meronta-ronta secara tiba-tiba seolah-olah diserang sawan.
Tanpa membuang masa, Abang Sein segera mengejutkan anak-anak yang lain dan bergegas ke KPJ Healthcare Pusat Bandar Klang untuk mendapatkan rawatan.
Setibanya Abang Sein di KPJ, doktor mengatakan Damia kemungkinan telah dijangkiti meningitis pneumococal.
Mereka mengesyorkan agar dibawa terus ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana pusat itu mempunyai kemudahan dan kelengkapan untuk rawatan jangkitan berkenaan.
Jelasnya, HKL juga mempunyai ramai doktor pakar dalam bidang otak kanak-kanak.
"Apabila sampai di HKL, Damia terus dimasukkan ke ICU pedriatik. Kami suami isteri sama sekali tidak dibenarkan masuk dan hanya dibenarkan menunggu di luar bilik ICU dengan penuh debaran dan tangisan.
"Setelah hampir dua jam, pelbagai ujian telah dijalankan ke atas Damia. Akhirnya doktor pakar telah memanggil saya dan isteri untuk menerangkan keadaan puteri kesayanga.
"Doktor mengatakan bahawa virus telah menyerang otak Damia dan merosakkan hampir sebahagian sel saraf otak puteri kami. Untuk itu Damia perlu ditidurkan selama 10 hari bagi menjalani prosedur dan rawatan lanjutan. Kami hanya dibenarkan melihat Damia selama dua minit sahaja pada keesokkan harinya," ujarnya semasa mengingat semula peristiwa berkenaan.
Abang Sein memberitahu, setiap hari pakar akan menerangkan semua prosedur yang perlu Damia jalani.
Katanya, pakar juga menerangkan segala risiko dan kemungkinan yang akan berlaku selepas ini.
"Kami faham dan terpaksa menerima kenyataan tersebut dengan redha kerana ia sudah ketentuan Ilahi. Damia ditempatkan khas di wad pediatrik khusus masalah otak selama 40 hari.
"Dan selama 40 hari itu juga saya terpaksa berulang alik dari Shah Alam ke Kuala Lumpur. Manakala isteri pula menemani Damia di HKL. Selepas 40 hari Damia akhirnya dibenarkan pulang. Namun keadaan agak berbeza kerana Damia yang pulang kali ini bukan lagi Damia yang dahulu.
"Damia yang dulu aktif kini hanya terbaring di tilam. Namun begitu saya dan isteri bersyukur kerana Allah masih mengizinkan Damia untuk bersama kami sekeluarga," jelasnya.
Sejak itu Abang Sein dan isteri perlu memberikan perhatian yang lebih untuk puteri kesayangan mereka.
Damia masih perlu sering dibawa ke hospital untuk pelbagai rawatan susulan.
"Memandangkan saya menjalankan perniagaan sendiri dan isteri pula bekerja sebagai seorang pendidik, maka saya mengambil keputusan untuk memberikan seratus peratus masa untuk menjaga Damia dengan bantuan ibu dan ibu mertua secara bergilir.
"Setelah mengalami kesukaran mengatur masa saya untuk fokus kepada perniagaan, ketika itulah saya membuat keputusan untuk bertukar bidang perniagaan dari IT kepada penjualan makanan.
"Saya percaya cara ini akan memberikan lebih banyak masa untuk menguruskan puteri kesayangan kerana waktu yang lebih fleksibel dan tidak terikat dengan sesiapa," katanya.
Abang Sein berkata, selain rawatan susulan, dia turut berikhtiar pelbagai cara rawatan lain sepanjang lima tahun.
Namun, sehingga kini ia masih belum memberikan hasil yang positif.
"Demi untuk puteri kesayangan saya dan isteri, kami tidak akan berputus asa dan akan cuba berusaha memberikan yang terbaik buat Damia.
Jauh di sudut hati saya dan isteri masih berharap untuk kesembuhan Damia namun kami tetap redha dengan ketentuan Ilahi.
"Saya percaya Allah tidak akan menguji seseorang itu di luar kemampuan hambaNya," katanya.
-----------------------------------
Ini entri terbaharu pengusaha makanan mikro-SME Abang Sein dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day36: 'Dulu berniaga 'rambo', kini lebih patuh etika demi anak OKU'
Sejak 2016, boleh dikatakan hampir semua cabang berkaitan perniagaan jalanan telah Abang Sein lalui.
Dari berniaga tepi jalan secara 'rambo' (tanpa lesen) di Seksyen 13, Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan pasar malam TTDI Jaya kemudiannya berlesen di pasar malam Seksyen 16 dan pasar tani Kota Kemuning, tetapi pada akhirnya Abang Sein memilih untuk berniaga di ekspo dan bazar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Sebab utamanya ialah tentang perancangan masa dan komitmen untuk keluarga khasnya perhatian untuk puteri syurga (OKU) kesayangannya.
"Mengambil contoh pasar malam dan pasar tani, saya sudah mengetahui secara tetap tempat, hari dan masa berniaga. Selain itu saya juga dapat menjangkakan anggaran julat jualan dan pendapatan yang akan diperoleh dari pasar tersebut jika cuaca baik dan tidak hujan.
"Bagaimanapun, rezeki di tepi jalan dan pasar malam tidak lama kerana kesesuaian saya lebih untuk berniaga di ekspo dan bazar IPT.
"Secara khusus, perniagaan eskpo terbahagi kepada dua jenis tempoh masa, ada yang lama dan ada yang singkat. Saya lebih memilih jenis yang singkat sekitar dua sehingga empat hari," katanya.
Keutamaan Abang Sein adalah menyertai ekspo atau acara yang besar dan lebih mudah serta yang sudah dikenali seperti LAMPU dan Hot Air Balloon Putrajaya.
Manakala untuk bazar IPT memang Abang Sein akui, selalunya sekejap dan tidak mengambil masa yang terlalu lama.
Jelasnya, berniaga bazar tidak tetap seperti ekspo atau acara besar itu risikonya amat tinggi.
Selain sewa tapak yang mahal jika dibandingkan dengan pasar malam dan pasar tani, dia juga tidak tahu anggaran pelanggan yang akan hadir.
"Kena pada masa jualan amat lumayan, tetapi ada masanya rugi atau hanya pulang modal sahaja. Saya memahami itu adalah asam garam dalam berniaga.
"Pada saya persamaan yang jelas tentang kami peniaga jalanan adalah jerih perih yang dilalui untuk mencari sesuap nasi. Berhujan, beribut, berpanas dan pelbagai cabaran lagi.
"Terus terang saya katakan ketika permulaan berniaga di tepi jalan dan pasar malam, terasa amat kagum dengan semangat dan kecekalan rakan niaga yang lain. Saya akui berniaga perlu kental. Semoga semua rakan peniaga jalanan terus dimurahkan rezeki," ujarnya.
Dari pelaksanaan PKP3.0, sudah lebih sebulan pasar malam tidak dibenarkan beroperasi dan hanya akan dibenarkan pada Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa ke 3.
Fasa tersebut yang dijangka pada September adalah satu jangka masa yang agak lama.
Abang Sein faham dengan keluh kesah yang dihadapi oleh peniaga pasar malam sebab dia sendiri adalah golongan peniaga ekspo sejak dari PKP1.0 sebenarnya sudah terputus punca pendapatan.
Sudah lebih setahun tiada eskpo diadakan dan ditambah perit apabila semua IPT ditutup.
Abang Sein bersyukur, sekurang-kurangnya inisiatif kerajaan membantu golongan peniaga kecil seperti Geran Khas Prihatin (GKP), moratorium, Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) dan pelbagai lagi memang amat bermakna buat mereka.
"Semoga pandemik ini cepat berakhir, kami peniaga jalanan memang amat terkesan.
"Golongan seperti saya dan peniaga berkenaan memang amat berharap agar ekspo dan IPT dibuka semula suatu masa nanti," tambah Abang Sein.
-----------------------------------
Ini entri terbaharu pengusaha makanan mikro-SME Abang Sein dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day35: GKP, moratorium pemangkin untuk peniaga kecil
Sejak pandemik COVIS-19 melanda, kerajaan sentiasa prihatin dengan nasib peniaga terutamanya yang terlibat dengan perniagaan kecil dan sederhana (PKS).
Pelbagai bantuan khusus telah diberikan melalui Geran Khas Prihatin (GKP).
Bermula dengan inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan yang terkini Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), ada sahaja bantuan khusus menerusi GKP diumumkan bertujuan untuk meringankan beban peniaga PKS.
Abang Sein bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas inisiatif GKP yang dilaksanakan ini.
Bermula GKP1 yang diterima pada Jun 2020, Abang Sein menggunakannya untuk membeli dapur Takoyaki baru kerana dapur lama sudah terlalu uzur dan juga peralatan tambahan lain untuk berniaga.
Dengan pertambahan peralatan, Abang Sein dapat menyiapkan lebih banyak pesanan.
Ini secara tidak langsung membantunya mempercepatkan proses penyediaan pesanan.
Sementara GKP akan dijadikan modal pusingan untuk Abang Sein berniaga dan membeli barangan keperluan harian.
Besar kemungkinan dalam seminggu lagi peniaga akan menerima bantuan GKP Permai di bawah inisiatif PEMERKASA sebanyak RM500.
Manakala bagi GKP terakhir di bawah inisiatif PEMULIH pula, peniaga akan menerima sebanyak RM500 pada bulan September dan November 2021 nanti.
"Ianya amat melegakan kerana saya boleh melakukan sedikit perancangan awal kewangan. Terima kasih kerajaan atas inisiatif GKP. Bantuan tersebut bagi kami peniaga kecil amat bermakna.
"Satu lagi inisiatif kerajaan yang membantu meringankan beban rakyat adalah moratorium. Bagi saya, dengan sumber pendapatan yang terhad di waktu pandemik ini pembayaran pinjaman perumahan boleh membuatkan saya tidak boleh tidur lena.
"Namun, sekarang saya boleh menarik nafas lega apabila mendengar pengumuman terbaru Menteri Kewangan tempoh hari agar bank memberikan moratorium selama enam bulan kepada peminjam di bawah inisiatif terkini iaitu PEMULIH.
"Saya berharap agar moratorium ini dapat dilaksanakan dengan segera," ujar Abang Sein," katanya lagi.
Dalam keadaan pandemik yang masih meruncing di negara kita, bantuan atau inisiatif kerajaan amat penting agar dapat meringankan bebanan dan tanggungan rakyat yang semakin terhimpit.
Abang Sein dalam doanya tidak pernah putus berharap semoga pandemik ini cepat berakhir demi kelestarian kehidupan yang lebih baik dan selesa di masa akan datang.
--------------------------------------
Ini entri terbaharu pengusaha makanan mikro-SME Abang Sein dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day34: Hikmah di sebalik musibah pandemik
Kemunculan pandemik COVID-19 di seluruh dunia merupakan sesuatu yang tidak pernah diduga.
Semua aktiviti sama ada sosial atau pun ekonomi bagaikan terhenti serta merta.
Sesiapapun pasti akan merasa kecewa dan putus asa apabila perkara yang sedang diusahakan tiba-tiba terhenti. Apatah lagi ia merupakan punca rezeki utama.
Ini merupakan antara kesan yang terpaksa ditanggung Abang Sein dan ribuan lagi peniaga akibat pandemik yang masih meruncing di negara kita.
Untuk Abang Sein pula, penutupan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan larangan mengadakan ekspo atau acara besar sehingga kini sangat memberi kesan.
Bahkan sepanjang pandemik ini ramai peniaga kecil dan sederhana yang merasakan tempiasnya serta terpaksa gulung tikar.
Bagaimanapun, Abang Sein bersyukur kerana sejak berdaftar sebagai peniaga di GrabFood dengan nama Takoyaki Abang Sein pada Ogos 2020, jualannya semakin meningkat.
Nama yang diguna sangat sinonim dengan perniagaannya sejak 2016.
"Bersama GrabFood, kawasan pelanggan saya semakin besar meliputi hampir keseluruhan Shah Alam, Klang dan Subang Jaya.
"Ia berbeza dengan FoodPanda yang hanya tertumpu kepada Seksyen 16, 17, 18, 19, 23 dan 24 sahaja," katanya.
Abang Sein tidak juga menafikan, gandingan dua gergasi penghantaran makanan dalam talian, FoodPanda dan GrabFood, itu merupakan talian hayatnya di zaman pandemik yang mengamalkan pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam kehidupan norma baharu ini.
Boleh dikatakan Abang Sein menerima sekitar 20 sehingga 40 pesanan setiap hari.
Satu angka yang amat memadai baginya untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Di sebalik semua ujian dan dugaan pandemik, tersembunyi hikmahNya yang tersendiri buat Abang Sein.
Sejak beroperasi dari rumah, dia dapat menunaikan dua tanggungjawab sekali gus mencari rezeki dan dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga.
"Apatah lagi sekarang anak-anak yang bersekolah hanya belajar di rumah melalui kaedah Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dan yang paling penting saya dapat memberi perhatian khusus kepada puteri syurga (OKU) kesayangan saya.
"Sejak bekerjasama dengan GrabFood saya sudah lagi tidak melakukan khidmat penghantaran tunai (COD) sendiri. Perniagaan saya hanya tertumpu kepada pesanan melalui FoodPanda dan GrabFood sahaja.
"Ini membuatkan saya menjadi lebih fokus kerana tidak lagi melakukan pelbagai perkara dalam sehari seperti iklan, menjawab pesanan, mendapatkan maklumat pelanggan, menghantar pesanan dan pelbagai lagi. Kini saya hanya fokus kepada penyediaan makanan sahaja," ujarnya.
Kata Abang Sein, tugas lain telah digalas oleh FoodPanda dan GrabFood.
Oleh sebab itu dia akan sentiasa memastikan dan mengutamakan kualiti makanan yang dimasak.
Dia percaya akan mendapat lebih ramai pelanggan tetap dengan menjaga kualiti masakannya.
Percaya dengan rezeki Allah itu luas, pada Oktober 2020, Abang Sein telah mendaftar dengan syarikat pesanan makanan dalam talian yang baru ditubuhkan oleh anak tempatan yang berpusat di Shah Alam iaitu LAPAR.
Selain untuk memasarkan jualan, secara tidak langsung Abang Sein juga memberi peluang dan kepercayaan untuk syarikat anak tempatan untuk berkembang.
LAPAR merupakan sebuah aplikasi tempatan yang baru berusia sebulan ketika itu, menjadikan fokus mesra Muslim sebagai pilihan utama.
Uniknya LAPAR pada awal operasi, hanya memfokuskan kawasan sekitar Shah Alam sahaja.
Sehingga kini, LAPAR telah menampakkan kemajuan dengan meluaskan operasi mereka di Johor Bahru, Wangsa Maju dan Lembah Pantai.
Walaupun masih belum mendapat menandingi FoodPanda dan GrabFood, namun tambahan satu sehingga empat pesanan setiap hari menerusi LAPAR sudah cukup menggembirakannya.
Semoga LAPAR terus maju dan dapat setanding dengan FoodPanda dan GrabFood suatu masa nanti.
InsyaAllah...
---------------------------------------
Ini entri terbaharu pengusaha makanan mikro-SME Abang Sein dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day33: PKPD dan kenangan kemeriahan Festival LAMPU
Bermula hari ini, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersasar mula dilaksanakan di kebanyakan mukim di Selangor dan Kuala Lumpur.
Daerah Petaling merupakan salah satu mukim yang akan terlibat memandangkan kes yang agak tinggi.
Sering bermain di fikiran Abang Sein, entah bila agaknya keadaan ini akan pulih dan normal seperti sedia kala. Dia sendiri dan ramai lagi amat terkesan dengan pandemik ini.
Katanya, kempen #BenderaPutih di rumah bagi golongan yang memerlukan bantuan sekarang memang tepat pada masanya.
"Baru sebentar tadi penghantar makanan GrabFood mengambil makanan yang dipesan oleh pelanggan dari USJ di Subang Jaya. Pelanggan saya kebanyakan mereka memang dari jauh seperti Klang, Subang Jaya selain hampir keseluruhan Shah Alam.
"Sedar tidak sedar sudah setahun lebih saya berniaga secara dalam talian ni. Jauh di sudut hati memang amat merindui suasana berniaga di acara besar, ekspo dan juga di bazar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
"Antara kenangan tidak dapat dilupakan sepanjang terlibat sebagai peniaga makanan adalah berniaga pada acara nombor satu dan terbesar di Malaysia iaitu Light and Motion Putrajaya (LAMPU) Putrajaya yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya. LAMPU diadakan sempena sambutan tahun baru setiap tahun," ujarnya.
Bagi Abang Sein, kenangan berniaga dalam himpunan sejuta manusia di Putrajaya itu memang amat mengagumkan.
Berniaga di Festival LAMPU memberi kepuasan sebenar kepadanya sebagai seorang peniaga jalanan.
Jelasnya, pengalaman menguruskan gerai jualan semasa Festival LAMPU amat berharga.
"Walaupun dikenakan sewa tapak yang tinggi tetapi pulangannya Insha Allah amat memberangsangkan terutamanya pada malam terakhir iaitu malam sambutan tahun baru.
"Jumlah jualan memang amat menakjubkan. Gerai jualan diserbu pengunjung dan keadaan memang tidak terkawal. Bersandarkan pengalaman yang berulang kali berniaga di LAMPU, saya dapati stok jualan adalah faktor utama yang perlu dititik beratkan.
"Pada malam terakhir LAMPU, Putrajaya akan menjadi sesak dan terlalu susah untuk keluar masuk kerana dipenuhi lautan manusia dan kenderaan untuk melihat bunga api sempena tahun baru," jelasnya.
Abang Sein terkenang, pada malam terakhir festival, terlihat di matanya semua peniaga tersenyum puas, walaupun penat yang tidak terucap tetapi semuanya berbaloi.
Katanya, boleh dikatakan ada di antara peniaga di Festival LAMPU adalah bekas peniaga tepi jalan pada satu ketika dahulu dan menyertai festival itu adalah salah satu matlamat serta kemuncak dalam kepuasan berniaga.
Itu dulu. Kini, semua itu hanya menjadi lakaran sejarah manis, realitinya sejak dari Februari 2020 sehingga kini sudah memasuki Julai 2021, masih belum ada tanda-tanda untuk acara-acara besar seperti itu diadakan semula.
Abang Sein menjangkakan, mungkin semua perlu menunggu setahun lagi untuk negara mencapai 80 peratus imuniti kelompok melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Abang Sein pasrah, semua kenangan manis masih tersemat kemas dalam memorinya dan sebagai peniaga jalanan, dia berharap COVID-19 dapat segera pergi dan peluang kembali berniaga di acara-acara besar seperti satu masa dahulu berulang kembali.
------------------------------------------
Ini entri terbaharu pengusaha makanan mikro-SME Abang Sein dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Abang Sein dan Streetfood special
Lockdown #Day32: Duit PENJANA pernah dimanfaat beli 'chiller' perkukuh perniagaan
Kemeriahan, keceriaan dan keriangan merupakan antara perkataan yang sinonim dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara ini.
Namun, sejarah telah tertulis sambutan Aidilfitri bermula 2020 ternyata berbeza dari tahun-tahun sebelumnya.
Sambutan dengan norma baharu yang langsung tak terjangka dek akal.
Bagaimanapun kesuraman sambutan Aidilfitri kali ini sedikit terubat apabila Abang Sein mendapat berita Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) telah meluluskan bantuan pinjaman tanpa faedah kepada peniaga kecil terkesan COVID-19 melalui Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro (CBRM) di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan kerajaan.
"Dengan dana yang diterima itulah dapat saya membeli satu unit peti pendingin (chiller) untuk kemudahan menyimpan barang niaga dengan kuantiti yang lebih banyak. Saya juga membeli beberapa peralatan baharu untuk kemudahan memasak," katanya.
"Baki dari dana yang diterima itu saya manfaatkan sebagai modal pusingan. Dalam keadaan yang serba mencabar ini, skim bantuan ini sangat-sangat memberi manfaat kepada peniaga kecil seperti saya. Terima kasih TEKUN. Terima kasih inisiatif PENJANA," tambah Abang Sein.
Bagi dirinya, cabaran berniaga dalam talian ini tidak pernah putus.
Dia yang baharu saja mampu menarik nafas lega selepas memperolehi bantuan TEKUN Nasional melalui inisiatif PENJANA diduga dengan jualan roti John yang merosot.
Seringkali jualan roti John tidak habis dan terpaksa dibuang atau diberi kepada jiran berdekatan bagi mengelakkan pembaziran.
"Alhamdulillah ... selama 12 tahun menetap di Seksyen 17, Shah Alam, saya dikelilingi jiran yang baik dan positif.
"Oleh kerana sambutan yang kurang menggalakkan, saya telah mencuba beberapa menu baru untuk digandingkan bersama hidangan Jepun, takoyaki.
"Akhirnya saya memilih meatball, corndog dan beberapa jenis air buah yang dibotolkan sendiri seperti durian belanda, mangga dan lemon pudina," jelasnya.
Tambahnya, chiller baharu turut membantunya memaksimumkan penggunaan kemudahan yang ada untuk penyimpanan bahan makanan.
Selain itu, Abang Sein telah membuat keputusan tepat dengan mendaftar di FoodPanda.
"Jumlah jualan saya semakin hari semakin meningkat. Saya telah memilih untuk menamakan restoran maya ini sebagai Abang Sein Streetfood Special bersesuaian dengan pelbagai menu makanan jalanan yang diusahakan sejak 2016," ujarnya.
Kata Abang Sein, segala proses seakan dipermudahkan dari pendaftaran restoran sehingga penerimaan peranti.
Dia mengakui, debaran memang cukup terasa ketika hari pertama restoran diaktifkan di aplikasi dan berniaga menggunakan platform FoodPanda.
"Walaupun konsep yang sedikit berbeza tetapi memang ada kelebihan tersendiri. Ia pengalaman baru yang amat berharga.
"Saya sendiri tidak menyangka menerima 14 pesanan pada hari pertama tersebut, melebihi nilai jualan personal. Saya amat bersyukur kerana terdapat peningkatan nilai jualan harian apabila menggunakan FoodPanda.
"Dengan berbekalkan sedikit pengalaman menerima pesanan melalui aplikasi ini, saya teruskan mendaftar di aplikasi GrabFood. Alhamdulillah kini saya mempunyai pelanggan tetap di kedua-dua aplikasi tersebut," katanya.
Ternyata pandemik ini telah merubah gaya hidup Abang Sein dan masyarakat sekarang. Membuat pesanan secara dalam talian semakin menjadi cita rasa norma baharu. Masyarakat lebih selesa untuk berada di rumah dan hanya membuat pesanan makanan di dalam talian.
Ini dibuktikan dengan suasana di atas jalan raya yang penuh dengan penghantar makanan dari syarikat tersebut.
Bagaimanapun, Abang Sein sentiasa berdoa pandemik ini akan cepat berakhir untuk kembali menikmati pengalaman berniaga sambil berinteraksi dengan pelanggan secara bersemuka.
--------------------------------------
Ini entri terbaharu pengusaha makanan mikro-SME Abang Sein dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day31: Genap setahun Abang Sein berniaga dalam talian
Bagaikan sinaran memancar di hujung terowong, peluang yang menjelma di Ramadan penuh barakah lepas dimanfaatkan sepenuhnya.
Setiap hari, Abang Sein akan menyusun jadual dengan teliti dan semakin mahir dengan selok-belok pengiklanan di media sosial.
Jelasnya, ternyata masa sesuai mengiklankan produk di media sosial selalunya pada waktu malam dan keesokkan paginya.
"Ini kerana pada jam 10 pagi saya sudah mula menerima pesanan dan menetapkan jam 2 petang untuk menerima pesanan terakhir. Hari silih berganti pesanan sudah mula menampakkan peningkatan yang memberansangkan.
"Pada minggu kedua Ramadan bagaikan tidak percaya, setiap hari saya akan menerima lebih dari 25 pesanan dan ini memang di luar kemampuan untuk melakukan proses penyediaan secara sendirian.
"Saya bernasib baik kerana ada rakan yang kebetulan sedang bekerja dari rumah dan sudi datang membantu untuk penyediaan pada jam 3.30 petang," jelasnya.
Selain itu, Abang Sein telah mula mengupah beberapa runner sambilan untuk melancarkan proses penghantaran kerana pesanan yang diterima bukan lagi di kawasan berdekatan.
Katanya, pesanan sudah mula memasuki kawasan lain sekitar Shah Alam seperti Seksyen 2, 3, 4, 6, 7, 8, 9, 13, 14 dan lain-lain.
Abang Sein hanya memfokuskan penghantaran di kawasan berdekatan sekitar lapan rumah sahaja.
"Tepat jam 5.45 petang runner akan datang mengambil pesanan yang telah dijadualkan untuk dihantar.
"Memang di luar jangkaan, dari pertengahan hingga penghujung Ramadan saya sudah berjaya menerima sebanyak 35 pesanan sehari. Dengan bantuan rakan dan runner sambilan, segala operasi dapat berjalan lancar.
"Alhamdulillah, Syawal yang tiba dapat disambut dengan sedikit senyuman walaupun PKP masih dikuatkuasakan," katanya.
Bagaimanapun, Abang Sein mengakui, jumlah jualan agak merudum selepas Hari Raya Aidilfitri walaupun konsep perniagaan yang sama diteruskan.
Ini kerana pada ketika itu beberapa kelonggaran terhadap penguatkuasaan PKP telah diberikan oleh kerajaan seperti kebenaran makan di premis perniagaan makanan dan bermacam lagi berbanding seperti PKP1.0 lalu di mana kebanyakan rakyat hanya duduk di rumah.
"Sehingga Jun 2020, trend penurunan jualan memang nampak berlarutan. Ini antara faktor saya mengambil keputusan untuk berdaftar dengan platfom atas talian terbesar di Malaysia iaitu FoodPanda selain saranan daripada rakan-rakan niaga lain.
"Ramai rakan niaga telah menggunakan perkhidmatan FoodPanda terlebih dahulu dan menyatakan terdapat peningkatan jualan di kedai mereka. Saya yang keberatan pada mulanya kerana perlu memahami konsep baru perniagaan atas talian tersebut di samping caj yang dikenakan oleh mereka sebanyak 30 peratus juga agak tinggi bagi saya.
"Bagaimanapun, bila memikirkan ini adalah satu cabang lain mencari rezeki, saya gagahkan juga.
"Alhamdulillah dari proses pendaftaran semuanya dipermudahkan dan saya memulakan perniagaan di FoodPanda pada 27 Jun, 2020," ujarnya.
Hari ini genap setahun empat hari Abang Sein bersama FoodPanda selain sudah mula mengorak langkah bersama platform atas talian lain seperti GrabFood, BungkusIT dan juga LAPAR yang dikhususkan untuk penduduk Shah Alam.
------------------------------
Ini entri pertama pengusaha makanan mikro-SME Abang Sein dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day30: Kenangan 1 Ramadan pencetus kebangkitan
Dalam keadaan ketidaktentuan dari bermula PKP1.0 pada 18 Mac tahun lepas, tiada apa yang boleh Abang Sein lakukan sehingga berlanjutan lebih sebulan.
Walaupun akur dengan keadaan dan takdir yang menimpa, Abang Sein tahu, dia tidak boleh terus berdiam tanpa apa-apa usaha kerana wang simpanan yang ada sudah semakin 'menipis'.
Hutang semakin menggunung sehingga pernah terdetik untuk menjual aset yang ada seperti rumah dan kereta sebagai jalan keluar.
Setiap hari dia buntu dengan perkara yang sama.
"Alhamdulillah ... akhirnya dua hari sebelum Ramadan, saya nekad untuk kembali berniaga menggunakan kaedah yang ada. Sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan harian.
"Jadi saya pun mengemas peralatan meniaga dan menyusun tempat penyediaan memasak di ruang parkir rumah. Pengalaman beberapa rakan niaga lain yang telah bermula lebih awal dijadikan panduan untuk melancarkan proses persiapan untuk perniagaan dalam talian dari rumah," katanya.
Abang Sein tidak nafikan, berniaga secara dalam talian ini merupakan cabaran besar untuk peniaga makanan bergerak sepertinya.
"Ia sangat berbeza. Berniaga secara maya tanpa ada pelanggan di depan mata sedangkan kebiasaan saya berniaga dikelilingi pelanggan.
"Sebagai langkah permulaan, saya menyertai sebanyak mungkin kumpulan Facebook yang berkaitan dengan Shah Alam. Kebetulan pada PKP1.0 terdapat banyak kumpulan berkaitan e-Bazar Ramadan diaktifkan.
"Ini amat memudahkan kerana saya lihat beberapa rakan niaga memang telah mengiklankan jualan mereka," ujarnya.
Namun Abang Sein mengakui, proses mengiklankan jualan juga agak mencabar untuknya kerana cara pengiklanan yang berbeza sebelum ini.
Pada mulanya, Abang Sein terpaksa melayari pelbagai iklan makanan lain untuk mencari idea.
Akhirnya, setelah membaca beberapa contoh iklan, dia berjaya membuat iklan yang sesuai.
"Dari pengamatan di iklan peniaga lain juga saya mendapat ilmu baru tentang perniagaan dalam talian ini seperti perlu menetapkan waktu tertentu untuk menerima pesanan.
"Ia dapat melancarkan proses penyediaan dan penghantaran makanan yang mana tidak pernah ada dalam kamus peniaga bergerak," jelasnya.
Untuk permulaan, Abang Sein menetapkan untuk menjual takoyaki dan roti john.
"Alhamdulillah sehari sebelum Ramadan saya telah memuat naik iklan di Facebook dan pesanan yang diterima di WhatsApp adalah di luar jangkaan, satu demi satu pesanan masuk.
"Agak sukar juga untuk saya membalas setiap pesanan tersebut pada mulanya. Namun, bagi mengelakkan kekeliruan, saya mencatatkan semua pesanan dan butiran penting pelanggan dalam buku khas yang disediakan untuk senarai pesanan," katanya.
Abang Sein memaklumkan, pada jam 2 petang 1 Ramadan, dia telah menerima lebih dari 13 pesanan dan nilai jualan mencecah hampir RM200.00.
Dia bersyukur dengan rezeki yang datang.
Bermula jam 3 petang, Abang Sein mula menyiapkan pesanan dan pada sebelah petang, dia sendiri melakukan penghantaran ke 13 buah rumah di sekitar seksyen 16, 17, 18, 19 dan 24 Shah Alam.
"Penghantaran terakhir dapat dilaksanakan lima minit sebelum azan Maghrib.
"Walaupun sendirian bertungkus lumus menyediakan dan menghantar semua pesanan namun akhirnya debaran dan rasa penat sepanjang proses tersebut seakan hilang sebaik sahaja penghantaran terakhir dibuat.
"Saya sangat bersyukur kerana hari pertama Ramadan itu telah mengembalikan semangat yang diperlukan untuk terus berniaga," ujarnya.
Abang Sein juga berharap rezeki dari perniagaan dalam taliannya akan berterusan dan terus memberinya rezeki untuk keluarga sepanjang musim pandemik ini.
-------------------------------
Ini entri terbaharu pengusaha makanan mikro-SME Abang Sein dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day29: Abang Sein terjun ke dunia perniagaan makanan demi anak OKU
Mohamad Faisal Johari atau lebih dikenali sebagai Abang Sein merupakan seorang yang berlatarbelakangkan bidang teknologi maklumat dan pernah berkhidmat di konglomerat IT seperti MIMOS, DRB-HICOM IT (DHIT).
Abang Sein juga pernah mengusahakan perniagaan kecil - kecilan berasaskan IT seperti e-bahan, pemasangan rangkaian setempat (LAN) dan fiber optik.
Dia sendiri tidak menyangka akan terjun ke bidang perniagaan makanan.
Faktor utama yang menyebabkannya beralih arah dari bidang IT ke bidang makanan adalah untuk merancang masa bagi menguruskan anak bongsu yang disahkan OKU selepas terkena jangkitan kuman meningitis pada usia enam bulan.
Puteri bongsu yang dilahirkan sempurna dan sihat walafiat pada awalnya kini memerlukan perhatian dan penjagaan khusus.
Demi memastikan keutamaan untuk puterinya, berniaga makanan adalah cara paling sesuai pada masa itu.
"Jadi sejak 2016, saya menjalankan perniagaan Takoyaki Abang Sein.
"Bermula dengan gerai di tepi jalan sehinggalah ada seorang rakan yang mengajak untuk turut serta berniaga di ekspo-ekspo yang bertempat di IPTA sekitar Lembah Klang.
"Peluang ini memberi pulangan yang agak memberangsangkan hingga saya mempunyai organisasi pelajar yang bersedia untuk bekerja secara sambilan sekiranya terdapat ekspo atau bazaar di beberapa IPTA berkenaan contohnya seperti di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Shah Alam, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," ujarnya.
Takoyaki Abang Sein juga pernah membuka hampir tiga tempat serentak di bazar IPTA yang berbeza.
Bukan itu sahaja, sejak 2018 sehingga 2020 pelbagai acara besar seperti Festival Lampu Putrajaya, Hot Air Balloon Putrajaya, Retromania Grand Gathering, Absolut Food Festival sudah menjadi acara yang dinantikan oleh Abang Sein untuk turut serta.
Sehinggalah pada Februari 2020 dunia telah dikejutkan dengan pandemik COVID-19 yang turut melibatkan negara.
Satu persatu ekspo dan acara-acara besar di batalkan.
Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga apabila kerajaan mengumumkan PKP di seluruh negara sepanjang Mac hingga April 2020.
Abang Sein juga turut terkesan tanpa sebarang sumber pendapatan dan mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata.
Akhirnya setelah berbincang dengan rakan-rakan perniagaan lain, tercetuslah idea untuk menjual di kawasan taman perumahan berkonsepkan penghantaran terus ke rumah pelanggan.
Walaupun agak keberatan pada awalnya tetapi idea itu tetap diteruskan.
"Alhamdulillah pada 1 Ramadan, saya telah membuka langkah dengan membuat iklan menjual takoyaki dan roti John di Facebook dan Whatsapp.
"Di luar jangkaan, usaha ini mendapat sambutan. Inilah permulaan perniagaan Takoyaki Abang Sein secara atas talian," katanya.
Tambahnya, usaha itu diteruskan lagi pada Jun 2020 dengan mendaftar menjadi vendor kepada platform penjualan makanan atas talian yang berskala besar iaitu Foodpanda.
Abang Sein terus berdoa, usahanya diberkati dan rezekinya demi anak tetap berterusan sepanjang masa genting begini.
-------------------------------
Ini entri pertama pengusaha makanan mikro-SME Abang Sein dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.