Lockdown #Day55: Berbakti di dunia demi agama, bangsa dan negara
Hampir dua bulan Diari Lockdown menemui anda, setiap hari juga kisah Abang Chik dipaparkan.
Biasanya, hanya cerita orang lain dan cerita tugasan mereka.
Cerita mereka jarang sekali ada, gambar pun boleh kata tiada.
Cerita orang lain saja memenuhi diarinya tapi itulah yang membahagiakannya.
Membantu orang lain, menurut Abang Chik dan Epit, sangat luar biasa kepuasannya.
Entri terakhir ini, tidak banyak boleh diceritakan kerana hampir semua sudah dikongsikan sebelum ini.
Meskipun ini entri terakhir untuk Diari Lockdown namun diari mereka tetap sama, tetap ada untuk membantu saudara seagama.
Selepas ini, kalau ingin baca kisah mereka, boleh pergi ke Facebook Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih.
Di sana, semua ada, cerita, gambar, video, 'live video' pun ada.
Bingkisan terakhir ini, penulis kongsikan wajah dua insan yang berjiwa besar ini.
Tak dilupa, penghargaan dan tabik hormat juga buat rakan-rakan sukarelawan yang lain.
Terima kasih untuk semua tenaga, keringat dan jasa anda.
-------------
Ini entri terakhir Abang Chik dan sukarelawan dari Sentuhan Setia Kasih serta rakan-rakan yang lain dalam edisi Diari Lockdown, kelolaan Astro AWANI.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day54: Bantu sempurnakan jenazah guru silat, Datuk Adiwijaya
Semalam, seperti biasa tugasan kami sampai ke malam.
Begitupun, semalam juga kami membantu mengebumikan insan bernama besar dalam dunia persilatan negara.
Kami menyempurnakan jenazah Datuk Adiwijaya Abdullah yang telah kembali ke Rahmatullah pada hari Jumaat, penghulu segala hari.
Semuanya selesai kira-kira jam 10 malam.
Berikut catatan ringkas Abang Chik yang dimuat naik di Facebook Sentuhan Setia Kasih:
“Innalillahhiwainnailaihirojiun... Alhamdulillah. Selesai jam 10malam. Tayamum solat van menurunkan jenazah...
"Dari Allah kita datang kepada Allah S.W.T kita dikembalikan…
--------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day53: Terima kasih semua, sumbangan anda digunakan untuk bantu golongan memerlukan
Setiap hari kami bantu uruskan jenazah.
Setiap hari juga pasti ada wang digunakan dan semuanya itu datang dari penderma-penderma berhati mulia.
Mereka sokong apa yang kami buat, mereka bantu sedaya mampu mereka.
Semalam, lima keluarga menerima manfaat dari sumbangan anda.
Kami uruskan lima jenazah serentak dari Ampang.
Waris sendiri hubungi kami, ada yang asnaf, ada yang kurang berkemampuan.
Semuanya kami tanggung, semuanya hasil dari sumbangan anda semua.
Terima kasih dari kami dan juga dari waris yang wakilkan kami untuk sampaikan ucapan terima kasih.
-------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day52: Anak minta bawa jenazah ibu lalu depan rumah, hendak tengok ibu dari jauh ...
Sebelum jenazah ibu dibawa ke bilik pengurusan jenazah di Kampung Medan, Petaling Jaya, Selangor untuk dikebumikan.
Salah seorang anak Allahyarham menghubungi kami.
Dia meminta kami membuat satu pusingan di bawah rumah mereka sebelum bergerak ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Kampung Medan.
Anak-anak dan suami mahu lihat van jenazah melalui kawasan rumah mereka buat kali terakhir.
Mereka tidak boleh ikut ke tanah perkuburan kerana semuanya positif COVID-19.
Kami kenal Allahyarhamah, dia seorang wanita yang lucu dan ceria.
Setelah sekian lama bertarung dengan kanser, hari ini dia telah dijemput oleh Allah.
Innalillahiwainnailahirojiun.
Penghormatan terakhir. Orang baik Allah sayang.
Adik di kejiranan kami.
-------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day51: Adik, kakak 'pergi' serentak akibat COVID-19
Kematian dua beradik serentak di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Arwah adiknya berusia 35 tahun dan arwah kakaknya yang berusia 36 tahun.
Seperti telah berjanji sehidup semati, kedua-duanya meninggal dunia akibat COVID-19. Kedua-dua jenazah dibawa untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit kiara, Kuala Lumpur.
Seramai 15 orang sukarelawan Sentuhan Setia Kasih dibawa bersama untuk sama membantu di tanah perkuburan bagi sama-sama membantu sukarelawan lain, PKD, dan pihak pengurusan kubur di situ.
Alhamdulillah.
Dalam 14 jenazah keseluruhannya, dua jenazah yang kami membawa dan 12 jenazah dari pihak hospital dan NGO yang lain selamat disempurnakan di situ.
Allah lebih menyayangi semua hambaNya. Innalillahhiwainnailaihirojiun...
Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali ...
------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day50: Hari Raya Korban di tanah perkuburan
Hari ini Hari Raya Aidiladha, kami masih bertugas seperti biasa.
Kami sempat menyempurnakan 14 jenazah serentak, 12 jenazah dari pelbagai agensi dan juga beberapa biah van jenazah.
Dua jenazah yang kami sempurnakan, Sentuhan Setia Kasih membawa 15 orang sukarelawan untuk bantu kebumikan
Innalillahhiwainnailaihirojiun.
---------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day49: Alhamdulillah ... ramai doakan kami, terima kasih semua!
Ramai yang tahu, Abang Chik memang suka berkongsi segala pergerakannya dengan dimuat naik ke Facebook.
Bukan rakaman video tapi secara langsung kami bawakan, semuanya selepas mendapat keizinan daripada keluarga.
Banyak sebab kami paparkan secara langsung dan ada juga kadangkala ia permintaan waris sendiri.
Mereka tidak dapat hadir, jadi dari video kamilah mereka meihat pengebumian insan yang mereka sayang.
Tapi apa yang menyentuh hati kami, dalam setiap 'live' kami, banyak sungguh doa dipanjatkan untuk kami.
Terima kasih semua.
Doa anda penguat semangat kami, doa anda juga buat kami terus gagah berjalan menempuhi segala cabaran.
Alhamdulillah...
---------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day48: Tak sempat cat baru, kereta jenazah terus digunakan
Sejak kebelakangan ini, jumlah jenazah yang kami uruskan jumlahnya agak banyak.
Sehari, pasti lebih daripada 10 jenazah.
Situasi itu membuatkan kami memerlukan van baharu untuk memenuhi permintaan.
Baru-baru ini, kami terima satu van baharu, sudah dicat dan beroperasi pun.
Dua hari lepas, kami ada sebuah lagi kenderaan baharu tapi kali ini kami beli, hasil daripada sumbangan orang ramai.
Harganya? Biarlah kami sahaja yang tahu.
Kenderaan baru ini istimewa, tidak sempat lagi cat baharu, terus digunakan untuk membawa jenazah.
Kami hanya sempat tampal pelekat di belakangnya.
Biarlah, kami guna dulu buat masa ini, kedai dah buka nanti baru kami cat.
Warna? Kelabu, sama warna seperti van kami yang lain.
-----------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day47: Rela berkorban demi agama dan bangsa
Semalam, Abang Chik dan beberapa kumpulan NGO yang juga sukarelawan pemandu van jenazah bergabung - untuk satu nawaitu - melaksana dan menunaikan fardhu kifayah mereka.
Kata Abang Chik, krunya dari Sentuhan Seita Kasih membantu menguruskan lebih kurang 21 jenazah beragama Islam. Jenazah dikebumikan di beberapa tanah perkuburan termasuk di Raudatul Sakinah di Kepong, Selangor dan Raudatul Sakinah di Taman Selasih, Gombak (berhampiran Lebuhraya Karak).
Ada juga yang menggunakan perkhidmatan van Abang Chik dan rakan-rakan yang membawa pesakit COVID-19 ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Hari ini, sewaktu perkongsian ini ditulis di ruangan 'Diari Lockdown' ini, Abang Chik dan kru Sentuhan Setia Kasih berada di rumah mayat Hospital Ampang, Selangor untuk membantu menguruskan jenazah.
"Lima jenazah serentak di hospital Ampang, sekarang...
Innalillahhiwainnailaihirojiun ...
"Doakan," tulis Abang Chik di pautan terkini di Facebooknya.
--------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day46: Kalau hati memang tertanam sifar ingin bantu...
Kalau hati memang tertanam sifar ingin membantu, apa saja boleh dibantu pasti akan dibantu.
Selama ini, bantu uruskan pengebumian, hari-hari begitulah tugasnya.
Namun hari ini, dalam 'kekalutan' nak ke tanah perkuburan, rakan Abang Chik, Epit ternampak sebuah lori sedang terbakar di Petaling Jaya, Selangor.
.
Tidak langsung berlengah, Epit segera ambil alat pemadam api dan bantu padamkan api.
Dalam kekalutan menghantar jenazah, ternampak kebakaran di Petaling Jaya.
Epit yang sedang memandu van jenazah bergegas turun dari van dan mengeluarkan alat pemadam api.
Bantuan tambahan diberikan kepada pihak polis yang ketika itu sudah berada di sana.
Alhamdulillah... Tindakan awal bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM)," tulis Abang Chik.
-----------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day45: Bayi 46 hari dikebumi, tinggal ibu bapa bersama pilu dan COVID-19
Semalam, mereka membantu menguruskan pengebumian anak syurga, baru berusia 46 hari.
Lebih menyedihkan, ibu dan bapa tidak dapat hadir kerana positif COVID-19.
-----------------------------
Kes semalam.
Kepada sahabat saya Achik Shah Putera, Mohd Firdaus dari persatuan NGO, Fardhu Kifayah, Ardianshah Along terima kasih atas bantuan urusan mengeluarkan jenazah anak syurga berusia 46 hari dari Hopsital Kuala Lumpur (HKL) hingga sempurna disemadikan di Tanah Perkuburan Islam PJS 4,Taman Medan di Petaling Jaya, Selangor petang semalam.
Tidak lupa juga kepada sahabat-sahabat inspektor kesihatan (IK) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ayah dan ibu anak syurga ini tidak dapat hadir kerana positif COVID-19.
Kos pengebumian anak syurga ni juga Allah permudahkan dengan menggerakkan hati hambaNya untuk infaq.
Terima kasih juga kepada hamba Allah yang infaq.
Di kesempatan ini, sekali lagi saya mewakili keluarga Allahyarham anak syurga, yang juga anak buah kepada sahabat saya mengucapkan jutaan terima kasih.
Semoga Allah melimpahi rahmat kepada anda semua yang membantu…
----------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day44: 'Semuanya kerana Allah, teruskan kerana Allah'
Laporan lewat kes semalam khidmat bantuan van jenazah dan sukarelawan.
Ramai pihak yang terlibat, hendak disebut nama satu-persatu memang ramai.
Semua mereka adalah orang hebat membantu 12 kes COVID-19.
Ada kes yang dihantar ke luar daerah bahkan lain negeri.
Ini pasukan yang terlibat:
TEAM AVO AMAL VALLEY ORGANIZATION
TEAM DAG FARDHU KIFAYAH
BOB FAIRUZ ZEN
Kes biasa hari ini dua kes.
1 kes - dari Pertubuhan Amal Nur By Khiriah (PANK). Jenazah wanita kurang berkemampuan, kos kubur dibayar oleh pertubuhan tersebut. Kami bantu sediakan juru mandi dan kami buat sehingga selesai ke tanah perkuburan. Terima kasih kongsi pahala dengan kami (PANK).
1 kes - Pertubuhan Setia Kasih, jenazah wanita, kariah Kampung Medan, Petaling Jaya, Selangor.
Dalam khidmat bantuan ini, ramai pihak yang terlibat, saling bantu-membantu sedaya yang termampu.
Yang sebelum ini, tidak pernah bertegur sapa, kali ini sama semua menabur bakti dan jasa. Ada dihantar di dalam kawasan dan ada di luar kawasan, setiap daerah juga negeri dihantar.
Semua satu tujuan satu matlamat, kerana Allah, fardhu kifayah.
Jutaan terima kasih kepada semua
Bantu kerana Allah.
Dalam setiap gambar ia berbicara tentang muafakat dan kerjasama.
Muka yang keletihan, kegembiraan, kerjasama, ukhuwah yang terbina untuk mengeratkan dan menguatkan tali persahabatan.
Semuanya kerana Allah...Teruskan kerana Allah...
--------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day43: Kes kematian meningkat, perkhidmatan van jenazah banyak diperlukan
Kami bersaudara, cuba bantu sebaik mungkin untuk berkhidmat dari segi khidmat van pengambilan jenazah dan penghantaran.
Cuma jika ada kelewatan atau perubahan masa, semua jadual bukan dari kami, harap waris memahami.
Kes kematian harian yang meningkat, perkhidmatan van jenazah amat banyak diperlukan buat masa ini.
Semua pihak sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga terus bantu dan membantu, sehingga ke tanah perkuburan terus bekerjasama.
Kami terima panggilan terlalu banyak dari waris yang memerlukan khidmat nasihat dan bantuan. Ada yang tak sempat kami berikan khidmat, minta maaf.
Tetapi kami tidak pernah menolak kes dengan dibiarkan sahaja.
Kami akan bantu sedaya mampu dan cadangkan rakan-rakan amal kami yang lain untuk membantu. Insya-Allah, kami kongsikan nombor telefon mereka, mereka akan bantu selesaikan.
Proses tayammum dan solat pula, kami cuba bantu tanpa mengenakan bayaran jika lokasi tersebut kami dibenarkan untuk kami sempurnakan dengan kebenaran.
Kami berkongsi pahala bersama rakan-rakan amal kami yang lain, niat kerana Allah, tanpa mereka merungut dan juga sedia berkhidmat.
Walaupun jadual mereka sendiri padat, mereka selalu beri ruang untuk membantu. Terima kasih dan semoga Allah membalas segala amal kebaikan:
Team AVO
Team DAG Ampang
Team Assalam Fardhu Kifayah
Team Wan Chai UKVJ klang
Team Fitrah Funeral
-------------------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day42: Berjuanglah, bersatulah semua kerana Allah
Ada saja waktu terluang, walaupun sekejap, pasti Abang Chik akan titipkan nukilan.
Banyak kisahnya, dari sudut kehidupan, tugasan dan 1,001 cerita yang lain.
Begitulah hidup mereka.
Kadangkala makan pun tidak sempat.
Kalau sempat pun, makan saja di mana-mana, tepi jalan, tepi tanah perkuburan, namakan saja.
Asalkan perut diisi untuk kembalikan tenaga, mereka sanggup redah saja.
Kali ini, bukan cerita makan tapi cerita semangat perpaduan diterap dalam nukilan Abang Chik.
"Semua team, semua pihak harus bersatu. Berjuanglah kerana Allah. Kami keluarga Sentuhan Setia Kasih. Epit bersama Epol dan pasukan penggali kubur. Walan bersama Baba, Lan Mato, Abang Chik.
Bersatulah demi agama."
Ringkas saja tulisannya hari ini, namun membawa seribu makna.
---------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day41: 'Jaga diri COVID-19 berterusan ragut nyawa manusia' - Abang Chik
Tahun 2021 sudah masuk bulan ketujuh, lebih setengah tahun sudah berlalu, kes baharu COVID-19 saban hari merekodkan angka membimbangkan.
Hari ini, lebih 9,000 kes direkodkan, semalam juga begitu.
Jumlah kematian juga hari-hari memaparkan angka yang menimbulkan gusar di hati.
Setiap hari, Abang Chik dan rakan-rakan menitipkan pesanan kepada keluarga, saudara-mara dan kawan-kawan supaya menjaga diri dan menjaga SOP dengan ketat.
Masakan tidak, hampir saban hari Abang Chik dan kru sukarelawan Sentuhan Kasih menyaksikan virus meragut nyawa insan yang mereka tidak kenali, bahkan ada juga yang kenal.
Semalam sahaja, lebih 10 jenazah COVID-19 mereka bantu uruskan.
Sudah beberapa hari, lebih 10 jenazah COVID-19 mereka kebumikan setiap hari, menunjukkan angka kematian berada pada tahap sangat membimbangkan.
Ini senarai kes semalam:
Dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, sembilan kes dihantar ke Tanah Perkuburan Islam di Pantai Dalam, KL, Seksyen 21, Shah Alam, Bukit Tandang dan PJS4 di Petaling Jaya serta Kampung Bohol, Puchong, Selangor.
Selebihnya, dari hospital di Shah Alam, Klang dan Ampang.
Angka-angka itu menghadirkan risau di hati Abang Chik dan rakan-rakan.
Mereka berharap, semua orang jaga diri sebaiknya dan sentiasa berwaspada.
Insya-Allah.
----------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day40: Ketawa bersama, menangis bersama...
Ringkas saja catatan Abang Chik hari ini dalam Facebook sukarelawan Sentuhan Kasih..
Dimulakan dengan “ketawa bersama, menangis bersama…”
Sekali baca, persis lirik lagu yang pernah popular suatu ketika dahulu, namun mungkin itulah getus hati yang selama ini tidak pun diceritakan kepada orang lain.
Bersama ayat pendek itu, Abang Chik turut memuat naik satu gambar, agak lucu juga apabila dilihat buat kali pertama.
Namun, benarlah kata orang, satu gambar boleh memaparkan 1,001 cerita.
Begitu jugalah dengan gambar Abang Chik itu.
Ini catatannya, ringkas tapi pastinya membawa pelbagai makna, tersurat dan tersirat, pastinya.
“Ketawa bersama menangis bersama terlentang seorang…
Ya Allah ya tuhan kami... Kami halalkan segala keringat ygan menitis demi mu ya Allah...
Lillahhitaala…” tulisnya.
Dari gambar tersebut, nampak mereka penat namun wajah masih mampu mengukir senyuman.
Kuat sungguh semangat mereka.
Stay strong, Abang Chik! Teruskan usaha murni anda ...
----------------------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day39: Waris hubungi Abang Chik lepas selalu baca 'Diari Lockdown'
Berita semalam - dua lelaki maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah bas di Paya Jaras, Sungai Buloh.
Ini antara sebahagian artikel tersebut:
“Dua lelaki maut selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah bas di persimpangan lampu isyarat Paya Jaras dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu mengakibatkan penunggang, Mohamad Jeffry Mohd. Saundi, 36, dan pembonceng Mohd. Noor Azmanizam Mashusin, 39, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kejadian berlaku selepas penunggang motosikal yang berada di kiri jalan menukar lorong ke tengah jalan, menurut laporan sebuah akhbar pada Khamis.
Kes itu, Abang Chik dan rakan-rakan bantu uruskan, satu dihantar ke Sungai Buloh, satu lagi ke Kelantan.
Salah seorang waris dari Kelantan menghubungi Abang Chik, bila ditanya dari mana mendapat tahu perkhidmatan Abang Chik, dia berkata melalui Astro AWANI.
“Terima kasih kerana bawakan kisah kami.
“Bukan saja membantu kami tapi dapat juga membantu orang lain di luar sana,” katanya.
Campur jenazah tersebut, dua jenazah kami hantar ke Kelantan.
Doakan perjalan kami pergi dan balik ya sahabat-sahabat semua.
------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day38: Terima kasih percayakan kami
Tidak sampai setahun beroperasi, nampaknya khidmat kami semakin meluas.
Dulu, hanya kami berdua - Abang Chik dan Epit - tapi kini kami ada ramai kawan-kawan baharu, semuanya sukarelawan juga.
Jadi, sekarang kalau ada lebih daripada satu kes pada satu masa, kami dapat bantu semuanya, agihkan kepada kawan-kawan.
Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.
Kami berterima kasih kepada jabatan agama Islam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang semakin mempercayai khidmat kami.
Sejak beberapa hari lepas, kami ada menerima lebih daripada 10 panggilan uruskan jenazah sehari.
Semalam lebih 10, hari ini pun sama.
Van kami yang baharu juga sudah siap dicat, kelabu juga warnanya.
Jika tiada aral melintang, mungkin tidak lama lagi boleh mula digunakan.
Alhamdulillah, Allah selalu bantu kami ...
--------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day37: Damailah di sana Makcik Dahlia. Al-Fatihah
Setiap yang hidup pasti akan bertemu mati.
Masa, tempat dan asbab membezakannya.
Hari ini kami kehilangan doa seorang wanita yang banyak mendoakan kami.
Kami panggilnya dengan nama Makcik Dahlia.
Wanita itu meninggal dunia kerana serangan jantung.
Pasukan kami menguruskan segalanya, dimandi, dikafan dan dikebumikan.
Mujur sukarelawan ramai sudi membantu, memproses dan memandikan jenazah tadi diuruskan dua Muslimah.
Kami kebumikan Makcik Dahlia di Tanah Perkuburan Bukit Tandang, Petaling Jaya.
Tidak jauh dari pusara abangnya yang kami uruskan pada 29 Mei lepas.
Abangnya, kami panggil Pak Long meninggal dunia akibat COVID-19.
Terima kasih Allah kerana menghadirkan sahabat untuk membantu memudahkan urusan semua.
-----------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day36: Ada rakan baharu sertai kami hari ini
Beberapa hari lepas, Abang Chik dan pasukan sukarelawan, 'Sentuhan Setia Kasih' agak sibuk.
Kadangkala tidak menang tangan, tidak cukup masa dibuatnya.
Hari ini, keadaan tidaklah begitu sibuk seperti sebelum ini.
Bahkan, mereka juga mendapat rakan baharu hari ini.
“Penugasan hari ini Insya-Allah kami bantu.
Urus jenazah COVID-19 lelaki, urus tayamum solat sehingga selesai ke.
Urus penghantaran pesakit COVID-19, lima sekeluarga ke Hospital Sungai Buloh.
Urus satu jenazah kematian biasa (jangkitan paru-paru). 10 hari sudah meninggal. Waris baru dijumpai.
Dan, urusan-urusan jenazah yang lain.
Doakan kami dan semua sukarelawan kami.
Hari ini juga pengalaman pertama berkhidmat buat rakan baru, seorang bilal dari Masjid Al-Mustaqim, Ampang.
Ustaz Nasrin namanya.
Hari ini dia memakai PPE, bantu kami menguruskan kes COVID-19.
Tiga jenazah dibantu serentak.
Jutaan terima kasih juga dari pihak keluarga ucapkan untuk bacaan doa darinya.
Semoga terus istiqomah…
---------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day35: 14 kes, pengebumian anak syurga selesai jam 4 pagi di Pahang
Kru sukarelawan Sentuhan Setia Kasih menerima 14 kes.
Daripada jumlah itu, 12 daripadanya adalah kes COVID-19, dua kes biasa.
Salah satunya, kematian anak syurga, baru berusia lima tahun, kecil lagi namun sudah pergi berjumpa Pencipta.
Pengebumiannya bukan di Kuala Lumpur tetapi di Kuala Lipis, Pahang.
Jam 4 pagi, barulah selesai semuanya.
Usai kebumi, pulanglah kami ke Kuala Lumpur.
Hari ini, ada lagi urusan pengebumian, setakat ini tiga sudah kami uruskan.
Bukan hanya kami, rakan-rakan sukarelawan lain ada juga sama-sama membantu.
Sampai di KL hampir Subuh, lelap seketika kemudian sambung semula bantu uruskan jenazah lain.
Alhamdulillah, masa mungkin nampak begitu singkat namun mujur Allah permudahkan segalanya.
Apa yang penting, kami mohon doa anda supaya kami terus istiqomah.
-------------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day34: 'Alhamdulillah, selepas ini 'swab test' percuma, terima kasih semua!'
Hari-hari menguruskan jenazah COVID-19, risiko dijangkiti sentiasa ada.
Walaupun kru Sentuhan Setia Kasih sentiasa mengamalkan SOP yang ketat, kami sentiasa perlu berhati-hati.
Jadi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan setiap sukarelawan jalani ujian saringan setiap dua minggu.
Sejak beberapa bulan lepas, begitulah rutin Abang Chik dan rakan-rakan setiap dua minggu.
Saringan perlu dilakukan di klinik swasta, biasanya kos akan melebihi RM200 seorang.
Hari ini, mungkin berkat keihkhlasan mereka membantu, PKD Petaling Jaya akan melakukan saringan secara percuma kepada mereka.
Selepas ini, setiap dua minggu, mereka akan jalani saringan, kali ini percuma.
"Alhamdulillah.
Syukur Allah.
Berita gembira buat kami sukarelawan dari Sentuhan Setia Kasih.
Ujian saringan percuma setiap dua minggu.
Sebelum ini, kami mengeluarkan wang saku kami sendiri untuk ujian saringan.
Alhamdulillah, Allah membantu kami. Alhamdulillah, ya Allah.
Terima kasih KKM.
Terima kasih PKD Petaling Jaya."
-------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelolakan wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day33: Lima jam sarung PPE dari KL ke Kedah
Semalam, kru sukarelawan 'Sentuhan Setia Kasih' menerima 22 panggilan untuk uruskan jenazah.
21 daripadanya meninggal dunia akibat COVID-19.
Kru Abang Chik cuba melakukan kerja pengebumian secepat mungkin, namun untuk menyelesaikan semuanya dalam sehari, agak mustahil bagi mereka.
Jadi semalam, Abang Chik dan rakan-rakan sempat mengebumikan 11 jenazah.
Yang terakhir, dikebumikan di Sungai Petani, Kedah.
Abang Chik bertolak dari Kuala Lumpur jam 7 petang, sampai di Kedah jam 12 tengah malam.
Dalam van jenazah, Abang Chik dan rakan-rakan mengikut SOP ketat dengan menyarungkan pakaian PPE sepanjang perjalanan ke utara tanahair.
Bayangkan, perjalanan lima jam disaluti PPE, penyaman udara pun tak terasa, panas lagi adalah rasanya.
"Lima jam mereka pakai PPE. Kasihan sahabat kami.
"Semoga Allah pelihara mereka sentiasa," kata Abang Chik.
Selesai urusan pengebumian, mereka kembali ke Kuala Lumpur dan hari ini, ada 11 lagi pengebumian perlu diuruskan.
Hari ini, sudah melepasi waktu Maghrib, urusan masih belum selesai sepenuhnya.
Doakan kami ya sahabat-sahabat semua, mohon Abang Chik.
---------------------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikelola wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day32: Jika ada yang kurang berkemampuan, hubungi Abang Chik
Sebelum ini, paling banyak pun, 10 jenazah perlu diuruskan sehari.
Tapi hari ini, bukan 10, bukan juga 20 tetapi Abang Chik terima panggilan untuk menguruskan 22 jenazah.
Pada orang lain, mungkin ada yang berasakan Abang Chik rasa terbeban dengan jumlah sebegitu.
Namun, pada Abang Chik, dia berasa sebaliknya.
“Hari ini sahaja 21 kes COVID-19 diterima dari PKD Petaling Jaya. Seorang lagi dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
“Jumlahnya banyak, kami bahagikan dengan rakan-rakan yang lain.
“Alhamdulillah, ini menandakan pejabat agama dan KKM percaya kepaada kami.
“Niat kerana Allah dan keikhlasan pasukan Sentuhan Setia Kasih,” kata Abang Chik.
Menurutnya, andai tidak sempat menguruskan semua jenazah hari ini, mereka akan bawa ke hari esok.
Sukarelawan semakin ramai, tugasan pun kini lebih mudah untuk diagihkan, lebih ramai juga boleh dibantu.
Pelan bantuan yang diumumkan kerajaan, baru-baru ini juga diharap mampu membantu lebih ramai orang untuk memiliki wang lebih.
Namun, bagi yang kurang berkemampuan, jika ada jenazah perlu diuruskan, hubungi Abang Chik, mereka boleh membantu.
-----------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day31: Alhamdulillah, kami akan dapat sebuah van jenazah baru
Ingat lagi?
Sebelum ini Abang Chik ada kata, mereka memerlukan sebuah lagi van jenazah.
Ia untuk memudahkan mereka menyusun pergerakan dan lebih ramai boleh dibantu.
Memandangkan sukarelawan semakin ramai rela membantu, sebuah lagi van jenazah pasti sangat membantu.
Alhamdullillah, ada insan mahu memberikan van baru kepada Abang Chik.
Ikuti catatan beliau di laman Facebooknya hari ini:
-----------------
“Sumbangan Ditutup...
DITUTUP...
Baki di dalam akaun, terkini RM2232.87.
Tetapi masih ada lagi yang hubungi kami akan masukkan ke akaun. Katanya nak juga pahala.
Insya-Allah, lebihan akan dijadikan bayaran untuk pelekat, beacon light, siren juga selenggara untuk kenderaan ini.
Insya-Allah...
Semuanya untuk MPV kita ini...
Ada penyumbang, seorang bekas Pemandu Trak Tunda secara peribadi hubungi kami.
Katanya akan bersama saya ke Utara untuk membayar baki selebihnya dan kami sama-sama akan ambil bawa balik kenderaan ini ke Lembah Klang.
Jadikan MPV jenazah.
Doakan.
Terima kasih semua. Ini adalah kenderaan kita bersama.
-----------------------------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day30: Dulu terima panggilan tunda kereta, kini urus jenazah pula
Sebulan sudah Diari Lockdown bersiaran, sebulan jugalah orang membaca kisah Abang Chik.
Cerita sedih, gembira, terharu, cabaran semua pernah diceritakan.
Nama Abang Chik, Walan, Epit mungkin sudah ramai yang kenal.
Tapi mungkin ramai tidak mengetahui Abang Chik dan beberapa rakan sukarelawan adalah pemandu trak tunda.
Bertemu Abang Chik baru-baru ini, ada juga dia meluahkan kadangkala rasa terkilan melihat orang pandang negatif tugas mereka.
Sedangkan kalau kemalangan, mereka orang paling awal sampai.
Ramai juga yang tahu berikan bantuan kecemasan, jadi mereka bantu mana yang mampu terlebih dahulu.
Barang peribadi pun, mereka simpan cepat-cepat, kemudian serah kepada polis atau keluarga mangsa.
Tapi itu dulu, sekarang pun kalau ada yang hubungi, Abang Chik dan rakan-rakan masih sudi membantu.
Cuma sekarang, panggilan uruskan jenazah yang banyak diterima.
Berubah sudah hidup mereka namun tidak mereka menyesal bahkan gembira kerana dapat berbakti.
Hari ini, perjalanan diteruskan dengan mengebumikan jenazah COVID-19.
Jam menghampiri waktu Maghrib, mereka masih bertugas dan hari ini, itu merupakan jenazah kelima dan keenam.
Kedua-duanya dihantar ke Klang.
-----------------------------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day29: 'Kenapa ayah tidur lama?'
“Kenapa ayah tidur lama?”
Soal dua anak kecil ketika pengebumian ayahnya.
Allahyarham berumur 40 tahun, bekerja sebagai pemandu peribadi di Lembah Klang.
Akibat pandemik COVID-19 dan PKP, dia dinasihatkan untuk berhenti kerja, dan tidak lagi bekerja.
Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung semasa tidur di rumah.
Dia meninggalkan seorang isteri juga dua orang anak yang masih kecil, berumur empat dan tiga tahun.
Bagi anak-anak kecil ini, mereka tidak memahami lagi akan pemergian ayah mereka.
Yang mereka tahu dan bercakap: “Kenapa ayah tidur lama?”,
Ibu cuba menjelaskan walaupun anak masih tidak memahami.
Team Pengurusan Jenazah Sentuhan Setia Kasih, memberi khidmat dari awal sehingga selesai.
Jenazah diambil, dibawa turun dari rumahnya di Flat Kenanga, Ampang lalu dibawa ke Masjid Al-Mustaqim, Ampang untuk diuruskan.
Alhamdulillah, imam dan AJK masjid tersebut memberi kebenaran, sama-sama membantu.
Setelah siap, jenazah dibawa semula ke surau kawasan rumahnya kerana hendak disolatkan oleh Imam surau dan juga rakan-rakan kejiranan.
Setelah selesai solat, jenazah dibawa dan dihantar ke Tanah Perkuburan Islam di Kampung halaman isterinya di Kedah.
Jenazah siap selesai dikebumikan jam 10.00 pagi hari ini.
Allah sebaik-baik perancang. Dia yang menghidupkan. Dia juga yang mematikan.
-------------------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day28: Mana milik kita, kita Allah punya ...
Kadangkala bila ada waktu lapang, Abang Chik gemar menulis puisi.
Pujangga sungguh bunyinya, sekurangnya dapat legakan jiwa sementara.
Perkataan diatur, ayat dicatur, maka terhasillah puisi seperti ini.
Baca, selami dan hayati nukilan Abang Chik ini, berjudul "Mana milik kita...":
----------------------------------------------------
"Mana milik kita,
Tidak ada milik kita.
Semua yang ada,
Allah yang punya.
Tidak ada kita punya.
Kita hanya mengusahakan saja.
Apa yang kita dapat Allah sudah sediakannya.
Kita Allah punya,
Dunia ini ciptaan-Nya,
Miliklah apa saja, tidak terlepas dari ciptaan-Nya
Mana kita punya,
Tidak ada kepunyaan kita,
Kita hanya mengusahakan,
Apa yang telah ada.
Mengapa kita sombong. Memiliki Allah punya.
Mengapa tidak malu, Kepada Allah yang empunya.
Patut bersyukur kepada Allah,
Yang memberi segalanya.
Malulah kepada Allah kerana milik ia punya,
Janganlah berbangga,
Apa yang ada pada kita,
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa.
Janganlah mengungkit,
Mengungkit jasa kita,
Jasa kita di sisi-Nya,
Yang sebenarnya Allah punya,
Marilah kita bersyukur,
Bukan berbangga, tapi bersyukur kepada Allah.
Bukan mengungkit jasa,
Gunakanlah nikmat Allah itu,
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja,
Agar tidak mengungkit-ungkitnya.
----------------------------------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day27: Tidak terima duit, cenderahati dari waris kenangan di hati kami
Mungkin ramai yang masih tidak tahu, sekiranya kami membantu menguruskan jenazah, kami tidak mengenakan sebarang bayaran.
Tapi begitulah, waris memang selalunya mahu memberikan wang kepada kami.
Seperti biasa, kami tolak.
Kami lakukan semuanya secara percuma.
Daripada mana wang kami dapat?
Itu semua daripada penyumbang kami yang sentiasa menghulurkan sumbangan.
Enam kes diuruskan hari ini, seorang waris benar-benar mahu memberikan sesuatu kepada kami.
“Hari ini ceritanya, salah seorang sukarelawan, pemandu van kami menerima hadiah daripada salah seorang waris yang diuruskan hari ini.
“Waris nak berikan duit, kami tidak menerima. Dia hendak memberi sedekah, kami tak terima.
“Lepas itu, dia masuk dalam kereta dan keluarkan satu hadiah, cantik, dengan ayat indah di atasnya,” kata Abang Chik.
Berikut adalah ayat tersebut:
“Orang yang cerdik ialah orang yang sentiasa mengingati mati dan sentiasa bersedia menghadapi kematian.”
Walaupun kelihatan biasa-biasa sahaja namun kesannya sampai di jiwa.
Selepas ini, hari-hari melihat hadiah itu pasti akan membangkitkan semangat mereka.
Benar kata orang, kadangkala tindakan kecil mampu memberi kesan besar kepada seseorang.
InsyaAllah ...
------------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day26: Semasa hidup berjiran, meninggal dunia dikebumi sebelah-menyebelah
Sedih, pilu, hiba menerjah hati Abang Chik hari ini, bukan satu tapi dua cerita.
Kisah pertama, dua lelaki berjiran, disahkan positif pada hari sama.
Mereka kemudian dibawa ke MAEPS di Serdang, tak lama selepas itu, sama-sama keadaan semakin memburuk.
Kedua-duanya dibawa dan dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor namun hari ke hari keadaan mereka tidak mengizinkan.
Hari ini, Abang Chik mendapat panggilan, kedua-duanya telah meninggal dunia.
Hari sama disahkah positif, hari sama dibawa ke MAEPS, hari sama dirawat di hospital dan hari sama meninggal dunia, dikebumikan sebelah-menyebelah.
Itu kisah pertama.
Kisah kedua membabitkan sebuah keluarga, hampir semua dijangkiti virus itu.
Lebih memilukan, ibu mereka sudah meninggal dunia dan ayahnya pula kini bertarung nyawa di wad, kritikal, tahap empat.
Anaknya, tiga orang sudah dijangkiti - kini bersedih mengenangkan ibu sudah pergi.
“Begitulah apa yang berlaku di dalam negara kita, memang COVID-19 satu virus yang meragut nyawa ramai orang.
“Semoga kita beroleh kemenangan nanti. Teruskanlah berdoa untuk semua,” katanya.
-----------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day25: Selang seminggu, adik pula 'ikut' abang kembali kepada Pencipta
Jumaat lalu, sahabat kami yang biasa kami panggil dengan gelaran Pakcik Ali Toreh kembali kepada Pencipta.
COVID-19, itulah punca pemergiannya.
"Kamilah yang membantu uruskan pengebumiannya yang dari dulu banyak membantu kami.
Adik arwah, yang kami panggil Makcik Khadijah - juga selalu bantu kami.
Bahkan, dia antara penyumbang sejak dari awal kami ditubuhkan.
Takdir dua beradik ini, akrab ketika masih hidup, waktu meninggal pun hanya selang seminggu.
Minggu lepas pada hari Jumaat, Pakcik Ali Toreh pergi terlebih dahulu dan selang seminggu, juga pada Jumaat, Makcik Khadijah pula 'ikut' abangnya.
Dia meninggal dunia juga kerana COVID-19.
Dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Medan, Petaling Jaya, pusara mereka benar-benar hampir.
Keakraban, rapatnya hubungan mereka nampaknya seolah dibawa hingga ke hujung nyawa.
---------------------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day24: Isteri meninggal dunia, suami kini bertarung nyawa kerana COVID-19
Perjalanan hari ini diteruskan di Ampang.
Dari awal proses sehinggalah selesai pengebumian, Abang Chik merekodkan segalanya, dikongsikan secara langsung dalam Facebook Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih.
Kali ini, ahli keluarga arwah yang meminta semuanya direkodkan.
Dari dalam van, sehinggalah selesai, setiap saat dirakam, mungkin kenangan buat keluarga arwah.
Begitupun, pertengahan rakaman, Abang Chik menerima satu perkhabaran sedih.
“Sahabat kami telefon, dia beritahu ada satu jenazah wanita perlu dibantu, meninggal dunia akibat COVID-19.
“Yang sedihnya, suaminya pun sama dijangkiti, kini sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.
“Takdir Allah, isterinya pergi dulu,” kata Abang Chik.
Menurutnya, jenazah mungkin tidak dapat disempurnakan hari ini, mungkin esok Abang Chik akan bantu uruskan.
Hari ini, tiba waktu Maghrib, urusan mereka masih belum selesai.
Esok sudah ada beberapa jenazah perlu diuruskan. Masa perlu disusun sebaiknya agar semua berjalan lancar.
Setiap hari rutinnya sama namun setiap hari jugalah hati sedih apabila mendapat berita pemergian seseorang.
-----------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day23: Inilah dunia kami, bantu selagi kudrat berbaki
Cerita Abang Chik, hampir sama sahaja setiap hari.
Dari bilik mayat, bawa jenazah ke tanah perkuburan.
Kemudian, mereka bantu kebumikan jenazah, dapat pula jenazah COVID-19, lain pula prosedurnya.
Begitulah diari harian Abang Chik, Sentuhan Setia Kasih dan kru yang lain.
Rutin sama tapi tak semua mampu buat perkara sama.
Hari ini, empat lagi jenazah diuruskan.
Semuanya COVID-19, semuanya dari lain-lain tempat, kebumi pun di lain tempat.
Dapat kes sebegitu, agak lama juga masa diambil.
"Kebumikan jenazah kami dah biasa buat, tak sampai satu jam kami boleh selesaikan.
"Perjalanan itu yang kadangkala mengambil masa tapi biasalah, itu perkara kecil sahaja," kata Abang Chik.
Kadangkala dia lega kerana kini semakin ramai melibatkan diri dalam 'dunianya'.
Dunia yang orang lain tidak nampak.
Dunia yang lain dari kebiasaan.
Dunia yang penuh ranjau dan duri.
Tapi pastinya, dunia yang sedia memberi demi umat Islam.
-----------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day22: Mengimbau inspirasi di sebalik amal demi saudara seagama
Semalam, Abang Chik dan rakan menerima panggilan untuk bantuan menguruskan 10 jenazah COVID-19 dan kematian berkaitan komplikasi lain.
Dari tengah hari sampai tengah malam semalam, enam berjaya disempurnakan.
Empat lagi, disambung hari ini.
Bahkan, kalau ada panggilan lain, Abang Chik dan kru tetap dalam mod 'standby'.
Hari ini, antara jenazah diuruskan diambil dari Hospital Shah Alam, dikebumikan di USJ22, Subang Jaya, Selango.
Awal pagi tadi, Abang Chik dan 'team' Sentuhan Setia Kasih sekali lagi ke udara dalam televisyen.
Astro AWANI yang pertama dan kali ini, sekali lagi Abang Chik 'masuk TV', kata orang.
Kisahnya hampir sama seperti diceritakan sebelum ini, terutamanya inspirasi di sebalik amalnya.
Yang paling mencuri tumpuan sudah pasti kisah pemergian ibu mertuanya di Sabah.
Di sana, ada juga saudara seagama menyediakan perkhidmatan seperti Abang Chik, uruskan jenazah dari awal hingga akhir, percuma juga.
Dari situlah timbul inspirasi untuk wujudkan Sentuhan Setia Kasih.
Bermula September tahun lepas, ratusan jenazah sudah disempurnakan.
Selagi ada kudrat, Abang Chik dan rakan akan terus sumbang keringat
-----------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day21: Rekod tertinggi, sempurnakan 10 jenazah COVID-19 sehari
Sebelum ini, kes paling tinggi diuruskan sehari adalah sebanyak sembilan kes.
Begitu pun, Abang Chik berkongsi, 10 panggilan mereka terima pada Isnin, semuanya kes COVID-19.
Jumlah yang membimbangkan itu sering menghadirkan resah di hati Abang Chik.
Berikut coretan Abang Chik hari ini:
"Terima panggilan untuk bantu 10 kes hari ini COVID-19.
Tapi semua belum dapat waktu masa dan ketika lagi.
On standby ...
Khidmat van dan sukarelawan.
Untuk kerjasama boleh menghubungi: Epit Mohd Firdaus dari Fardhu Kifayah di 017-350-0763.
Jika ingin sama membantu kongsi pahala atau terus ke base di Bukit Tandang, Petaling Jaya.
Coretannya kali ini dibiarkan tanpa sebarang suntingan.
Begitulah cara Abang Chik mencoret rutin hariannya di Facebook 'Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih'.
Setiap hari ada 'update' darinya.
Abang Chik juga berkongsi gambar, kes semalam tapi kali ini kerjasama baru terjalin.
"Terima kasih kepada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak atas kerjasama diberikan.
"Baik-baik semuanya. Alhamdulillah," katanya.
--------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day20: Sebak kebumi jenazah COVID-19 tanpa waris
Kebumikan jenazah tanpa waris selalu menghadirkan hiba di hati Abang Chik.
Tidak dapat diungkap rasanya apabila perjalanan akhir di muka bumi diuruskan orang luar, tiada langsung keluarga ikut sama.
Dalam tempoh pandemik COVID-19 ini, begitulah keadaannya.
Hari ini, situasi sama berulang.
Abang Chik mengebumikan seorang lelaki meninggal dunia akibat COVID-19.
Keluarganya tidak dapat hadir kerana dia merupakan anak jati Sarawak, ahli keluarganya semua di sana.
“Sedih rasanya bila kebumikan jenazah ini kerana keluarganya jauh, pasti mereka sudah lama tidak berjumpa dan rindukan arwah," kata Abang Chik.
“Kalau dikenangkan perkara itu, sedih betul rasa hati ini. Tapi begitulah tugas kami, macam-macam cerita kami jumpa namun tugas tetap perlu disempurnakan,” tambahnya.
Selesai urusan pengebumian tengah hari tadi.
Pusara akan dibiarkan seketika, mungkin dalam satu atau dua jam dan kemudiannya, imam akan datang membacakan talkin.
---------------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day19: Seronoknya dikelilingi insan berhati mulia
Perjalanan ke Melaka hari ini membuatkan hati Abang Chik gembira.
Semuanya dipermudahkan malah rakan-rakan di Melaka - yang tidak pun Abang Chik kenali - melayan Abang Chik dan rakan-rakan dengan sangat baik.
Pertama kali berjumpa tapi sudah seperti kawan lama, sama-sama bekerja, penat pun tidak terasa bila suasananya ceria.
Pengebumian kali ini melibatkan jenazah wanita berusia 61 tahun dibawa ke Tanah Perkuburan Paya Datuk, Alor Gajah, Melaka dengan van Sentuhan Setia Kasih.
“PDRM IPD Alor Gajah, Pusat Kesihatan Daerah Alor Gajah dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM)."
“Abang Chik nak sebut nama mereka sebab mereka sangat baik, mudahkan segala urusan kami,” katanya.
Bahkan, dalam kepenatan selepas selesai kebumi jenazah, Abang Chik sempat menghasilkan sajak.
Nukilan khas dari Abang Chik buat semua sukarelawan yang berbakti di dunia.
Ini nukilan Abang Chik:
Sukarelawan tanpa bayaran.
Mereka sedia membantu,
Tidak kira masa,
Tidak kira hari,
Selagi mereka boleh berbakti mereka akan berbakti,
Tanpa bayaran juga tak kenakan yuran,
Jenazah diambil dan dihantar,
Ada di dalam kawasan, ada juga di luar daerah,
Termasuk merentas negeri.
Memakai PPE selama berjam-jam,
Sudah menjadi kebiasaan bagi mereka,
Setibanya di tanah perkuburan,
Dibantu pula sehingga menutup liang lahad.
Inilah pengorbanan mereka,
Tanpa bayaran buat saudara seagama,
Satu saja yang dipinta,
Doakan mereka.
----------------------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day18: 'Andai dapat satu lagi van jenazah, ramai lagi boleh kita bantu ...'
Setiap hari, biasanya lima dan enam kes jenazah diuruskan Abang Chik di bawah naungan NGO Sentuhan Setia Kasih.
Kadangkala, tidak cukup tangan dan kru. Namun, pertolongan Allah sentiasa hadir untuk insan memerlukan.
Setiap hari, ada saja sukarelawan menawarkan bantuan kepada Abang Chik dan rakan-rakan untuk menguruskan jenazah.
Bantuan untuk 'meminjamkan' van jenazah datang dari segenap pelusuk Petaling Jaya.
"Ada individu yang datang menghulurkan bantuan itu Abang Chik tidak kenal, namun semangat mereka menakjubkan,
“Permintaan tinggi. Sukarelawan nak berkhidmat ramai.
“Realitinya, Sentuhan Setia Kasih kekurangan jentera untuk memberi khidmat sepenuhnya kepada yang memerlukan.
“Mereka selalu berdoa agar ada dalam kalangan perderma yang pemurah dan sudi menyumbangkan kenderaan untuk mereka berkhidmat buat masyarakat yg memerlukan,” kata Abang Chik.
Justeru, Abang Chik kini sedang giat mengumpul dana untuk membeli sebuah lagi van jenazah.
"Kos operasi harian tidak mengapa, mereka boleh ambil di sana dan sini tapi kos untuk membeli kenderaan baharu, agak berat buat mereka."
“Kalau ada satu lagi van, sedikit sebanyak mampu membantu lebih ramai orang yang memerlukan,” ujarnya.
Jika ada yang mahu membantu, sumbangan anda boleh disalurkan ke akaun RHB Bank Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih (2-62054-0002821-7).
--------------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day17: 'Gali kubur ‘cara lama’ lebih mencabar namun sudah biasa'
Lima jenazah dapat disempurnakan hari ini.
Begitu pun, petang tadi Abang Chik dan pasukan membuat persiapan awal untuk jenazah yang akan dikebumikan esok.
Itu pun jika proses dokumentasi berjalan lancar.
Jenazah adalah seorang wanita warga Indonesia yang berkahwin dengan orang Malaysia.
“Hari ini dah bantu lima kes. Alhamdulillah .... Syukur pada Allah, mohon doa juga agar dipermudahkan urusan kami
“Hari ini enam kes, kami dah sempurnakan lima. Tiga kes COVID-19 dan dua kematian biasa, satu akibat serangan jantung, lepas mandi dan kafan kami terus hantar ke Kelantan,” kata Abang Chik.
Pengebumian di Tanah Perkuburan Bukit Tandang masih mengamalkan cara lama, menurut Abang Chik.
"Kalau tempat lain mungkin pakai jentolak, di sini mereka masih mengorek kubur cara lama, kudrat dan tenaga manusia."
Sudah tentu cabaranya berbeza dan tempoh masa juga berbeza namun disebabkan sudah biasa, semuanya nampak mudah buat mereka.
Bagi mereka, tidak kira macam mana pun caranya, fokus utama adalah membantu selesaikan pengebumian.
Lain cara tidak mengapa asalkan sempurna segalanya.
---------------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day16: Kami buat 'live' sebab kami hendak penyumbang nampak, wang yang mereka beri, di sinilah jalannya
Lockdown #16: 'Ada sebab di kubur pun Abang Chik buat 'live''
Sesiapa yang melihat Facebook "Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih", pasti melihat banyak kandungan 'live video' hasil usaha Abang Chik.
Tidak kiralah di dalam van, di hospital, hatta di tanah perkuburan sekalipun, ada sahaja video langsung dibuat, yang memaparkan keadaan sebenar di lokasi.
Bagi Abang Chik, ada sebab dia berbuat demikian.
"Kami buat 'live' sebab kami hendak penyumbang nampak, wang yang mereka beri, di sinilah jalannya.
"Dari operasi van, minyak dan segalanya, wang anda semua disalurkan ke sini," katanya.
Kadangkala ada juga Abang Chik 'live' di tanah perkuburan.
Keluarga arwah tidak kisah ke?
"Kami memang sebelum 'live', kami tanya dulu keluarga arwah.
"Dapat keizinan barulah kita buat," ujarnya lagi.
Abang Chik juga berterima kasih kepada semua penyumbang, sokongan dan doa dari orang ramai.
"Kalau doa untuk kami, doakan juga untuk ibu dan bapa kami.
"Doakan juga kesejahteraan buat mereka tak kiralah yang masih hidup atau sudah meninggal dunia," katanya.
--------------------------------------------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day15: Terima kasih
Lockdown #Day15: 'Terharu Ebby Yus hulurkan bantuan melalui kami'
Uruskan jenazah tetap seperti biasa hari ini, cuma entri kali ini bercerita sisi lain pula.
Ini sisi Abang Chik menyampaikan bantuan kepada orang memerlukan.
Kali ini, ceritanya bukan berkaitan jenazah sebaliknya saudara seagama yang hidup dalam kesusahan.
Menggunakan kenderaan yang Abang Chik ada, mereka sampaikan amanah dari orang lain kepada insan memerlukan.
Ikuti penulisan Abang Chik hari ini:
“Kebajikan yang termampu. Dalam keadaan yang kurang sihat pelakon dan pelawak, Ebby Yus dalam diam beliau bergerak, dalam diam beliau mengatur langkah.
Saya hanya perantara yang menerima sumbangan barangan daripada beliau yang hendak disampaikan di kejiranan penempatan saya yang terletak di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
Empat keluarga dalam senarai yang terjejas. Beliau bergerak dengan kebenaran (pihak polis) dan surat, juga menjaga jarak mengikut SOP yang ditetapkan.
Sumbangan diserahkan kepada:
1) Bekas kartunis bebas yang kematian isteri akibat kanser. Tanggungan anak empat orang.
2) Pesakit kanser payudara tahap 4. Anak tanggungan lima orang, suami dibuang kerja pemandu lori, disebabkan PKP.
3) Ibu tunggal pesakit kronik. Tanggungan anak tiga orang dan tidak bekerja.
4) Suami Pekerja kilang di Shah Alam, kilang ditutup dan tiada sumber pendapatan. Isteri suri rumah. Tanggungan anak empat orang.
Semua mereka ini terjejas akibat pandemik COVID-19.
Jutaan Terima kasih buat Abang Ebby dan Team. Semoga Allah S.W.T sahaja yang dapat membalas jasa dan budi baik Abang.
Semoga sihat dan kuat dan boleh berkhidmat sentiasa.
----------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day14: Suami ini tabah mengiringi perjalanan akhir isterinya
Lockdown #Day14: Suami relakan isteri 'pergi' ...
Awal pagi Isnin, hati Abang Chik dan rakan-rakan Sentuhan Setia Kasih terusik lagi.
Kali ini, Abang Chik cukup terharu melihat kelibat suami, tabah mengiringi perjalanan akhir isteri yang pergi akibat kanser.
Berikut catatan penuh Abang Chik:
“Seorang wanita yang berjuang lebih setahun melawan penyakit kanser darah, dari hospital ke hospital dipindahkan untuk mendapatkan rawatan yang terbaik.
“Sehinggalah Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir pada 12 Jun 2021 di Hospital Ampang.
“Ditemani suami yang baik dan anak-anak yang soleh dan solehah mendoakan…
“Jutaan terima kasih kepada semua petugas dari Hospital Ampang juga doktor yang selama ini ikhtiar membantu dan yang bertungkus lumus....
“Allah lebih menyayangi Allahyarham. Al-Fatihah ...
“Kami menerima panggilan untuk khidmat van membawa jenazah ke Kuantan, Pahang.
“Jam 11 malam, 13 Jun 2021, kami tiba di Hospital Ampang, Selangor untuk mengambil jenazah dan bergerak ke Kuantan pada jam 11.40 malam.
“Kami tiba di Kuantan jam 2.40 pagi, 14 Jun 2021.
"Kami menunggu sehingga jam 9 pagi untuk menyempurnakan jenazah sehingga selesai jam 10 pagi.
“Setelah selesai, kami beredar pulang ke Kuala Lumpur,” kata Abang Chik.
Alhamdulillah kerana semuanya dipermudahkan buat kami.
--------------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day13: Kebumi jenazah tanpa waris.
Lockdown #Day13: Kebumi jenazah tanpa waris, lama tersimpan di bilik mayat
Biasanya sebelum ini kalau uruskan jenazah pasti ada warisnya.
Namun, hari ini, berbeza pula apabila Abang Chik dan Sentuhan Setia Kasih mengebumikan jenazah wanita yang tiada warisnya.
Wanita itu adalah warga Indonesia, sudah agak lama disimpan di bilik mayat sebuah hospital di ibu negara. Sudah lama cubaan dilakukan untuk mencari waris, namun semua usaha menemui jalan buntu.
"Lalu kami buat pengurusan sepenuhnya dokumentasi juga pengurusan pengebumian di Malaysia.
"Ditanam di tanah perkuburan islam Bukit Tandang, Petaling Jaya. Kos ditanggung Pertubuhan Amal NURKHIRIAH (NGO) dan Team Fitral Funeral," kata Abang Chik.
Itu merupakan satu daripada empat jenazah yang disempurnakan hari ini.
Baru sahaja sebentar tadi, Abang Chik dapat panggilan dan pada jam 9 malam ini, Abang Chik akan ke Kuantan.
"Doakan perjalanan kami ya, Din," kata Abang Chik kepada penulis.
Menurut Abang Din, mereka ke Kuantan atas permintaan waris supaya jenazah wanita yang dipercayai mati mengejut itu dibawa ke sana.
"Kami akan bantu hantar jenazah tanpa kos dikenakan," ujarnya.
Kepada yang ada rezeki berlebihan untuk berkongsi pahala fardhu kifayah, yang ingin memberi sumbangan Operasi Pergerakan dan Kos Pengurusan Jenazah, boleh salurkan ke akaun Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih RHB BANK 2620-5400-0282-17.
---------------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day12: Bertabah ye dik...
Lockdown #Day12: Terusik hati...
Lockdown #Day12: 'Menitis air mata saya lihat anak kecil uruskan jenazah ayahnya'
Hati Abang Chik ibarat dirobek tanpa dia sedari.
Dalam benak fikirannya, dia masih teringat pengebumian jenazah keenam semalam.
"Saya benar-benar terkesan, begitu juga rakan-rakan Sentuhan Setia Kasih.
Semalam, jenazah terakhir selesai dikebumikan pada jam 9 malam. Jenazah merupakan seorang lelaki yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung.
“Ya Allah, sememangnya Allahyarham seorang yang baik, bila kami mendengar pujian dari sahabat handai rapat beliau yang hadir.
“Wajah Allahyarham sentiasa tersenyum semasa kami menguruskan jenazahnya,” kata Abang Chik.
Menurut Abang Chik, jenazah diambil dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dibawa ke bilik pengurusan jenazah Sentuhan Setia Kasih di Kampung Medan, Petaling Jaya.
“Ketika menguruskan jenazah ini, hati Abang Chik yang memandikan jenazah terusik terutamanya ketika Abang Chik mengajak anak-anak Allahyarham yang masih kecil bersama-sama membantu memandikan ayah mereka buat kali terakhir.
“Air mata saya bercucuran, begitu juga dengan penggali kubur di PJS 4A, Ardianshah yang turut membantu memandikan jenazah.
“Ramai sukarelawan lain-lain membantu. Terima kasih,” tambah Abang Chik.
Benarlah, orang baik Allah sayang...
-----------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day11: Enam jenazah sehari, penatnya memang terasa
Lockdown #Day11: 'Bila melihat wajah keluarga arwah, hilang rasa penat ...'
Rutin harian Abang Chik seperti biasa hari ini.
Jumaat, 11 Jun 2021:
Enam jenazah perlu disempurnakan, tiga jenazah biasa dan selebihnya jenazah mangsa COVID-19.
Berbeza sedikit hari ini kerana kami menyempurnakan jenazah wanita warga Filipina, seorang muallaf.
“Kematian akibat jangkitan kuman di paru-paru. Jenazah wanita warganegara Filipina. Muallaf. Diambil dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, dihantar ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang di Petaling Jaya.
“Kenderaan MPV daripada Team AA Haji Afiz Ayub digunakan,” katanya.
"Untuk kes COVID-19, tiga lokasi tanah perkuburan kru Sentuhan Setia Kasih pergi hari ini.
* Pertama di PJS4, Taman Medan, Petaling Jaya.
** Kedua, tanah perkuburan Bukit Tandang, Petaling Jaya dan ketiga di tanah perkuburan Kota Damansara.
Menguruskan jenazah COVID-19, seperti biasa lengkap dengan PPE dan perlu mengikut SOP yang ketat.
Jenazah biasa pula, mereka bantu mandi, kafan dan kebumikan. Sangat berbeza namun tujuannya tetap sama dan memudahkan urusan keluarga.
Enam jenazah sehari, penatnya memang terasa.
Namun, bila melihat wajah keluarga arwah, seolah-olah hilang pula penatnya ...
-------------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Alhamdulillah, urusan pengebumian 4 jenazah dipermudah
Lockdown #Day10: 'Sempat urus 4 jenazah dalam tempoh sejam'
Hari ini, Abang Chik dan rakan-rakan sukarelawan pengendali van jenazah sibuk.
Setakat jam 11 pagi, kami sudah selesai menguruskan empat jenazah.
Dua jenazah manga COVID-19, dua lagi jenazah serangan komplikasi jantung.
Dalam masa selang satu jam, empat jenazah perlu diuruskan.
"Alhamdulillah, hari ini kami mendapat bantuan dari rakan-rakan yang lain.
"Masa singkat tapi kami berjaya sempurnakan sebaiknya mengikut SOP," kata Abang Chik.
Ini catatan Abang Chik untuk lockdown masuk hari ke-10 ini.
---------------------
Assalamualaikum. Sambungan kes semalam lagi empat kes sudah diselesaikan setakat jam 1 tengah hari Khamis.
Kes pertama: Mangsa kes COVID-19
Masa: 10pagi
Jenazah (lelaki) dari Hospital Sungai Buloh dibawa ke Tanah Perkuburan Gombak Permata menggunakan khidmat van jenazah VJ2 Setia Kasih.
Kes kedua: Mangsa komplikasi jantung
Masa: 11pagi
Jenazah lelaki dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, dibawa ke bilik pengurusan jenazah Sentuhan Kasih di Petaling Jaya, Selangor. Selepas jenazah disempurnakan dan solat jenazah selesai, keluarga arwah meminta kami menghantar jenazah ke Banting, Selangor.
Kes ketiga: Mangsa COVID-19
Masa: 11pagi
Jenazah dibawa dari PPUM ke Tanah Perkuburan Islam PJS4, Petaling Jaya.
Kes keempat: Mangsa komplikasi jantung
Masa: 11pagi
Jenazah ialah seorang wanita warga Indonesia. Selepas jenazah dimandikan, dikafankan dan solat jenazah di Hospital Selayang, Selangor, jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Sungai Tua di Gombak, Selangor.
Menurut Abang Chik, hari ini dia istiqomah dan bersyukur kerana dapat berbakti.
"Semua khidmat van jenazah dan juru mandi jenazah tidak dikenakan apa -apa bayaran. Kami ikhlas ...", katanya, ringkas.
--------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day9: 9 kes harini
Lockdown #Day9: 'Hari ini sahaja kami urus 9 jenazah'
Bismillah Allahuakhbar.
Setakat 4.39 petang, Abang Chik sudah selesai mengendali empat jenazah.
Jumlah kes pada hari ini ada sembilan.
Kes pertama melibatkan jenazah lelaki yang meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan dibawa ke Tanah Perkuburan Bukit Kiara sekitar jam 1 tengah hari.
Kes kedua pula melibatkan jenazah lelaki dari HUKM ke Tanah Perkuburan Bukit Kiara. Urusan ini dikendali Skuad Amal Kongsi bersama Black dan Qayyum.
Kes ketiga pula melibatkan jenazah lelaki yang meninggal dunia di HUKM. Jenazah dibawa ke Banting untuk dikebumi. Alhamdulillah ini dibantu oleh VJ Dag Fardhu Kifayah.
“Van jenazah bergerak serentak keluar dari perkarangan HUKM,” jelas Abang Chik, ringkas.
Hari ini memang jadual Abang Chik dan rakan-rakan padat.
Kes keempat melibatkan jenazah mangsa COVID-19 yang dibawa dari Hospital Kuala Lumpur ke Tanah Perkuburan Pantai.
Kes kelima pula merupakan jenazah mangsa serangan jantung yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Jenazah kami bawa ke ke Banting, Selangor.
Kes keenam sehingga kesembilan merupakan mangsa COVID-19. Pelepasan jenazah masih belum diperoleh dari hospital swasta dan kerajaan.
Syukur, PPE kelengkapan hari ini ditaja oleh Team AA Haji Afiz Ayub. Terima kasih semua dari Abang Chik dan rakan-rakan.
---------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day8: Syukur, cuaca hari ini mengizinkan
Lockdown #Day8: 'Sudah jadi fardu kifayah, jenazah harus cepat disempurnakan' - Abang Chik
Walaupun baharu saja tiba dari Kelantan untuk urusan pengebumian pada jam 6 pagi tadi, Abang Chik tidak berasa lelah langsung.
Abang Chik sempat berehat sebelum meneruskan perjalanan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menyempurnakan jenazah COVID-19 berusia 40 tahun.
Jenazah di bawa ke Tanah Perkuburan Islam Taman Medan PJS4 di Petaling Jaya, Selangor.
Petang ini, kru Abang Chik sedang bersiap untuk ke Kajang bagi menguruskan jenazah warga asing beragama Islam.
“Penghantaran ini khusus untuk membawa jenazah (berkenaan) pulang ke kampung halaman,” kata Abang Chik.
Sejurus sebelum diari Abang Chik sempat didokumen dalam edisi hari ini, Abang Chik menghantar mesej dalam sistem pesanan ringkas WhatsApp kepada Astro AWANI.
“Kru saya batal ke Kajang. Kes itu kawan kami berniat untuk membantu. Sekarang, kami dalam perjalanan untuk mengambil jenazah mangsa COVID-19 dari PPUM ke Tanah Perkuburan Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
"Sebenarnya, kami agak kepenatan, tetapi bila mendapat panggilan kami tidak pernah menolak untuk membantu.
"Sudah jadi fardu kifayah, pengurusan jenazah harus cepat disempurnakan..." tambah Abang Chik.
Syukur, cuaca hari ini mengizinkan urusan Abang Chik dijalankan dengan sempurna. Insya-Allah...
---------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown yang seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day7: Sayu hati melihat adik ni...
Lockdown #Day7: 'Mana ibu saya?' soal anak 5 tahun ketika hadir pengebumian
"Beberapa hari lepas, hati saya terusik ketika kebumikan anak syurga. Hari ini, hati tersentuh lagi."
Sayu hati melihat wajah kanak-kanak berusia lima tahun, terpinga-pinga berhampiran jenazah ibunya berusia 28 tahun.
Pada usia semuda itu, mungkin dia langsung tidak mengerti apa berlaku.
Dia hanya duduk di tepi kenderaan, kadangkala kelihatan sugul.
Barangkali rindukan ibunya yang dia tidak nampak dari tadi.
“Banyak kali juga dia tanya mana ibu dia. Tengok muka dia yang masih tak tahu apa jadi membuatkan hati kami sebak,” kata Abang Chik.
Jenazah ibunya adalah salah satu daripada lima jenazah diuruskan Sentuhan Setia Kasih hari ini.
Hari ini, semua jenazah bukan pesakit COVID-19, jadi mereka boleh bantu mandi dan kafankan.
Jenazah wanita muda itu turut mereka bantu, Abang Chik dan Walan bantu kebumikan, bukan di Kuala Lumpur tapi di Kelantan.
Epit tunggu di Kuala Lumpur, bersedia untuk bantu uruskan jenazah yang lain.
Semoga perjalanan pulang kami selamat dan dipermudahkan.
Amin...
--------------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown yang seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day6: 'Van jenazah kelabu ini ke Melaka hari ini' - Abang Chik
Sehari berehat semalam, hari ini kami bertugas semula.
Pagi Ahad yang hening, tidak banyak kereta di jalan raya, kami bawa van kelabu kami, membawa jenazah
COVID-19.
Kali ini, seorang lelaki berusia 74 tahun - KKM hubungi kami untuk bantu uruskan pengebumian.
Lokasinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka Pindah, Durian Tunggal, Melaka.
“Petugas hari ini hanya kami bertiga - Epit, Walan dan Abang Chik -- satu pasukan dari Sentuhan Setia Kasih,” kata Abang Chik.
"Sepanjang perjalanan kami diiringi sebuah kenderaan polis dari Kuala Lumpur sehinggalah kami sampai ke tanah perkuburan," kata Abang Chik.
Setibanya di sana, Jabatan Agama Islam Melaka dan wakil KKM dari Melaka sudah berada di sana.
Kerja-kerja pengebumian dipantau dengan ketat, semuanya mengikut SOP.
Semuanya, sama seperti sebelum ini, dipermudakan tugas kami.
Alhamdulillah...
------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown yang seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day5: 'Alhamdulillah, hari ini boleh berehat' - Abang Chik
Lockdown #Day5: 'Alhamdulillah ... Allah beri Abang Chik cuti hari ini ...'
Orang lain cuti hari Sabtu, hari ini Abang Chik dan kawan-kawan pun cuti juga.
Kebetulan, tiada jenazah perlu diuruskan hari ini. Jadi, berehatlah kami.
Semalam, sampai ke malam juga kami bantu kebumikan jenazah.
Hari ini, bolehlah luangkan masa dengan keluarga, makan malam sama-sama.
"Alhamdulillah hari ini Allah bagi masa rehat. Kami tiada kes hari ini," kata Abang Chik.
Menurut Abang Chik, esok ada dua kes, hospital sudah menghubunginya tadi untuk menghantar jenazah.
"Waktu rehat digunakan sebaiknya, esok kami berjuang lagi. Doakan kami," tambah Abang Chik.
----------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown yang seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day4: Semoga dipermudahkan urusan semuanya ... InsyaAllah ...
Lockdown #Day4: 'Sedih, sebak lihat masih ada terkorban akibat COVID-19'
Hari ini hari Jumaat, hari yang sibuk buat kami.
Dalam jam 2 petang, kami dapat panggilan untuk bantu uruskan jenazah COVID-19.
Kami bertiga hari ini - Abg Chik, Epit dan seorang lagi sukarelawan - kami panggil Walan.
Kira-kira 2.30 petang, kami membawa satu jenazah, seorang wanita berusia 68 tahun ke tanah perkuburan di Pantai Dalam.
Sebaik letak jenazah, kami diberitahu ada satu lagi jenazah perlu diambil dan dikebumikan di tempat sama.
Kami patah balik, guna van sama, Abg Chik terus berada di kubur bersama keluarga arwah untuk menyiapkan peralatan pengebumian.
Sebaik Walan dan Epit sampai bersama jenazah lelaki, 63 tahun, kami terus bertugas, membantu untuk mengebumikan jenazah.
Hampir jam 4 petang, selesai kebumi dua jenazah. Alhamdulillah ...
Kami rehat sebentar sebab pada jam 6 petang, ada satu lagi jenazah yang perlu kami uruskan.
Beginilah kami setiap hari, siap sedia sentiasa, tunggu saja panggilan.
Semoga dipermudahkan urusan semuanya ... InsyaAllah ...
-------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown yang seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day3: 'Penat lelah kami berbaloi ...'
Lockdown #Day3: 'Sayunya hati turunkan jenazah ke liang lahad ...'
Perjalanan dua jam setengah dari Hospital Ampang, Selangor langsung tidak terasa.
Bagi Abang Chik apa yang penting ialah destinasi. Tanah Perkuburan Islam Kampung Palong 1, Negeri Sembilan bakal menjadi ‘rumah terakhir bagi seorang jenazah berusia 78 tahun, yang meninggal dunia
Keluarga, arwah yang meninggal dunia akibat dijangkiti COVID-19 itu, mahu arwah dikebumikan di kampung halaman.
“Pilu apatah lagi apabila saya meilhat wajah-wajah keluarga arwah tatkala mereka meminta pertolongan untuk menguruskan pengebumian sehingga semuanya sempurna,” kata Abang Chik.
Prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan begitu ketat. Baju pakaian perlindungan diri (PPE) tidak pernah dibuka sepanjang perjalanan ke tanah perkuburan.
Ini cerita Abang Chik lewat malam tadi.
Masuk hari ketiga lockdown, Abang Chik mendapat panggilan untuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya.
“Kami diminta untuk membawa jenazah ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara (Kuala Lumpur). Kami diberitahu arwah berusia dalam lingkungan 40-an. Wallahu a'lam ...," kata Abang Chik.
Esok Abang Chik akan membuka lebaran baharu.
Setiap kali telefon bimbitnya berbunyi, Abang Chik tahu ada ‘tugasan’ baharu menantinya.
Ini entri hari ketiga lockdown Abang Chik serta rakan-rakan dari 'Epit Setia Kasih' dan 'Team Budak Chowkit'.
--------------
Ikuti aktiviti Abang Chik dalam edisi Diari Lockdown yang seterusnya.
Aktiviti harian Abang Chik dan rakan-rakannya dikompilasi wartawan kanan, Ridauddin Daud.
Lockdown #Day2: Tidak mengapa, ini fardhu kifayah kami
Lockdown #Day2: 'Kami dalam mod (standby), malam pun kami bantu kebumi'
Hari ini, kami terima dua lagi panggilan pengebumian.
Hari ini, kedua-duanya melibatkan jenazah COVID-19.
Seperti biasa, kami sarung PPE dan sanitasi semuanya untuk keselamatan.
Jenazah pertama dikebumikan di Tanah Perkuburan PJS 4 di Petaling Jaya.
Jenazah kedua disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam Abu Bakar Baginda, Sepang.
Jam sudah semakin petang, kami hanya dalam 'mode standby'.
Andai kata ada jenazah, malam pun kami bantu kebumikan.
Tidak mengapa, ini fardhu kifayah kami.
Untuk saudara segama, juga keredhaan Allah.
-----------------
Ini entri kedua kisah penggali kubur, Abang Chik dan Epit dalam 'Diari Lockdown'.
Kompilasi ini adalah kelolaan wartawan penyiaran Ridauddin Daud.
Lockdown #Day1: Dari pagi sampai malam, mereka terus berbakti...
Lockdown #Day1: Pilunya kebumikan anak syurga ini
Dalam banyak-banyak pengurusan jenazah, uruskan jenazah bayi lebih meruntun jiwa.
Abang Chik dan Epit biasa kebumikan jenazah namun untuk 'anak syurga', pilunya menusuk jiwa.
Hampir tengah malam semalam, Abang Chik dan Epit bantu kebumikan jenazah bayi.
Anak syurga itu meninggal dunia di dalam kereta.
Hari yang sama, itu merupakan jenazah ketujuh diuruskan mereka.
Dari pagi sampai malam, mereka terus berbakti demi saudara seagama.
---------------
Ini entri pertama kisah penggali kubur, Abang Chik dan Epit dalam 'Diari Lockdown'.
Kompilasi ini adalah kelolaan wartawan penyiaran Ridauddin Daud.